Hebat, Sarah Gamal muncul sebagai pengadil wanita berhijab pertama di dunia. Ini ceritanya...
ACARA bola keranjang 3 lawan 3 yang dipertandingkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 (yang akan berlangsung bermula Julai depan) menyaksikan kemunculan Sarah Gamal sebagai pengadil wanita berhijab pertama dalam kejohanan dunia tersebut.
Ya! Cukup membanggakan apabila wanita berdarah Arab dan Afrika itu hadir buat julung-julung kalinya di pentas terkemuka dengan penampilan sporty lengkap dengan bertudung hitam.
Tanpa rasa kekok, wanita berusia 32 tahun itu berdiri sama tinggi dengan pemain profesional lain ketika mengadili acara tersebut di Alexandria United Club.
Bercerita mengenai kisah Gamal, jurutera wanita tersebut mengakui belum pernah berdepan komen negatif dan halangan sebagai wanita berhijab sepanjang perjalanan kariernya sebagai pengadil.
"Bertudung tidak menjejaskan pertimbangan sebagai seorang pengadil dalam mana-mana kejohanan setakat ini dan apa yang pasti, saya sudah bersedia untuk beraksi di Olimpik Tokyo.
"Tumpuan saya kini lebih kepada latihan dan persiapan rapi untuk acara penting ini," katanya yang menimba pengalaman cukup luas dalam beberapa kejohanan termasuk FIBA World Youth Cup 2018 dan African Women’s Championship 2017.
Lapor arabnews.com, perubahan peraturan yang dibuat Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) pada tahun 2017 membolehkan pemain memakai hijab dalam keadaan tertentu.
Apa yang menarik, FIBA cuba menarik minat anak muda dengan penganjuran acara bola keranjang 3 lawan 3 yang cukup popular di seluruh dunia.
Format tambahan yang dikemas kini dalam program Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 2017 telah membolehkan pemain bermain tiga orang menggunakan separuh gelanggang dalam tempoh 10 minit.
Barangkali, sudah terbiasa bekerja dalam industri yang dimonopoli lelaki, membuatkan Gamal tidak gentar untuk mengadili atlet berbeza jantina di gelanggang.
"Pengalaman menjadi pengadil dalam permainan terdahulu membuatkan saya lebih yakin untuk mempamerkan prestasi terbaik," katanya yang jatuh cinta terhadap dunia bola keranjang pada usia lima tahun.
Hanya belajar daripada kakaknya, wanita yang menetap di Alexandria itu mula belajar teknik dan menguasai permainan hingga usianya mencecah 16 tahun.
"Disebabkan saya lebih minat kepada undang-undang dan disiplin dalam permainan membuatkan saya beralih menjadi pengadil perlawanan. Impian itu turut disokong keluarga.
"Bukan mudah sebenarnya untuk membahagi masa antara pelajaran dan latihan. Semuanya memerlukan ketahanan dari segi mental dan fizikal," ujarnya.
Bagi wanita itu, tiada apa yang lebih menakutkan kecuali tanggungjawab yang digalas.
"Sudah menjadi impian saya untuk melangkah lebih jauh khususnya dalam piala dunia, pada masa sama mahu mengekalkan kepercayaan yang diberikan pertubuhan antarabangsa yang banyak membantu karier ini," katanya.
Hebat bukan? Bermula hanya daripada minat membawa wanita itu melangkah lebih jauh.
Penampilan berhijab tidak sedikitpun menimbulkan persepsi negatif bahkan membuktikan wanita Islam mampu membuktikan keupayaan diri.
Kejayaan yang diraih pengadil muda ini mampu memberikan inspirasi buat semua wanita di luar sana.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang