Mi chambol padu tak cukup semangkuk, Che Anisa kongsi rahsia

A
A
A

SELAIN nasi tumpang, kuih akok, sanggupal, kuzi ayam dan nekbat sira, negeri Cik Siti Wan Kembang turut terkenal dengan sajian yang dinamakan mi chambol.

Sesetengah kedai tomyam yang beroperasi di Lembah Klang ada menawarkan menu itu, namun rasanya berbeza-beza.

Baru-baru ini, SinarPlus berjaya menjejaki seorang pengusaha, Che Anisa Che Pa yang menjual sajian istimewa berkenaan.

Che Anisa berkata, mi chambol yang mempunyai pengaruh masakan dari Thailand sangat popular di negeri kelahirannya, Kelantan terutama di Pengkalan Kubor.

Wanita berusia 29 tahun itu memberitahu, kulinari tersebut dipelajari daripada neneknya yang akan menyajikan makanan itu apabila terdapat permintaan daripada ahli keluarga.

Mengulas lanjut, tutur peniaga muda tersebut, mi chambol sebenarnya saling tidak tumpah dengan mi sup.

Namun, isi dalam mi chambol lebih variasi dan memang cepat 'menangkap' selera kepada sesiapa sahaja, terutamanya mereka yang sedang lapar.

"Selain aneka bebola ikan, ayam atau daging, biasanya saya akan bubuh sekali telur puyuh, udang tepung, ayam, sedikit sayuran dan taburan daun sup atau ketumbar serta bawang goreng bagi menaikkan lagi rasa mi chambol air tangan saya," katanya sambil memberitahu, chambol dalam istilah bahasa Melayu bermaksud bersaiz besar atau jumbo.

Ungkap Che Anisa lagi, pelanggan yang memesan menu berkenaan boleh memilih empat kategori mi iaitu mi kuning, bihun, kuetiaw atau mi pad thai.

"Kalau nak ikutkan mi pad thai yang datangnya dari Thailand paling mendapat permintaan pelanggan, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan, bahan mentah itu sukar diperoleh," beritahunya.

Walaupun pada dasarnya mi chambol seperti nampak mudah dibuat, tetapi hakikatnya tidak.

Ini kerana bagi mendapatkan rasa sajian yang enak, senarai bahan-bahan yang diperlukan sangat banyak.

Pun demikian, kata Che Anisa, kesemua rencah yang diperlukan mudah didapati seperti lobak masin dan jeruk bawang putih.

"Apabila semua ramuan yang diperlukan sudah disediakan, kita cuma perlu satukan kesemuanya dalam periuk besar.

"Pastikan kuah yang dimasak mempunyai kombinasi rasa manis, masin, pedas dan masam, barulah sedap dinikmati dengan mi, kuetiau atau bihun,” ujarnya.

PROFIL

  • Nama: Che Anisa Che Pa
  • Umur: 29 tahun
  • Asal: Pengkalan Kubor, Kelantan
  • Menetap: Tumpat, Kelantan
  • Facebook: Kak Sah Mee Chambol

RESIPI MI CHAMBOL

Bahan-bahan kuah sup

  • 3 liter air
  • Kaki dan leher ayam (untuk rebusan)
  • Isi ayam (direbus dan dicarik)
  • 2 inci halia
  • 1 batang lobak merah
  • 2 biji ubi kentang
  • Akar daun sup dan daun bawang (dipotong 2 inci dari akar hingga pada batangnya)
  • 1 sudu minyak bawang putih
  • 1 batang serai
  • 2 sudu rempah sup
  • 2 sudu kicap manis
  • 2 sudu kicap pekat
  • Pati ikan bilis
  • Sedikit garam dan gula

Bahan-bahan tambahan

  • Mi kuning (dibasuh bersih)
  • Bawang goreng
  • Air lada (kisar cili, bawang putih, garam dan gula)
  • Lada jeruk (cuka, cili besar, garam dan gula)
  • Lobak masin
  • Kacang tanah tumbuk
  • Lada sulah
  • Serbuk cili
  • Jeruk bawang putih
  • Ikan bilis
  • Minyak bawang putih
  • Aneka sayur-sayuran seperti taugeh, sawi dan kangkung

Cara penyediaan:

  1. Satukan kesemua bahan ke dalam periuk.
  2. Biar kuah sup betul-betul menggelegak dan kemudian masukkan isi ayam.
  3. Biarkan semua bahan sebati dan biarkan seketika di atas api yang sederhana.
  4. Akhir sekali, perasakan kuah sup dengan gula dan garam.
  5. Kuah sup siap untuk dihidangkan bersama pilihan aneka mi.

Sumber Che Anisa Che Pa

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca