TIDAK keterlaluan untuk disebut, kereta merupakan pelaburan kedua yang  termahal selain rumah.

Pun demikian, bukan semua orang bersetuju dengan kenyataan tersebut. Ini kerana kenderaan khususnya kereta akan susut nilai berbanding hartanah.

Sesetengah individu yang ditanya memberitahu, jika kereta mereka mampu ‘berkhidmat’ tanpa sebarang masalah untuk jangka masa melebihi 10 tahun, ia sudah dikira satu pelaburan yang menguntungkan.

Dengan erti kata lain, mereka menerima faedah dalam bentuk perkhidmatan dan bukannya aliran tunai.

Senang cerita, sebuah kereta baharu akan menyusut nilainya sebaik sahaja dipandu keluar dari ruang pameran. Semakin mahal sesebuah kereta itu,  semakin banyak harganya akan menyusut.

Meskipun demikian, berdasarkan harga pasaran kereta terpakai pada masa kini, terdapat beberapa buah kereta yang telah melonjak harganya sehingga melebihi daripada harga asal.

Berikut beberapa kereta yang dipasarkan di Malaysia suatu ketika dahulu yang bukan setakat mampu mempertahankan harga tetapi telah meningkat berkali ganda berbanding harga asal sewaktu dipasarkan, lapor penulis terkemuka dalam dunia permotoran dan portal Mekanika, Irwan Asri.

1. Honda Integra DC2 Type R

-Masih boleh dibeli pada harga RM40,000 hingga RM60,000.

-Harganya berupaya untuk meningkat lagi kerana kenderaan itu memiliki chasis yang asli.

-Sekiranya tiada bajet atau ada pilihan lain, dicadangkan Honda Integra DB8 Type R yang mempunyai empat pintu dan memiliki enjin yang sama dnegan Type R.

2. Proton Arena

-Harga ‘lori pikap kecil’ tersebut dalam pasaran mencecah RM25,000 ke atas.

-Di Malaysia, harganya kekal sebegitu. Kepada sesiapa yang bergelar peniaga kecil khususnya, kenderaan berkenaan sangat sesuai untuk digunakan.

3. Mercedes S123 Wagon

-Model paling berjaya dan laku dalam sejarah Mercedez apabila dijual sebanyak 2.7 juta pada tahun 1970-an hingga 1986.

-Enjinnya ada diesel dan petrol. Harganya tidaklah mahal sangat, sekitar RM35,000 hingga RM40,000.

4. Toyota Celica TA22

-Dianggap otai dan paling ‘cantik’ berbanding kereta yang dipasarkan selepasnya.

-Reka bentuknya persis kereta Mustang keluaran Amerika Syarikat pada era 1970-an.

-Harganya antara RM20,000 hingga RM30,000. Pun demikian, alat ganti Toyota Celica agar sukar didapati namun secara online, masalah itu dapat diselesaikan.

5. Datsun 510

-Kereta jenis lama yang comel dan dikatakan ‘sedap’ untuk dipandu itu sangat popular di Australia, Amerika Syarikat, New Zealand dan beberapa lain.

-Jika kereta berada dalam keadaan baik, harganya boleh didapati atau dijual lebih kurang RM20,000 hingga RM30,000.

Iklan

6. Mazda 3 MPS

-Mungkin ramai yang tidak perasan, kenderaan itu wujud dalam pasaran kereta terpakai.

-Harganya boleh didapati sekitar RM65,000 hingga RM75,000.

7. Suzuki Swift Sport

-Menariknya, selain enjinnya, kenderaan tersebut mempunyai fungsi manual.

-Harga bagi pasaran terpakai antara RM25,000 hingga RM30,000. Dalam tempoh lima tahun ke atas, harga Suzuki Swift Sport diramal naik semula.

-Harganya kini sudah turun pada paras paling rendah.

8. Mazda MX-5

Iklan

-Model pertama dikeluarkan pada tahun 1989 hingga 1997.

-Model kereta tahun 1990 dan 1991 itu boleh dibeli pada harga sekitar RM50,000.

-Bagi sebuah model ikonik yang memiliki enjin di hadapan, rear wheel drive, roadster, bumbung boleh dibuka, harga berkenaan masih okey. Namun, kenderaan tersebut semakin kurang didapati di pasaran.

9. Mazda RX-7 FC

-Salah seorang pemilik kepada kereta Mazda RX-7 FC di negara ini pernah bercadang untuk menjual kenderaannya lebih kurang RM50,000.

-Harga itu dianggap berbaloi kerana dijangkakan pada tempoh lima tahun akan datang, ia akan meningkat kepada enam digit.

Sumber:Mekanika Malaysia