SAJIAN kari begitu sinonim dengan rakyat Malaysia berbilang kaum dan stail memasak pun sedikit lebih kurang sama sahaja.

Secara asasnya, rempah kari mengikut jenama kesukaan, rempah-ratus dan pilihan santan segar atau kotak akan digunakan.

Pun demikian, kreativiti tukang masak pada hari ini menyaksikan munculnya satu menu yang dipanggil Kari Ayam Hijau Goa. Namun, bahan dan cara penyediaannya langsung tidak sama dengan kari di negara ini.

Mengakui kelainan menu tersebut, pembikinnya, Zulfa Zainal Abidin teruja menceritakan tentang resipi berasal dari India itu yang telah diolahnya.

“Walaupun digelar Kari Ayam Hijau Goa, kulinari ini sama sekali tidak menggunakan serbuk rempah kari. Ya, benar kalau orang melihat bahan-bahan yang digunakan, ramai tidak percaya rempah kari bukan menjadi bahan utama, sebaliknya resipi ini menggunakan tiga cawan daun pudina. Itu yang menjadikan kari kelihatan berwarna hijau,” katanya.

Kepada SinarPlus, Zulfa berkata, idea untuk mencuba memasak resipi berkenaan hanyalah sekadar minat dan demi mempelbagaikan menu harian di rumah.

“Saya kalau boleh tidak mahu suami dan anak-anak rasa bosan dengan juadah yang sama, jadi saya ambil pendekatan untuk mencuba resipi-resipi baharu di alam maya,” katanya yang memiliki laman Facebook masakan sendiri.

Pun demikian, seperti yang diperkatakan tadi, beliau tidak menuruti 100 peratus bahan termasuk cara penyediaan, sebaliknya mengambil inisiatif mengubahnya mengikut selera tempatan.

“Kita kalau dah keturunan Melayu, pelik rasanya kalau masakan itu tidak pedas, jadi apa yang saya lakukan adalah lebihkan kuantiti cili dan selebihnya saya ikut resipi asal,” jelasnya sambil tertawa kecil.

Bagi mereka yang ingin mencuba memasak sajian tersebut, wanita berusia 52 tahun itu menggalakkan penggunaan ayam kampung berbanding ayam daging.

“Isi ayam kampung lebih kenyal, namun jika tidak dimasak dengan sempurna ia akan jadi liat dan keras. Kebiasaannya, proses memasak akan mengambil masa selama tiga jam supaya ayam benar-benar empuk dan lembut,” ujar anak jati Perak itu.

Untuk menambah lagi kelazatan masakan, Zuhra berkongsi rahsia dengan SinarPlus.

“Saya sangat galakkan orang ramai menggunakan lesung batu untuk menumbuk bahan-bahan kerana tekstur yang dihasilkan lebih kasar dan ‘cantik’.

“Tiada masalah untuk menggunakan pengisar cuma bahan-bahan akan menjadi terlalu halus dan aroma tumisan kurang ‘menyengat’,” kongsi ibu kepada empat orang anak itu.

RESIPI KARI AYAM HIJAU GOA

Bahan-bahan

1 ekor ayam bersaiz sederhana

Bahan kisar

1 inci halia

5 ulas bawang putih

1 ½ biji bawang besar

6 sudu besar kelapa parut

8 biji cili padi hijau (mengikut cita rasa)

1 cawan daun pudina

3 cawan daun ketumbar

½ sudu jintan putih

½ sudu serbuk lada hidam

Iklan

½ sudu serbuk kunyit

Bahan tumis

2 tangkai daun kari

3 tangkai cili kering (buang tangkainya sahaja)

½ biji bawang besar dipotong dadu

1 batang kulit kayu manis

5 biji buah pelaga

Minyak

Iklan

Cara-cara penyediaan:

Kisar atau tumbuk lumat bahan-bahan kisar.

Panaskan minyak dan masukkan bahan-bahan tumis sehingga naik aroma. Angkat bawang selepas agak keperang-perangan.

Kemudian, masukkan pula bahan kisar dan tumis sehingga pecah minyak. Pastikan sentiasa kacau supaya tidak hangit.

Masukkan ayam yang telah dibersihkan, gaul rata sehingga semua bahan tumis bersalut dengan ayam dan biarkan sehingga ayam masak.

Akhir sekali, siap untuk dihidang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.