Dipecat akibat selalu MC, doktor kongsi keluhan pesakit asma yang sarat mengandung

No Image Caption
A
A
A

DOKTOR, tolonglah bantu stabilkan penyakit asma saya ini. Saya baru sahaja dipecat dari syarikat saya, sebab selalu ambil MC, dan bos saya kata saya tak perform.

“Anak-anak kat rumah pun dah macam terbiar, sebab saya selalu masuk hospital sejak mengandung anak ketiga ni. Sekarang ni saya dah 6 bulan mengandung. Suami saya pula memang selalu outstation, jadi susah untuk saya uruskan hal ehwal keluarga kami dengan keadaan kesihatan saya yang tak stabil ni. Tambah ada bayi dalam kandungan ni.

”Asma ni memang akan jadi lebih teruk ketika mengandung ke doktor ?”, tanya Puan Lin (bukan nama sebenar).

Itu antara keluhan dan persoalan yang diajukan oleh pesakit asma yang sedang berbadan dua kepada pakar itu.

Respons Pakar Perunding Perubatan & Paru-paru, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa, asma adalah suatu penyakit kronik yang boleh dikawal sekiranya pesakit menggunakan inhaler seperti yang disarankan. Elakkan terdedah kepada rangsangan luar yang boleh menyebabkan serangan asma itu terjadi.

Namun begitu, perlu diketahui ketika mengandung, terdapat banyak perubahan fisiologi dalam badan sehingga menyebabkan kadangkala penyakit asma menjadi tidak terkawal.

“Penjagaan asma adalah sangat penting, terutamanya ketika sedang mengandung,” tulis Dr Nurul Yaqeen di Facebooknya.

Sering berlaku pada usia 18-40 tahun

Mengikut kajian, asma sering berlaku dalam kalangan empat ke 12 peratus wanita yang berumur dalam lingkungan usia melahirkan antara 18 hingga 40 tahun.

“Kebanyakan rawatan untuk penyakit asma adalah selamat untuk bayi di dalam kandungan. Bayi akan membesar dengan lebih sihat sekiranya penyakit asma dapat dikawal dengan baik.

"Namun begitu, asma yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan banyak masalah yang serius.

"Untuk ibu hamil, asma yang tidak terkawal boleh menyebabkan tekanan darah tinggi ketika mengandung, toksik dalam darah ketika mengandung (toxaemia in pregnancy), kelahiran pra-matang dan kematian," katanya.

Untuk bayi yang dikandung pula, Dr Nurul Yaqeen menjelaskan, komplikasi yang boleh mereka hadapi adalah pembesaran terencat dalam kandungan ‘IUGR’ (Intrauterine Growth Retardation), berat badan rendah ketika dilahirkan (low birth weight) dan kematian ketika dilahirkan (stillbirth).

Jadi, ketika mengandung, 1/3 pesakit asma akan mendapat simptom asma yang lebih teruk daripada biasa, 1/3 akan mendapat simptom yang lebih baik, 1/3 tidak mengalami apa-apa perubahan.

Ingat, kehamilan boleh memberi kesan kepada pesakit asma dalam berbagai cara antaranya perubahan hormon ketika mengandung boleh memberi kesan kepada hidung, sinus dan paru-paru, seterusnya menyebabkan serangan asma semakin kerap berlaku.

Oleh itu, nasihat Dr Nurul Yaqeen kepada semua, sayangilah paru-paru kita. Paru-paru yang sihat menjamin hidup sejahtera.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca