Tangan sering berpeluh? Anda mungkin terkena tujuh penyakit ini

A
A
A

BERPELUH merupakan sesuatu yang biasa bagi seseorang manusia, namun keadaan berpeluh boleh menjadi satu masalah yang serius sekiranya didapati berlebihan terutama pada bahagian tangan dan ia dikenali sebagai Hyperhidrosis.

Masalah seperti ini boleh menganggu aktiviti harian bagi mereka yang mengalaminya terutama bagi masalah tangan berpeluh.

Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad berkata masalah tangan berpeluh atau dikenali sebagai Hyperhidrosis adalah masalah di mana seseorang individu menghasilkan peluh yang lebih banyak berbanding dengan mereka yang normal sehingga boleh mengganggu aktiviti harian.

Katanya, masalah ini boleh berlaku seawal peringkat usia kanak-kanak atau remaja.

"Bahagian anggota badan yang boleh mengalami masalah berpeluh yang banyak adalah seperti tapak tangan, tapak kaki, ketiak dan muka.

"Keadaan ini sebenarnya boleh membawa kepada tekanan perasan, perasaan malu untuk bersosial dan gangguan terhadap prestasi kerja.

"Ia turut menjadi lebih rumit sekiranya masalah tersebut berlaku di bahagian tangan.

"Masalah berpeluh berlebihan pada keseluruhan bahagian badan boleh disebabkan oleh masalah saraf autonomi iaitu yang melibatkan saraf sympathetic," tulisnya di Facebook.

Menurutnya, masalah berpeluh juga boleh berpunca daripada masalah-masalah lain seperti:

1. Demam

2. Kanser

3. Lemah jantung

4. Masalah kerisauan (Anxiety problem)

5. Masalah metabolik seperti hipertiroid, hipoglisemia, gout

6. Pengambilan ubat seperti propanolol, physostigmnine, pilocarpine dan lain-lain lagi

7. Peminum alkohol yang mengalami ketagihan kronik

Tangan sering berpeluh? Anda mungkin terkena tujuh penyakit ini

Sementara itu, kata Dr Zubaidi, masalah berpeluh di bahagian tapak tangan dan tapak kaki pula boleh berpunca daripada faktor keturunan.

"Mereka yang mempunyai masalah berpeluh ini selalunya mengalami simptom ini bermula pada peringkat usia kanak-kanak atau remaja.

"Namun, jika simptom ini berlaku pada peringkat usia dewasa atau warga emas, pemeriksaan lanjut hendaklah perlu dilakukan untuk mengenalpasti penyakit lain yang mungkin boleh membawa kepada masalah berpeluh tersebut.

"Saraf sympathetic merupakan saraf yang berperanan menyediakan badan seseorang supaya berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berlawan atau berlari.

"Ketika berada dalam keadaan seperti tersebut, denyutan nadi akan semakin bertambah, gula dalam darah juga bertambah dan mental akan menjadi lebih fokus. Namun, pada ketika ini juga, secara tidak lansung ia akan meransang kelenjar peluh untuk mengeluarkan peluh.

"Oleh sebab itu, keadaan seseorang yang mengalami masalah berpeluh berlebihan akan menjadi semakin teruk apabila dia berada di dalam keadaan yang takut ataupun ketika hendak berlawan," ujarnya.

Katanya lagi, adalah amat sukar untuk merawat Hyperhidrosis secara efektif.

"Namun, masalah ini tidaklah sampai membawa kepada kematian. Bagi peringkat yang lebih teruk, mereka yang mengalami masalah ini akan merasa kehidupan mereka menjadi terganggu.

"Berpeluh adalah sesuatu keadaan yang memalukan, boleh mengotorkan pakaian, mengganggu hubungan sosial serta menjadikan komunikasi menjadi lebih sukar.

"Bagi kes yang teruk, ia mungkin akan membawa kepada masalah untuk menulis, memegang stering kereta atau berjabat tangan dengan orang lain.

"Dengan kewujudan cara rawatan yang terbaru dan pelbagai jenis, pesakit berpeluang untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkesan," ujarnya.

Baca juga Siklamat, pemanis tiruan tanpa zat berisiko jadi penyebab kanser

Antara rawatan yang boleh dilakukan;

1. Ubat sapuan

Ubat sapuan yang selalu digunakan untuk merawat masalah ini adalah ubat sapuan yang mengandungi aluminium chloride hexahydrate.

Ubat ini perlu disapu pada kawasan yang mempunyai masalah tersebut ketika sebelum tidur.

Sapuan tersebut hendaklah dibilas setelah bangun daripada tidur untuk mengelakkan berlaku iritasi (kerengsaan).

2. Iontophoresis

Rawatan ini menggunakan air yang mempunyai arus elektrik yang rendah. Ia diberikan pada keseluruhan kulit yang mempunyai masalah peluh

berlebihan. Rawatan ini memerlukan masa selama 30 minit pada setiap hari.

Oleh sebab itu, kebanyakan pesakit tidak akan memilih rawatan seperti ini kerana ia akan mengambil masa yang lama.

3. Suntikan botox

Suntikan botox mengandungi bahan yang dinamakan sebagai toksin botulinum. Bahan ini berfungsi sebagai perencat kepada kalenjar peluh

dalam menghasilkan peluh. Rawatan ini terbukti dalam mengurangkan masalah peluh berlebihan.

4. Pembedahan

Oleh kerana masalah berpeluh ini adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan fungsi saraf sympathetic, pesakit boleh mendapatkan rawatan pembedahan untuk membuang sebahagian saraf tersebut. Rawatan ini dikenali sebagai sympathectomy.

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca