Sengsaranya kalau ada resdung, ini tindakan penting dan segera perlu anda lakukan!

resdung
resdung
A
A
A

SETIAP hari, Sakina Amina Ahmad, 25, akan mengalami kegatalan hidung. Tangannya pula asyik ingin menggaru di sekitar kawasan mata dan hidung sehingga bertukar kemerah-merahan.

Badannya pula menjadi tidak selesa kerana terlalu kerap bersin.

Jika terdedah kepada habuk, asap kenderaan atau memegang haiwan berbulu pula, 'kesengsaraannya' semakin menjadi-jadi sehingga tidak mampu dikawal.

Kata wanita itu, emosinya sememangnya berkecamuk kerana terpaksa menjalani kehidupan serba tidak kena.

Persoalannya, apakah simptom-simptom yang dialami gadis itu berkaitan dengan masalah rongga sinus atau istilah yang dikenali ramai sebagai resdung?

Benarkah kemelut kesihatan itu boleh berpanjangan sehingga mampu menempah maut?

Bagi menjawab semua tanda tanya tentang penyakit resdung, Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr Dipak Banarsi Dass berkongsi hujahnya menerusi program Doktor dan Anda (DNA) yang disiarkan di semua platform SinarPlus baru-baru ini.

Dr Dipak.

Membuka bicara, Dr Dipak berkata, resdung sangat berkait rapat dengan masalah sinus infection (sinusitis).

Sinusitis adalah peradangan pada dinding sinus yang merupakan rongga kecil berisi udara di dalam tulang tengkorak meliputi sebelah atas, tepi dan bawah mata seseorang.

Saat berlaku jangkitan, rongga itu akan terisi lendir dan terjadilah pembengkakan pada selaput lendir sehingga membuatkan hidung tersumbat.

"Sebenarnya, ruang-ruang tersebut merupakan ruang yang kosong. Apabila berlakunya sinusitis, ruang-ruang berkenaan akan dipenuhi dengan lendiran. Lama-kelamaan, apabila tidak dirawat, ia akan bertukar menjadi nanah,” terang pakar tersebut.

Berdasarkan perangkaan, ujar Dr Dipak, penyakit resdung adalah satu masalah lazim yang berlaku di seluruh dunia. Di Malaysia sahaja, dianggarkan 60 hingga 65 peratus penduduk mengalaminya.

Bagaimanapun, daripada peratusan tersebut, boleh dikatakan kurang 50 peratus mendapatkan rawatan. Hal itu berkemungkinan besar disebabkan para penghidap menganggap gejala resdung hanyalah selesema atau alahan biasa yang tidak memudaratkan.

Menurut healthline.com, terdapat perbezaan yang sangat ketara antara resdung dan selesema, meskipun gejalanya hampir serupa.

"Perbezaannya adalah selesema akan hilang selepas mendapatkan rawatan dengan mengambil medikasi yang disarankan seperti ubat-ubatan.

"Namun, bagi resdung pula, ia akan hadir secara kerap (berulang-ulang) terutama apabila seseorang itu terdedah kepada alergen yang menyebabkan resdung," menurut portal perubatan antarabangsa itu.

Imuniti

Menyambung hujah, Dr Dipak memberitahu, imuniti badan memainkan peranan yang sangat penting dalam mencegah resdung.

"Sekiranya pesakit yang mempunyai imuniti rendah seperti penghidap sindrom imunodefisiensi atau AIDS dan diabetes, tidak dinafikan mereka sangat mudah mendapat jangkitan sinusitis,” ujarnya.

Secara asasnya, ujar Dr Dipak, resdung boleh dipecahkan kepada dua kategori utama iaitu:

1. Bermusim

  • Biasanya berlaku pada musim bunga, musim panas dan awal musim gugur. Ia terjadi disebabkan oleh sensitiviti alergi terhadap spora yang terbang di udara atau debunga daripada tumbuh-tumbuhan

2. Berpanjangan

  • Pesakit akan mengalami gejala sepanjang tahun. Lazimnya, kemelut itu menyerang berpunca daripada hama debu, bulu haiwan, lipas atau kulat.

Pun demikian, sesetengah pesakit hanya melalui fasa di luar kategori tersebut.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

"Contohnya, alahan hanya dialami beberapa hari sahaja dan kemudiannya akan berkurangan. Namun, (beberapa hari) selepas itu, ia (alahan) kembali ‘bertapak’ di dalam rongga hidung sehingga menjadi sempit dan menyebabkan kesukaran untuk bernafas," terangnya.

Menjawab satu soalan lain, ujar pakar itu, terdapat dua klasifikasi punca kepada alahan tersebut.

"Pertamanya adalah dari segi persekitaran seperti habuk, hama dan debu. Keduanya, dari sudut pemakanan seperti makanan berprotein, antaranya udang, kerang dan telur," tambahnya.

Dr Dipak juga ditanya bagaimana untuk membezakan simptom resdung yang seakan-akan sama dengan penyakit lain seperti kanser hidung, seduan, polip dalam saluran hidung dan jangkitan kuman pada saluran rongga muka?

Memberi respons pantas kepada soalan itu, beliau berkata, gejala-gejala yang dinyatakan akan lebih spesifik dan berlainan.

"Seperti alahan hidung, pesakit akan mengadu hidungnya tersumbat, gatal-gatal pada muka atau hidung dan mempunyai lendiran yang banyak.

"Sebaliknya, bagi kanser pula, mereka akan mengatakan gejala yang berbeza seperti hanya sebelah lubang hidung sahaja tersumbat dalam tempoh masa yang lama, bengkak pada bahagian leher, sakit pada muka serta sukar untuk membuka mulut," jelasnya.

Diagnosis berperingkat

Seperti kata Dr Dipak, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, Dr Ezairy M Sallih mengulangi fakta bahawa penyakit resdung dialami oleh ramai penduduk di negara ini.

Beliau juga menegaskan, ramai individu mempunyai gejala resdung, cuma mereka tidak sedar sedang atau telah mengalami simptom tersebut.

Kepada satu soalan, Dr Ezairy berkata, sekiranya pesakit mengambil keputusan untuk berjumpa doktor, proses diagnosis akan dilakukan ke atas pesakit secara berperingkat.

"Ia akan bermula dengan mengetahui sejarah dan latar belakang mereka. Pada peringkat ini, doktor mungkin sudah dapat mengenal pasti kemungkinan masalah yang dialami pesakit.

"Kemudian, pakar akan meneruskan pemeriksaan terutama pada hidung, tekak dan telinga. Pada tahap ini, kebiasaannya doktor sudah boleh kesan masalah sebenar pesakit," katanya.

Jika sudah didiagnosis sebagai pesakit resdung, langkah seterusnya adalah mendapatkan nasihat dan melakukan pemeriksaan dengan doktor perubatan yang bertauliah.

"Ia penting kerana ramai dalam kalangan pesakit lebih gemar mencuba rawatan tradisional yang belum tentu terjamin keberkesanannya. Ya, tidak salah untuk mencuba tetapi rawatan bersama doktor mesti dimulakan terlebih dahulu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, pakar perubatan tersebut berkata, pemeriksaan endoskopi yang turut akan dilakukan membolehkan struktur-struktur anatomi yang ada di dalam hidung pesakit dapat dilihat dengan jelas.

Bagi sesetengah kes pula, sampel darah akan diambil untuk dianalisis di makmal.

Baca juga: 'Susah nak tidur, telinga berdesing selama 14 hari,'-Pesakit resdung

"Tujuannya adalah untuk mengetahui punca masalah yang dialami mereka sama ada disebabkan oleh alahan, jangkitan virus, bakteria atau fungus.

"Rawatan yang biasa diberikan untuk itu adalah memberi ubat semburan hidung. Kekerapan penggunaannya pula adalah bergantung kepada jenis semburan hidung yang diberikan sama ada mengandungi steroid, antihistamine atau ubat pelega," katanya.

Pesakit juga mungkin akan diberi ubat seperti ubat alahan, pil steroid untuk sesetengah kes dan ada juga yang memerlukan ubat seperti antibiotik.

Sudah tentunya, apa juga jenis penyakit, ia boleh mengakibatkan komplikasi dan kesan sampingan. Begitu juga dengan penyakit resdung yang boleh mengganggu kualiti hidup pesakit.

Bagi kes yang kritikal, kata Dr Ezairy, ia boleh menyebabkan penghidap kerap tidak dapat datang ke sekolah dan juga ke tempat kerja.

"Selain itu, kes resdung yang lambat diketahui juga boleh menyebabkan jangkitan pada rongga sinus merebak. Ia (jangkitan) boleh menular ke mata atau otak sehingga boleh menyebabkan pesakit mengalami sawan dan koma.

"Masalah resdung yang dikenal pasti lebih awal lebih mudah untuk dirawat. Datang dan berjumpalah dengan doktor di hospital, pesakit akan dibantu," pesannya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca