Tilik ayat al-Quran sesuka hati, neraka harganya!

A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, semacam jadi satu fenomena apabila ada pihak tertentu yang melakukan tilikan al-Quran dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Tidak terhenti setakat di situ sahaja, ada juga pihak yang mula 'menujum' ayat al-Quran pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Pihak berkenaan cuba mengaitkan PKP dengan ayat 33, Surah al-Ahzab yang dimulai dengan lafaz Wa qarna.

Lantas, mereka mereka membuat kesimpulan mudah dengan mengatakan perkataan Wa qarna sama dengan corona.

Apatah lagi, makna perkataan Wa qarna adalah 'dan diamlah di rumah kamu'. Maka, pihak berkenaan mendakwa bahawa ayat berkenaan sangat sesuai dengan perintah PKP.

Bagi menjelaskan dakwaan ini, ikuti perkongsian pendakwah, Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim tentang perkara itu.

Berdasarkan ayat al-Quran yang dimaksudkan dengan tilikan tadi;

Firman ALLAH SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ….

Ertinya: "(Wahai para isteri Nabi Muhammad SAW) Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya…" (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Berdasarkan kepada ayat berkenaan, ternyata teori yang dinyatakan individu 'nujum tilik' tadi salah kerana asal bagi perkataan Wa qarna (وقرن) adalah Waqara (وقر).

Ada juga pendapat mengatakan ia adalah Qarra (قَرَّ) yang bermaksud diam atau tinggal, bukannya Qarana (قرن) yang bermaksud damping.

Bagi mereka yang belajar Bahasa Arab, pastinya mereka kenal benar dengan fi'il madhi (kata kerja yang sudah dilakukan) kepada perkataan ini.

Apabila ia datang dalam bentuk arahan atau fi’il amar kepada sekumpulan wanita, maka ia menjadi Qarna (قرن) yang bermaksud 'hendaklah kalian diam/tinggal'. Huruf wau pada perkataan Wa qarna (وقرن) bukan asal perkataan, tetapi adalah wau penghubung yang bermaksud  'Dan hendaklah kalian diam/tinggal'.

Jelas bahawa ia sangat 'jauh' hendak dikatakan perkataan tadi sama dengan corona. Tambahan pula, istilah corona bukan berasal daripada bahasa Arab, tetapi bahasa Latin yang kemudiannya menjadi istilah perubatan moden.

Perlu diingat, al-Quran adalah kalam ALLAH yang tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa ilmu. Neraka harganya!

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berkata sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu, maka tersedialah untuknya tempat dalam neraka” (Sunan al-Tirmidhi, hadis ini dibincangkan ulama tentang status sahih atau dhaifnya)

Sebenarnya, sikap suka 'menujum tilik' ayat al-Quran bukanlah perkara baru di Malaysia. Hakikatnya, perkara itu pernah berlaku beberapa kali sebelum ini dan semuanya menyimpang jauh daripada maksud sebenar ayat tersebut.

Antara 'kecelaruan' nujum yang pernah menjadi tular sebelum ini:

1. Mengaitkan peristiwa kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 dengan surah Yasin.

2. Mengaitkan peristiwa tsunami 2004 yang berlaku pada 26 Disember dengan kejutan dan gegaran langit serta bumi akibat dakwaan ALLAH mempunyai anak pada surah Maryam, ayat 88-91.

3. Mengaitkan peristiwa pengeboman bangunan World Trade Centre, New York, Amerika pada 11 September 2001 dengan ayat 109, Surah al-Taubah.

4. Mengaitkan peristiwa Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang memakai gelaran Sultan Muhammad V dengan usia baginda ketika ditabalkan. Menurut peramal, baginda berusia 47 tahun ketika ditabalkan dan surah ke-47 dalam al-Quran juga dinamakan surah Muhammad.

Semua perkara ini perlu dibendung kerana jika ia dibiarkan, tidak mustahil suatu hari nanti al-Quran menjadi bahan mencari nombor ekor oleh 'penggila' judi kaki ekor.

Tilik al-Quran BACA al-Quran dan fahami isi kandungannya, namun jangan pula kita menilik kalam ALLAH itu dengan kejadian seperti wabak Covid-19 tanpa ilmu di dada kerana buruk padahnya.

Nama Covid-19 tiada kaitan dengan 19 malaikat penjaga neraka

Sebelum kecelaruan berkenaan merebak kepada Covid-19, Ustaz Abdullah Bukhari turut menjelaskan bahawa nama wabak itu dengan jumlah 19 malaikat penjaga neraka langsung tiada kaitan.

Firman ALLAH SWT: "(Disebabkan kekufurannya itu) AKU akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus) Ia terus-menerus membakar kulit manusia! Pengawal dan penjaganya adalah 19 (malaikat)." (Surah al-Muddaththir, ayat 26-30)

Ayat itu menunjukkan celaan ALLAH kepada tokoh Quraisy yang bernama Al-Walid bin al-Mughirah. Setelah mendengar dan tahu kebenaran al-Quran, dia tetap menolak dan menuduh al-Quran berasal daripada hikayat dongeng dahulu kala.

Akibatnya, dia bakal dihumban ke neraka Saqar yang disebut sifatnya dalam ayat berkenaan. Neraka Saqar pula dikawal rapi oleh 19 malaikat.

Angka 19 malaikat penjaga neraka sebenarnya suatu bukti mukjizat al-Quran kerana kitab Taurat dan Injil sudah menyebut perkara sama.

Kesamaan angka 19 yang unik tentang jumlah malaikat penjaga neraka menjadi sebab iman ahli Kitab yang ikhlas dan para sahabat naik mencanak. (Tafsir Ibn Kathir)

Janganlah pula ada yang mengemukakan teori bahawa al-Quran sudah menyebut tentang angka 19 yang dinamakan sempena dengan wabak itu yang mana panasnya membakar hampir seluruh dunia sama seperti kegarangan para malaikat penjaga neraka yang berjumlah 19 malaikat.

Jangan sesekali kaitkan nama wabak ini dengan ayat itu. Takutlah ALLAH!

Apa pun, jangan sesekali mempertahankan tilikan sebegini dengan menggunakan alasan 'mukjizat angka pada al-Quran'.

Memang kajian itu ada dibuat seorang pengkaji bernama Abdul Razzak Nawfal dengan bukunya, al-I’jaz al-‘Adadiy Li al-Quran al-Karim (Mukjizat angka dalam al-Quran), terbitan Dar al-Kutub al-‘Arabiy tahun 1987.

Namun, ketahuilah bahawa jauh beza antara dakwaan mukjizat dengan dakwaan nujum tilik. Mukjizat angka ada dasarnya yang jelas dan tidak bersifat nujum atau tilik.

Nujum tilik pula sangat diperangi Islam kerana ia adalah cubaan mencabar pengetahuan ghaib yang hanya diketahui oleh ALLAH. Berinteraksilah dengan al-Quran secara betul dan benar, bukan dengan cubaan tilik nujum kerana ia tak akan membawa kita ke mana-mana.

Justeru, jangan sekali-kali kita memandai-mandai untuk membuat tilikan ayat al-Quran tanpa ilmu di dada. Di akhirat kelak, kita akan binasa!

(Sumber: Facebook Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca