Al-Quran bukan sekadar dibeli dan baca, tapi...
al-quran
A
A
A
DALAM dunia yang serba mencabar pada hari ini, manusia memerlukan panduan untuk membimbing mereka.
Sebagai umat Islam, al-Quran, hadis dan sunah merupakan warisan peninggalan Rasulullah SAW untuk 'memandu' kehidupan seharian kita.
Sesungguhnya, ketiga-tiga khazanah itu bukan sahaja membimbing diri, tetapi juga mampu mendidik anak-anak yang masih lagi belajar erti kehidupan menerusi pendidikan formal dan tidak formal.
Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Shalina Mohamed menyifatkan, program #QuranHour misalnya antara titik pencetus kepada golongan masih 'hijau' itu untuk mendekatkan mereka kepada al-Quran.
"Diharapkan dengan banyak membaca, memahami dan menghayati al-Quran, ia dapat membentuk akhlak mulia pelajar.
“Saya mendapat maklum balas positif daripada mereka mengenai program berinteraksi dengan al-Quran ini. Saya bercadang untuk berbincang dengan jawatan kuasa surau dan guru Pendidikan Islam untuk aktiviti tadabbur dan tazakkur al-Quran bagi warga MRSM termasuk pelajar, guru dan kakitangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika penganjuran program Muafakat MRSM #QuranHour peringkat negeri Perak dan pelancaran Wakaf al-Quran sempena Mesyuarat Agung Muafakat Kali ke-11 di MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak, Trolak di Sungkai, Perak pada 13 Mac lalu.
Turut hadir, Presiden Muafakat Kebangsaan, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad; Timbalan Presiden, Mohd Nizar Ahmad dan Yang Dipertua MRSM Pasir Salak mewakili Muafakat MRSM Perak, Zalfani Azul Islami.
Sementara itu, Yang Dipertua Muafakat MRSM Felda, Nor Azman Kamarudin berkata, program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal itu dapat memberi manfaat kepada warga MRSM Felda dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) secara umumnya.
“Kami turut melancarkan Wakaf al-Quran dengan kerjasama Grup Buku Karangkraf untuk mengedarkan Al-Quran al-Karim Multazam (Waqaf Ibtida’) yang mempunyai terjemahan kepada seluruh MRSM di negara ini.
“Saya berharap al-Quran tersebut bukan sekadar dibeli dan dibaca, tetapi dihayati untuk dijadikan pedoman. Pihak kami percaya kekuatan kerohanian mampu membantu kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik," katanya.
Seramai 1,000 pelajar menyertai sesi berinteraksi dengan al-Quran yang dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah, diikuti dengan Surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5 dan Surah al-Rahman.
Pada program tersebut, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertadabbur Surah al-Rahman ayat 1 hingga 5 bagi memfokuskan empat nikmat iaitu al-Quran, al-Insan, al-Bayan dan al-Syams wal Qamar serta pertanyaan ALLAH yang diulang sebanyak 31 kali.
***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang