Jangan keliru abuk-abuk sagu dengan tepung gomak. Ini cara penyediaannya

A
A
A

BOLEH dikatakan kuih abuk-abuk sagu memang sudah jarang ditemui di warung-warung waima di pasar malam sekalipun.

Menurut seorang guru cemerlang, Rosni Johari, di beberapa negeri di utara juga, sajian berkenaan susah untuk dicari, sedangkan untuk membuatnya tidaklah terlalu sukar.

Rosni Johari.

"Kuih ini mengambil masa lebih kurang sejam sahaja untuk menyiapkannya. Namun untuk menghasilkan kuih yang betul-betul sedap, kena patuh kepada beberapa petua," kata guru yang mengajar subjek Sains Rumah Tangga di Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang membuka bicara.

Antaranya, ujar Rosni, pembikinnya wajib menggunakan gula melaka yang asli.

"Jika orang ramai ingin tahu, gula melaka yang asli biasanya lebih lembut dan gebu. Jika ia keras, itu bermaksud gula tadi sudah dicampur dengan bahan lain iaitu gula putih. Bukan itu sahaja, dari segi rasanya juga, kita dah boleh tahu sama ada gula melaka yang digunakan asli atau sebaliknya," katanya.

Selain itu, sebaik-baiknya guna kelapa muda yang dipanggil oleh orang utara Semenanjung sebagai nyok kemantan dipilih untuk menyiapakan kulinari warisan itu.

"Nyok kemantan mampu membuatkan kuih abuk-abuk sagu bertahan selama tiga hari jika disimpan di dalam peti sejuk," katanya sambil menambah proses mengukus kuih yang ideal hanya memakan masa antara 10 hingga 15 minit sahaja.

Sebelum itu kata Rosni, terdapat kekeliruan dalam kalangan penduduk utara yang menyangkakan kuih abuk-abuk sagu adalah kuih tepung gomak.

"Ini disebabkan mereka terbayangkan kuih abuk-abuk disalut bersama debu kacang hijau, tetapi sebenarnya mereka silap," katanya.

Beliau memberitahu SinarPlus, resipi kuih abuk-abuk sagu turut tersenarai dalam buku SRT pada era 1970-an dan beliau sendiri mempelajari membuatnya daripada naskhah berkenaan.

Disebabkan kesukaran untuk mendapatkan kuih tradisi berkenaan, anak jati Pulau Pinang itu berkata, beliau mengambil pendekatan membuatnya sendiri, di samping menjual untuk rakan-rakan dan jiran-jiran terdekat yang ingin merasa kesedapan dan keenakan kuih berkenaan.

PROFIL

  • Nama: Rosni Johari
  • Umur: 45 tahun
  • Asal: Butterworth, Pulau Pinang
  • Menetap: Lunas, Kedah
  • Facebook: Rosni Johari

RESIPI KUIH ABOK-ABOK SAGU

Bahan-bahan

  • 1 cawan sagu
  • 1 cawan kelapa parut (putih sahaja)
  • 1/2 cwn air pandan
  • Gula Melaka (diracik halus)
  • Sedikit garam
  • Sedikit pewarna hijau - Daun pisang (dijadikan kelongsong balutan)

Cara penyediaan:

  1. Pertama sekali, tapis sagu yang sudah direndam.
  2. Kemudian, campurkan sagu dengan kelapa parut, garam dan air pandan sehingga sebati.
  3. Seterusnya, daun pisang dijadikan kelongsong, masukkan satu sudu adunan sagu, gula melaka dan diikuti dengan adunan sagu semula (di bahagian atas).
  4. Bungkus kemas dan masukkan kuih abok-abok sagu ke dalam pengukus.
  5. Akhir sekali, kuih tadi siap untuk dikukus selama 10 hingga 15 minit.

Sumber: Rosni Johari

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca