SURAT KHABAR masih menjadi pilihan ramai peniaga untuk membalut makanan.

Walaupun kadang-kadang kita lihat permukaan surat khabar atau erti kata mudah, tulisan pada dada akhbar itu bersentuhan secara langsung dengan makanan, mereka tidak kisah pun.

Bagi mereka yang penting, cara itu dapat menyerap minyak daripada makanan yang bergoreng.

Namun, hakikatnya pendekatan itu tidak kena. Ini kerana pencemaran boleh terjadi sekiranya pengendali makanan menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudian menyentuh makanan siap untuk dimakan secara langsung.

Baru-baru ini, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dalam entri Facebook mereka menjelaskan, bahan kimia pada dakwat surat khabar boleh mencemarkan makanan seterusnya memberi kesan berbahaya kepada kesihatan manusia.

Kata mereka, jika terpaksa menggunakan kertas surat khabar juga, jadikan ia sebagai lapisan kedua untuk membungkus makanan.

“Paling terbaik adalah gunakan pembalut makanan yang dikhaskan untuk makanan (food grade) bagi mengelak berlakunya pencemaran silang.

Elak pencemaran dakwat pada makanan anda!

Tahukah anda, pencemaran boleh terjadi sekiranya pengendali makanan menyentuh…

Posted by BKKM JKN Perlis on Friday, March 26, 2021

“Surat khabar mengandungi bahan kimia seperti karbon, logam berat dan pelarut. Apabila minyak yang diserap oleh surat khabar akan melarut dakwat dan seterusnya menyerap ke dalam makanan,” beritahunya.

Menurut Pusat Racun Negara, dakwat yang digunakan untuk mencetak akhbar mempunyai kebarangkalian yang tinggi menggunakan bahan kimia yang boleh manjadi punca kepada beberapa jenis penyakit kronik.

Lembaga Keselamatan dan Piawaian Makanan India juga melaporkan bahawa dakwat surat khabar mengandungi bahan yang boleh memberi pelbagai kesan negatif pada tubuh badan.

Kajian mereka juga menunjukkan terdapat dakwat surat khabar yang bersifat karsinogenik (punca berlakunya kanser) dan ia boleh meresap ke dalam makanan dengan begitu mudah sekali.

Iklan

Di Malaysia, terdapat undang-undang yang mengawal kebersihan makanan iaitu di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Pengendali makanan perlulah menyediakan, membungkus atau menghidang makanan untuk dijual dengan memastikan penyediaan, pembungkusan atau penghidangan makanan bebas daripada apa-apa pencemaran.

“Jika gagal pengendali boleh dipenalti tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun tau!,” kata Public Health Malaysia.

Iklan

Oleh itu, jom beralih daripada pembungkusan surat khabar kepada pembungkusan yang lebih selamat dan bersih.

Apa-apapun, buatlah pilihan yang bijak untuk kebaikan semua.

Foto: Sumber internet