Johan Ghazali, keluarga terkandas di Makkah, anggap ujian jadi rezeki ibadah lebih lama- 'Sapa ada pesawat peribadi, roger sikit'

No Image Caption
A
A
A

PERJALANAN pulang yang sepatutnya menjadi penutup indah selepas menunaikan umrah bertukar menjadi pengalaman luar jangka buat bintang muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar.

Namun di sebalik situasi cemas akibat pembatalan penerbangan, atlet muda itu memilih untuk melihatnya dari sudut yang lebih positif, peluang meluangkan masa lebih lama di Tanah Suci.

Johan yang lebih mesra dengan panggilan Jojo memaklumkan dirinya bersama keluarga terkandas di Makkah selepas penerbangan pulang ke Malaysia dibatalkan secara tiba-tiba.

Perkara tersebut dikongsikan tuan punya badan menerusi hantaran di Instagram Story miliknya.

Dalam hantaran tersebut, beliau turut memuat naik tangkap layar emel rasmi daripada syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang memaklumkan status penerbangannya telah dibatalkan.

Walaupun berdepan perubahan perancangan yang tidak dijangka, jaguh ONE Championship itu tenang dan tidak panik, bahkan menganggap situasi tersebut sebagai aturan terbaik daripada Yang Maha Esa.

“Masa yang tepat, sepatutnya terbang balik esok.

"Perancangan ALLAH. Siapa ada pesawat peribadi, roger sikit,” selorohnya ringkas, mencuit perhatian pengikut di media sosial.

No Image Caption

Difahamkan, Jojo dijadualkan pulang ke Malaysia pada Ahad selepas selesai mengerjakan ibadah umrah bersama keluarga di Makkah.

Namun, pembatalan penerbangan itu bukanlah kes terpencil, sebaliknya berlaku susulan gangguan operasi beberapa syarikat penerbangan antarabangsa.

Situasi tersebut berpunca daripada penutupan ruang udara di beberapa negara Asia Barat ekoran konflik peperangan yang memuncak melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran sejak Sabtu lalu.

Keadaan itu menyebabkan banyak penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan atau dijadualkan semula demi faktor keselamatan.

Bukan hanya Jojo sahaja atlet Malaysia yang berada di Tanah Suci ketika situasi tersebut berlaku. Pemanah wanita negara berpengalaman, Fatin Nurfatehah Mat Salleh turut berdepan cabaran sama apabila penerbangannya turut terjejas.

Bagaimanapun, rezeki memihak kepada Fatin apabila berjaya mendapatkan penerbangan alternatif untuk pulang ke tanah air.

Memetik Harian Metro, penerbangan asal dibatalkan selepas tertangguh selama lima jam sebelum beliau mengambil keputusan menempah tiket melalui syarikat penerbangan Arab Saudi.

“Penerbangan itu dibatalkan selama lima jam.

"Alhamdulillah, kami berjaya menempah penerbangan lain melalui syarikat penerbangan Arab Saudi untuk terbang pulang ke Kuala Lumpur.

“Doakan jemaah yang lain. Hanya penerbangan Saudi Airlines sahaja yang masih terbang. Airlines lain semua ‘cancel’,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang