Anak lemah, kurang selera makan boleh jadi punca tidak amalkan pengambilan ubat cacing
UBAT cacing ialah sejenis rawatan yang digunakan untuk menghapuskan jangkitan cacing parasit dalam tubuh manusia. Cacing parasit ini biasanya menjangkiti sistem pencernaan dan boleh menjejaskan kesihatan individu, terutamanya kanak-kanak.
Di negara dunia ketiga, jangkitan parasit cacing memberikan masalah besar pada kanak-kanak. Ia memberikan kesan kepada mereka dari segi kehadiran ke sekolah.
Laporan UNICEF membuktikan kanak-kanak yang diberikan ubat cacing mempunyai berat dan perkembangan fizikal yang sempurna berbandingan mereka yang tidak diberikan ubat cacing.
Menurut Doktor Perubatan Am di Poliklinik Penawar Johor Bahru, Dr Zubaidi Hj Ahmad, cacing akan masuk ke tubuh kanak-kanak apabila mereka termakan telur cacing yang berada dalam makanan mereka.
Telur cacing itu akan menetas di dalam usus kecil manusia dan membesar dengan mendapat zat pemakanan ketika proses penghadaman. Cacing dewasa yang mengawan dan bunting akan bergerak ke usus besar dan rektum. Telur cacing ini akan dikeluarkan melalui najis.
Jangkitan cacing boleh berlaku disebabkan kebersihan diri yang kurang baik, pendedahan kepada tanah atau persekitaran yang tercemar, serta pengambilan makanan atau air yang tidak bersih.
Ini dilakukan secara tidak sengaja apabila mereka mengabaikan kebersihan tangan sebelum makan.
Selain itu, cacing juga boleh memasuki tubuh melalui kulit kaki yang terdedah.
Terdapat pelbagai jenis cacing yang menjadikan tubuh kita sebagai tempat untuk mereka membesar dan membiak.
Haiwan peliharaan
Antaranya cacing cangkuk (hook worm),cacing gelang (round worm), cacing benang (thread worm), cacing kerambit dan cacing pita (tape worms).
Antara simptom-simptom yang disebabkan cacing dalam tubuh ialah:
- pucat akibat anaemia (kekurangan darah merah),
- cepat rasa lemah dan letih,
- kurang selera makan,
- abdomen yang kembung.
Terdapat juga tanda-tanda kegatalan di kulit kaki dan lubang dubur. Cacing-cacing ini akan mengambil nutrien makanan yang diserap ketika kita makan dan menyebabkan tubuh mengalami kekurangan zat makanan.
Dalam pada itu, Dr Zubaidi juga mengatakan bahawa jangkitan cacing yang kronik memberikan kesan yang berbahaya..
Sebagai contoh, cacing pita boleh menyebabkan kerosakan pada otak, cacing kerambit boleh menyebabkan luka pada usus sementara cacing gelang boleh menyebabkan usus tersumbat, sembelit dan kembung abdomen.
Pada masa sama, beliau kerap kali dihujani soalan oleh ibu bapa di luar sana akan kekerapan kanak-kanak perlu diberikan ubat cacing.
“Ubat cacing (deworming) selalunya diberikan dalam jarak antara enam bulan hingga setahun sekali.
“Jarang sekali kanak-kanak mengalami kesan sampingan yang merbahaya dari ubat yang dimakan.
“Selalunya cacing mati yang dikeluarkan akan menyebabkan kulit kanak-kanak itu menjadi ruam dan mereka mengadu kegatalan.
"Deworming secara berkala juga akan membantu mengeluarkan cacing serta telurnya dari usus kanak-kanak yang dijangkiti,” jelas Dr Zubaidi.
Beliau sempat berkongsi contoh serta dos yang diperlukan berdasarkan ubat yang mudah didapati dari farmasi, iaitu Vemizol, ubat cacing berbentuk suspension cecair yang mengandungi 200 miligram (mg) albendazole dalam setiap lima milimeter (ml).
Kata beliau, dos yang diberikan bergantung kepada umur kanak-kanak itu. Bagi kanak-kanak antara satu hingga dua tahun, 5ml diberikan sebagai dos tunggal. Sementara bagi kanak-kanak yang berumur dua tahun ke atas, 10ml diberikan sebagai dos tunggal.
Namun jika kita dapati terdapat cacing pada najis di tandas, maka dos ubat cacing berkenaan seelok-eloknya diteruskan selama tiga hari.
"Jika masih lagi terdapat banyak cacing dalam najis pada hari keempat atau terdapat bukti bahawa kanak-kanak itu dijangkiti parasit cacing yang kronik, bawalah anak berjumpa dengan pakar paediatrik.
"Pemeriksaan najis melalui mikroskop akan memberitahu jika kanak-kanak ini telah bebas dijangkiti parasit cacing.
"Untuk keluarga yang memiliki haiwan peliharaan seperti kucing, sebaiknya lakukan pemeriksaan setahun sekali. Ini kerana dalam kehidupan di bandar, cacing dapat disebarkan dengan mudah melalui haiwan peliharaan. Selain kanak-kanak, haiwan peliharaan ini juga harus diberikan ubat cacing,"ujarnya lagi.
Menurut pakar itu lagi, penghapusan cacing dari tubuh kanak-kanak akan membantu memastikan kesihatan fizikal dan mental anak terjaga.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang