Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita. Ketahuilah, sakit bukanlah syarat kepada kematian
HIDUP di dunia ini begitu mempesonakan, 'menyihir' mata dan telinga, malah hati serta jiwa. Pun demikian, apabila digoda dengan harta, manusia mudah alpa sehingga terjerumus ke dalam jurang kebinasaan.
Ketahuilah bahawa bumi yang dihuni kita pada hari ini hanyalah bersifat sementara, akhiratlah merupakan tempat paling abadi.
Dalam kitabullah, ALLAH SWT jelas mengingatkan umat-NYA untuk mengutamakan akhirat. Renungilah sedalam-dalamnya maksud di dalam Surah al-An'am, ayat 32: "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?”
Tidak salah sebenarnya untuk mengecapi nikmat dunia seperti memiliki kemewahan, namun kita tidak boleh sesekali lupa dengan kehidupan di alam abadi. Mengertilah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.
ALLAH telah menentukan ajal setiap insan sejak azali lagi. Apabila sampai ketikanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun.
Dalam Islam, di antara amalan yang diajar kepada umatnya adalah sentiasa mengingati mati. Maut diumpamakan sebagai 'jodoh' yang akan kita temui pada penamat perjalanan dalam hidup ini.
Justeru, mengapa kita digalakkan untuk ingat kepada kematian? Apakah fadilat dan bekalan yang perlu kita sediakan untuk menghadap ALLAH kelak?
Elak maksiat, dosa
Sinar Islam Plus menghubungi pendakwah Dr Mohd Nasir Masroom (gambar) untuk kupasan lanjut. Ujar beliau, pada umumnya, hukum mengingati mati adalah sunat.
Terdapat banyak dalil di dalam al-Quran dan hadis yang memberi peringatan tersebut. ALLAH berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud: "Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Oleh itu, sesiapa yang dihindarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya.”
Dalam Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Perbanyakkan mengingati pemutus kelazatan (iaitu kematian)."
Mengapa umat Islam disaran untuk sentiasa berfikir tentang ajalnya? Menjawab pertanyaan itu, Dr Mohd Nasir berkata, terdapat banyak kelebihan atau hikmah di sebalik seruan berkenaan.
"Pertama, seperti yang disebut dalam hadis tadi, dengan mengingati mati, hati manusia akan terputus daripada kelazatan dunia yang sering melalaikan.
Kelalaian terhadap dunia sering menyebabkan manusia melakukan perbuatan maksiat, dosa dan kezaliman. Dengan mengingati mati, manusia menjadi lebih berhati-hati dengan perbuatan dosa dan maksiat," terangnya sambil menambah, tidak lupa kepada ajal juga boleh mendorong seseorang untuk menggandakan amal kebajikan dan kebaikan sebagai persediaan menghadapi maut.
Pada masa sama, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia itu berkata, amalan tersebut secara tidak langsung akan melahirkan sifat terpuji. Antaranya seperti bersederhana dalam setiap urusan duniawi, lebih cermat dan berhati-hati dalam melakukan tindakan termasuk membuat keputusan.
"Selain itu, manusia dapat menghindarkan sifat keji seperti sombong, tamak, rakus dan pentingkan diri sendiri.
"Seseorang juga dianggap sebagai bijak kerana bersedia menghadapi kematian, mereka akan rugi dan menyesal jika tiada persediaan yang cukup. Ini kerana kematian adalah satu kepastian dan hanya amalan yang baik akan menjadi bekalan di alam abadi nanti," katanya.
Pernyataan itu diperkukuhkan lagi dengan sabda baginda dalam Hadis Riwayat Ibn Majah yang bermaksud: "Mukmin yang bijak adalah mereka yang banyak mengingati mati. Dan sebaik-baik mereka adalah orang yang bersedia (dengan bekalan) selepasnya, merekalah orang-orang yang bijak."
BACA JUGA Jadikan dunia sebagai lombong galian pahala bagi persiapan menuju akhirat' -Pendakwah
Rahsia kematian
Mengulas lanjut, agamawan tersebut berkata, mengingati mati tidaklah bermaksud kita hanya melakukan ibadah seperti solat, zikir dan meninggalkan urusan mencari nafkah, bekerja mahupun bersosial. Itu adalah satu kefahaman yang tidak betul, tegasnya.
Kita kena ingat, tujuan hidup seorang Mukmin adalah untuk beribadah kepada ALLAH SWT. Ini bermaksud, semua perbuatan kita bermula daripada bangun tidur sehinggalah masuk tidur semula pada setiap hari adalah bermatlamatkan untuk beribadah kepada-NYA. Ingin saya ulangi, ibadah tidak terhad kepada solat, puasa dan doa tertentu semata-mata, tetapi merangkumi semua perbuatan dan pekerjaan yang berasaskan kepada niat yang baik, ikhlas dan mematuhi hukum syarak," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mohd Nasir menyangkal andaian sebahagian masyarakat bahawa kematian hanya akan datang apabila sakit tenat atau terlantar di atas katil.
Jelas beliau, sebagai manusia, kita boleh menjangkakan tarikh kelahiran seorang bayi, namun tiada siapa tahu mengenai masa kematian secara pasti.
Firman ALLAH: "..Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya ALLAH MAHA MENGETAHUI lagi amat meliputi pengetahuan-NYA." (Surah Luqman, ayat 34)
Penceramah itu berkata, sakit bukanlah syarat kepada kematian dan sihat bukanlah ketetapan kepada kehidupan.
Ramai yang kembali sihat selepas sakit yang berpanjangan dan ramai yang menemui ajal secara tiba-tiba tanpa tanda dan sangka. Sesungguhnya, kematian datang tepat pada masa yang telah ditetapkan seperti firman ALLAH SWT dalam Surah al-Araf, ayat 34," katanya.
Kepada satu soalan, beritahu Dr Mohd Nasir, ALLAH merahsiakan tarikh dan waktu kematian supaya umat-NYA sentiasa bersedia untuk menghadapinya.
Justeru, kita perlu bersiap siaga setiap masa untuk mengerjakan kebaikan dan menghindari daripada melakukan kejahatan, kerosakan serta kezaliman.
Inilah sifat adil ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA iaitu memberi peluang kepada semua insan memilih untuk melakukan kebaikan atau kejahatan. Sekiranya manusia tahu masa kematiannya, sudah tentu mereka akan bertaubat atau menjadi baik pada penghujung masa hidup mereka. Jika ini berlaku, maka tiada manusia yang akan menjadi baik dari awal usia mereka. Masa mereka akan dihabiskan dengan melakukan perkara mengikut hawa nafsu semata-mata. Masing-masing akan mencongak untuk berubah menjadi baik setahun atau sebulan atau seminggu atau sehari sebelum malaikat maut menjemput mereka,” ujarnya.
Segera bertaubat
Penulis kemudian mendapatkan pandangan pendakwah Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir (gambar) dengan bertanyakan perihal manusia yang berputus asa dalam kehidupan, lalu bercita-cita untuk mati.
Beliau lantas berkata, dalam kehidupan fana ini, memang sarat dengan cabaran.
"Contohnya, pada era Covid-19 ini, dua ranjau besar yang sering dihadapi adalah kehilangan insan tersayang dan kemerosotan ekonomi. Ramai juga diberhentikan kerja dan terpaksa bermula semula.
"Jika ujian ini ditamatkan dengan membunuh diri, maka berapa ramai yang perlu membunuh dirinya hanya kerana ujian dalam kehidupan?” soalnya.
Jalan sebenar-benarnya untuk menangani tantangan berkenaan adalah dengan kekuatan dan keampuhan iman. Perbuatan menamatkan nyawa sendiri apabila dilingkari rintangan adalah perbuatan yang tidak wajar dan haram, tegas beliau.
Nas di dalam al-Quran ada menyatakan: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Sesungguhnya, kata Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia itu, apabila kita diuji, ingatlah kepada-NYA dengan menzahirkannya ucapan tarji’, inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.
Bersegeralah bertaubat, perbuatan suka menangguhkan (taubat) amat merugikan. Masa tidak menunggu kita, sebaliknya (masa) makin sedikit. Andaikan umur kita ditakdirkan hingga 60 tahun, bermakna masa yang kita ada semakin tak banyak,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang