ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

BERSAMA

Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah

Konsultan Oftalmologi Umum dan Pediatrik,

MSU Medical Centre Shah Alam.

SOALAN: 

DOKTOR, adakah biasa jika warga emas sering berhadapan dengan masalah glaukoma? Bagaimana kaedah terbaik untuk mengelak masalah itu dan petua terutamanya dari segi pemakanan yang boleh dipraktikkan oleh ibu saya? Mohon pencerahan.

– ANAK PRIHATIN, MOHD ALIMI SAAD, 34, TANAH MERAH, KELANTAN.

JAWAPAN:

Glaukoma adalah satu keadaan di dalam mata yang disebabkan oleh tekanan tinggi melibatkan bebola mata yang merosakkan saraf iaitu ibu saraf ataupun optic nerve.

Sebenarnya, ia adalah ‘pencuri’ penglihatan yang senyap kerana pesakit tidak mengalami apa-apa simptom.

Secara umumnya, mereka yang mempunyai masalah glaukoma akan mula hilang penglihatan secara sedikit demi sedikit dari tepi ataupun periferi sehingga akhirnya mereka akan mendapat penglihatan terowong (tunnel vision).

Untuk pengetahuan semua, kebanyakan pesakit yang mengalami glaukoma adalah warga emas.

Sebenarnya, terdapat banyak faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan glaukoma. Antaranya disebabkan darah tinggi, kencing manis dan faktor keturunan.

Pada masa sama, terdapat beberapa cara terbaik untuk mengelak daripada masalah itu menghantui ibu bapa kita.

Caranya adalah melalui pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas terutamanyanya jika mempunyai sejarah keturunan dalam keluarga.

Semasa melakukan pemeriksaan saringan, terdapat beberapa perkara yang akan diberi penekanan oleh doktor iaitu:

  1. Keadaan saraf mata.
  2. Tekanan di dalam mata.

Sekiranya perlu, doktor akan menyarankan pesakit untuk mendapatkan saringan medan penglihatan mata dengan menggunakan mesin.

Selain itu, warga emas perlu berhati-hati dengan suplemen ataupun herba-herba yang mereka ambil

Iklan

Kadangkala terdapat ubat-ubatan, suplemen ataupun herba yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana mengandungi steroid.

Steroid boleh menyebabkan pesakit mendapat glaukoma tahap kedua dan keadaan itu boleh menyebabkan kebutaan yang tidak boleh disembuhkan semula.

Sakit kepala, mual simptom luar biasa

SOALAN

DOKTOR, adakah normal jika mata mengalami bengkak dan gatal? Pada masa sama, saya berasa mual dan pening serta sakit kepala? Mohon perincian daripada doktor.

– INSAN GUSAR, NATASHA HUDA AHMAD ZIKRI, 24, KULAI, JOHOR.

Iklan

JAWAPAN

PUAN, sebenarnya simptom bengkak dan gatal agak biasa berlaku terutamanya mereka yang mengalami alahan.

Suka untuk saya ingatkan di sini, ramai orang akan mengalami alahan terhadap habuk, makanan, bulu binatang, asap dan sebagainya.

Secara amnya, keadaan itu dikenali sebagai konjunktivitis alahan.

Mengenai simptomnya, seseorang itu akan berhadapan masalah bengkak, mata merah dan berair serta gatal.

Namun demikian, pada pengamatan saya, agak kurang normal sekiranya simptom-simptom berkenaan diiringi dengan gejala lain seperti sakit kepala, mual dan sebagainya.

Oleh itu, nasihat saya, sebaik-sebaiknya berjumpa dengan doktor segera kerana mungkin individu tersebut mengalami keracunan makanan atau wap yang berbahaya seperti karbon monoksida dan sebagainya.