Mengungkap nostalgia di istana sultan Kelantan, ini mitos kuih lompat tikam yang menarik untuk diketahui

A
A
A

MITOS sejarah kuih lompat tikam seperti yang diceritakan oleh Rokiah Md Ali atau mesra disapa Kak Kiah memang menarik untuk didengar oleh halwa telinga.

Cerita Kak Kiah, kisah kuih tersebut kononnya bermula pada zaman Kerajaan Majapahit yang ketika itu mahu mempersembahkan hadiah kepada kerajaan negeri Kelantan.

"Beberapa orang dayang telah diperintahkan untuk membawa dulang yang penuh diisi dengan sejenis kuih dengan penuh hati-hati. Malangnya, salah seorang daripada dayang yang membawa kuih tadi tersadung kerana tersepak bendul yang ada di istana.

"Oleh kerana terkejut, sultan secara tidak sengaja telah tertikam dayang yang terjatuh bersama kuih dibawanya tadi. Sebagai tanda mengingati peristiwa itu, dengan rasminya kuih ini diberi nama lompat tikam," katanya yang memberitahu kisah klasik itu telah diceritakan oleh neneknya dahulu.

Pun demikian, seperti yang diperkatakan tadi dan diakui sendiri oleh Kak Kiah, semua pengkisahan itu hanyalah satu cerita dongeng.

“Kuih lompat tikam ini sebenarnya sejenis kuih tradisional yang sangat popular di pantai timur terutamanya di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

“Untuk membuatnya juga senang iaitu menggunakan tepung beras dan santan sahaja,” kata anak kelahiran Kelantan itu.

Pun demikian kata Kak Kiah, cara penyediaan kuih berkenaan mengambil masa iaitu lebih kurang satu jam kerana banyak proses yang perlu dilalui.

“Kuih lompat tikam mempunyai dua lapisan iaitu lapisan tepung yang biasanya berwarna hijau di bahagian bawah dan lapisan santan yang berwarna putih di bahagian atas.

“Bahagian kuih itu dibuat tawar kerana ia dimakan bersama air gula nisam (gula Melaka) tetapi jika mahu tampilkan rasa lemak pada lapisan putih mesti rasa masin sedikit, barulah sedap,” tuturnya yang pandai membuat sajian penuh nostalgia itu sejak dari zaman remaja lagi.

Beliau juga mengakui, kuih lompat tikam mudah diperoleh di mana-mana lokasi kerana ramai yang pandai membuatnya dengan cara masing-masing.

Kuih lompat tikam lazimnya dijadikan sebagai menu minum petang dan dipadankan dengan secangkir kopi.

PROFIL

  • Nama: Rokiah Md Ali
  • Umur: 41 tahun
  • Asal dan menetap: Jeli, Kelantan

ROKIAH Md Ali.

RESIPI KUIH LOMPAT TIKAM

Bahan-bahan lapisan hijau

  • 2 cawan tepung beras
  • 3 cawan air
  • 1 cawan air daun pandan
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil air kapur

Bahan-bahan lapisan putih

  • 1 senduk tepung beras
  • 2 cawan santan
  • 1/2 cawan air
  • 1/4 sudu kecil garam

Bahan-bahan pulut merah

  • 1 cawan pulut
  • Santan cair secukupnya
  • Sedikit pewarna merah
  • Garam secukupnya
  • Bahan-bahan air gula melaka
  • 1 keping gula melaka
  • Air secukupnya
  • 1 helai daun pandan

Cara penyediaan lapisan hijau:

  1. Gaul rata semua bahan lapisan hijau dalam mangkuk dan tapis (Kecairan mestilah apabila senduk diangkat, ia mengalir laju dan tidak melekat pada senduk kayu).
  2. Masakkan adunan tadi ke dalam kuali dan kacau di atas api yang sederhana sehingga menggelegak.
  3. Kacau sehingga adunan menjadi pekat dan berkilat serta menggelembung.
  4. Kemudian, masukkan ke dalam loyang dan disejukkan.

Cara penyediaan pulut merah:

  1. Panaskan periuk pengukus.
  2. Kukus beras pulut selama 10 ke 15 minit.
  3. Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk.
  4. Tuangkan santan cair yang telah dicampur bersama garam halus dan sedikit pewarna merah sehingga pulut menjadi lembut.
  5. Masukkan dalam pengukus dan kukus sekali lagi dalam 10 minit.
  6. Buka penutup dan balik-balikkan pulut supaya masak rata.
  7. Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk dan dikacau rata.
  8. Taburkan sedikit gula bagi menjadikan pulut berkilat dan bersinar.

Cara penyediaan lapisan putih:

  • Satukan semua bahan lapisan putih dalam mangkuk dan tapis.
  • Masak di atas api sederhana. Pastikan bahan sentiasa dikacau sehingga mendidih antara 15 ke 20 minit.
  • Apabila adunan sudah menjadi pekat dan berkilat, masukkan ke dalam loyang dan sejukkan.

Cara penyediaan air gula melaka:

  • Masak gula melaka dengan air dan daun pandan hingga hancur dan mendidih.
  • Tapis dan sejukkan.

Cara menghidang:

  1. Potong lapisan hijau dan masukkan ke dalam pinggan.
  2. Masukkan juga sedikit pulut.
  3. Kemudian, sendukkan lapisan putih ke atasnya.
  4. Akhir sekali, tuang air gula melaka.

Sumber: Rokiah Md Ali

ANEKDOT

RESIPI PENJAN UBI

Bahan-bahan

  • ½ kilogram ubi kayu (boleh juga menggunakan buah sukun)
  • 1 cawan gula merah
  • ½ cawan gula pasir
  • Sehelai daun pandan
  • Sedikit garam

Cara penyediaan:

  1. Potong dan rebus ubi kayu/buah sukun.
  2. Rebus gula merah, garam dan gula pasir hingga larut dan ditapis. Reneh sehingga campuran tadi menggelegak.
  3. Masukkan ubi kayu dan daun pandan yang telah direbus.
  4. Masak sehingga menjadi pekat.
  5. Kuih penjan ubi siap dihidangkan bersama minuman panas

Sumber: Facebook Ai’da Shidah      

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca