Guna 4 bahan mudah, kuih bijan warna-warni air tangan Nur Hidayah bikin ramai jatuh cinta
KUIH buah rotan antara kudapan yang semakin jarang ditemui di kebanyakan premis. Jika ada pun, ia berdasarkan permintaan.
Turut dikenali sebagai kuih redan atau keciputan, sajian berkenaan pada asasnya hanya menggunakan bahan yang cukup ringkas.
Benar, jika diteliti cara penyediaan menerusi lembaran kertas agak mudah, tetapi pada hakikatnya, tidak begitu.
Antara masalah utama yang sering dihadapi adalah kuih berkenaan adakalanya tidak garing dan biji bijan tidak melekat pada ‘badannya‘.
Namun, salah seorang pembuat kuih buah rotan yang mahir, Nur Hidayah Abdullah berkongsi tip terbaik untuk mengatasi isu berkenaan.
“Bab tidak garing itu, cara penyelesaiannya mudah sahaja, tetapi perlukan kesabaran. Kita perlu menggunakan teknik yang betul sewaktu menggoreng iaitu menggunakan api yang sederhana. Ia juga perlu (digoreng) kira-kira 20 minit atau lebih lama sedikit supaya warna kuih sekata dan tidak mentah.
“Bagi memastikan bijan melekat dengan sempurna pula, rahsianya adalah adunan mestilah lembut dan lembab,“ jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Jika sebelum ini kita hanya melihat kuih berkenaan dengan warna kecoklatan, Nur Hidayah telah membuat sedikit kelainan.
Wanita berusia 54 tahun itu telah menambah pewarna merah, hijau dan kuning serta lain-lain bagi menaikkan ‘seri‘ kulinari tradisi berkenaan.
“Idea saya itu sebenarnya atas inisiatif sendiri demi menambah baik kuih buah rotan air tangan saya. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana setakat ini, pendekatan tersebut diterima dan pada masa sama, saya menerima banyak tempahan di negeri kelahiran saya, Sabah.
"Kuih berwarna-warni ini nampaknya berjaya mencuri tumpuan ramai terutama kanak-kanak untuk menikmatinya,“ ujarnya yang berharap dapat memasarkan produknya ke Semenanjung Malaysia pada suatu hari nanti.
Untuk sebotol kuih buah rotan seberat 350 gram, Nur Hidayah menjualnya pada harga RM15 sahaja.
“Untuk semua tempahan, saya tak lakukan sendirian sebaliknya dibantu oleh anak-anak. Dalam sehari, biasanya kami akan buat sekurang-kurangnya 15 hingga 20 botol kuih dan kadangkala lebih lagi mengikut jumlah tempahan,“ ujarnya yang mempelajari asas membuat resipi warisan itu melalui laman Facebook dan YouTube.
Kata peniaga kecil-kecilan itu lagi, beliau lebih cenderung membuat kuih buah rotan berbanding biskut lain memandangkan kos bahan mentah yang semakin mahal sejak kebelakangan ini.
RESIPI KUIH BUAH ROTAN
Bahan-bahan
500 gram tepung pulut
1 sudu besar tepung beras
1 cawan santan
1/2 cawan gula
1 biji telur
Air
Bijan
Garam
Kapur makan
Pewarna
Cara penyediaan:
1. Kacau gula, garam dan sedikit air sehingga larut.
2. Campurkan sedikit air kapur makan. Ketepikan dan sejukkan.
3. Kemudian, campurkan bahan tadi bersama tepung pulut, tepung beras, santan dan telur. Uli sehingga menjadi doh.
4. Bahagikan adunan sama rata kepada beberapa bahagian dan letakkan pewarna berlainan bagi setiap bahagian.
5. Gentel doh menjadi kecil dan berbentuk bulat. Selepas itu, salutkan dengan bijan.
6. Setelah siap, goreng menggunakan api sederhana sehingga kekuningan.
7. Toskan minyak. Siap untuk dimakan!
Sumber Nur Hidayah Abdullah
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang