Mandi selepas Asar, Maghrib dan Isyak jejas kesihatan serta dilarang agama… Itu semua karut, hakikatnya
PADA zaman nenek moyang kita dahulu, memang ada sahaja pantang larang mereka. Malah, ada yang diwariskan kepada kita yang kini hidup dalam era milenial.
Meskipun kemudahan mengakses maklumat sudah ada di hujung jari, tetapi masih ada sebilangan orang yang mempercayai pantang larang berkenaan. Maklum sahajalah, nasihat itu telah 'diwariskan' turun-temurun.
Antara yang paling popular adalah berkaitan dengan larangan mandi pada tiga waktu iaitu selepas Asar, Maghrib dan Isyak.
Jika kita mandi juga pada waktu-waktu berkenaan, kononnya ia akan menyebabkan penyakit tertentu.
Persoalannya, sejauh manakah kebenarannya? Apakah pandangan Islam tentang perkara ini?
Semalam, Dr Amalina Che Bakri yang merupakan pegawai perubatan berkongsi tentang kebenaran perkara tersebut dari aspek perubatan dan agama.
Pelatih pakar bedah itu berkongsikan pandangan seorang doktor perubatan, Dr Suhazeli Abdullah dan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi coretannya yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Perkongsian Dr Amalina di Twitter miliknya itu telah menerima lebih 5,000 tanda suka dan 5,000 kali diulang kicau.
Memetik pandangan Dr Suhazeli, sebenarnya, tiga waktu larangan sebagaimana yang diperkatakan oleh sebilangan masyarakat itu adalah tidak tepat dari sudut kesihatan.“Mungkin ia hanya pengalaman yang berlaku kepada sesetengah orang, tetapi secara umumnya larangan tersebut tidak tepat dari sudut kesihatan,” katanya.
Dr Suhazeli yang juga pakar perunding perubatan keluarga itu turut membuat ulasan tentang tiga waktu larangan mandi berkenaan:
1. 30 minit selepas solat Asar
- Darah badan kita sentiasa panas dengan julat suhu 36.5 hingga 37.5 darjah celsius. Ia sesuai dengan spesies manusia iaitu sejenis mamalia yang berdarah panas.
- Jika kita mandi sekalipun, darah kita tidak akan berubah sama ada sejuk atau terlalu panas. Keseimbangan akan tetap terjamin.
- Mandi pada ketika ini dibolehkan dan tiada kesan kesihatan.
- Penat dan lelah secara lumrahnya boleh berlaku setelah kita bekerja sepanjang hari, tiada kaitan pun dengan mandi.
2. Selepas Maghrib
- Jantung manusia bekerja sepanjang waktu, tidak mengenal penat dan lelah.
- Bagi orang yang normal degupannya iaitu berdetak antara 60 hingga 110 kali seminit.
- Tiada istilah jantung lemah kecuali orang yang diserang penyakit jantung lemah.
- Tiada kajian pun mengaitkan mandi selepas Maghrib atau mandi malam menyebabkan paru-paru berair.
- Mitos mandi malam penyebab paru-paru berair itu selalu disebarkan dalam masyarakat kita.
- Pada zaman dahulu, orang tua-tua melarang mandi malam kerana kesusahan untuk ke perigi yang berada di luar rumah. Eletrik pun tiada dan kegelapan malam yang menyusahkan untuk bergerak. Sekarang zaman sudah berubah.
(Artikel berkaitan: Mandi dalam kolam renang yang pernah dimasuki anjing, apa perlu dibuat…)
3. Selepas Isyak
- Jika jantung kita terhenti, pengsanlah kita atau itu adalah tanda kematian. Tidak sesekali jantung kita akan beristirahat atau berhenti melakukan tugasnya mengepam darah ke seluruh tubuh.
- Mandi selepas Isyak tidak mendatangkan mudarat kepada badan ataupun jantung berair.
- Malah, mandi pada awal pagi bukannya teknik untuk cas semula jantung. ALLAH jadikan jantung kita sesuatu yang unik, tidak perlu dicas atau diletakkan bateri kecuali penyakit tertentu seperti rithma jantung tidak menentu (cardiac arrytmia) yang memerlukan pacemaker.
Dr Suhazeli yang aktif menulis dalam bidang fikah perubatan turut menambah, tiada dalil al-Quran atau hadis yang melarang mandi pada tiga waktu yang disebutkan itu.
Justeru, beliau mengingatkan agar kita jangan sesekali cuba menyandarkan sesuatu yang tidak pernah disebut oleh Rasulullah SAW sebagai sunah. Mungkin terdapat ulama yang tidak menjadikan amalan mereka mandi pada waktu-waktu tertentu.
“Namun, ia bukanlah satu arahan khusus dan amalan itu bergantung kepada suasana kehidupan mereka. Tidak diglobalisasikan tegahan larangan mandi itu kepada seluruh umat di dunia ini.
“Terdapat hadis yang menyebut sunat untuk mandi sebelum solat Jumaat, tetapi ia bukannya arahan wajib. Malah, jika tidak mandi pun, ia tidak menimbulkan implikasi kesihatan,” terang beliau.
Sementara itu, memetik artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-188: Hukum Mandi Malam di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli menjelaskan, tiada nas berkaitan larangan mandi pada waktu malam.
“Untuk itu, kita dibolehkan untuk mandi pada bila-bila sahaja yang kita kehendaki kerana tiada dalil berkaitan larangan mandi pada waktu malam.“Bagaimanapun, terdapat beberapa pendapat daripada kalangan ahli ilmu tentang kemakruhan mandi ketika matahari hamper terbenam dan di antara dua Isyak (antara Maghrib dan Isyak),” katanya.
Beliau turut memetik pandangan ahli ilmu dalam kitab Mughni al-Muhtaj yang menyebut: “Dan adalah makruh memasukinya (tandas) ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua Isyak (antara Maghrib dan Isyak) kerana pada waktu itu syaitan berkeliaran.”
Berdasarkan penjelasan di atas, jelaslah bahawa kita digalakkan mandi pada bila-bila masa selain dua waktu makruh memasuki tandas yang disebutkan.
Semoga jawapan ini dapat merungkaikan segala tanda tanya kita selama ini tentang larangan mandi pada waktu tertentu kerana memberi kesan kepada kesihatan.
Sumber: Twitter @DrAmalinaBakri, Facebook Dr Suhazeli Abdullah & laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Foto: Freepik
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang