Usia 64 tahun masih ligat berlumba, Karamjit Singh kini dilantik duta jenama
LEBIH empat dekad dalam dunia sukan permotoran, Karamjit Singh atau Flying Sikh terus membuktikan usia bukan penghalang mengejar impian. Terbaharu, jaguh rali negara itu menggalas tanggungjawab baharu sebagai Duta Jenama dan Chief Acceleration Officer Ampersand Advisory.
Bukan calang-calang anak Malaysia yang mampu mengukir nama di pentas sukan antarabangsa, apatah lagi mencipta sejarah dalam dunia rali yang cukup mencabar.
Namun, itulah perjalanan yang dilalui Karamjit Singh apabila menjadi rakyat Asia pertama memenangi Kejohanan Rali Dunia FIA Production Car World Rally Championship pada 2002.
Lebih dikenali dengan gelaran Flying Sikh, pengalaman lebih empat dekad dalam sukan permotoran menjadikan Karamjit antara figura yang cukup disegani dalam arena berkenaan.
Menariknya, pada usia 64 tahun, beliau masih belum menunjukkan tanda mahu memperlahankan langkah. Buktinya, Karamjit terus aktif berlumba dan terbaharu berjaya menjuarai Rally of Melaka 2026.
Di sebalik deretan pencapaian itu, perjalanan kerjayanya kini memasuki fasa baharu apabila dilantik sebagai Duta Jenama dan Ketua Pegawai Pecutan (Chief Acceleration Officer) Ampersand Advisory Sdn Bhd.
Pelantikan berkenaan membuka peluang buat Karamjit membawa pengalaman dan kepakarannya ke luar litar perlumbaan, khususnya menerusi pengucapan motivasi, penglibatan kepimpinan korporat, sesi bimbingan serta kerjasama jenama.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Ampersand Advisory, Sandeep Joseph berkata, pengalaman antarabangsa serta dedikasi Karamjit dalam sukan permotoran mempunyai nilai besar untuk dikongsikan dengan pihak korporat.
Beliau turut mendedahkan keputusan membawa Karamjit menyertai agensi itu tercetus selepas mengetahui jaguh rali berkenaan pernah memandu Grab untuk mencari rezeki.
Menurut Sandeep, pihaknya mahu membantu membuka ruang agar pengalaman dan kebijaksanaan Karamjit dapat dimanfaatkan menerusi perkongsian bersama golongan korporat.
MASIH ADA IMPIAN UNTUK DICAPAI
Bagi Karamjit, perjalanan dalam sukan permotoran masih jauh daripada penghujungnya.
Beliau menyasarkan penyertaan dalam WRC Masters Championship, selain mahu berkongsi ilmu dan pengalaman dengan generasi pelumba Malaysia akan datang.
Katanya, negara mempunyai ramai bakat berpotensi, namun mereka memerlukan peluang, sumber dan sokongan yang sewajarnya untuk berjaya di peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan lain, perjalanan hidupnya turut bakal diangkat ke layar perak menerusi filem Terbang terbitan Astro Shaw.
Karamjit mengakui berasa rendah diri apabila mengetahui pengalaman dan perjuangannya dalam sukan rali mendapat perhatian untuk diadaptasi menjadi sebuah filem.
Beliau berharap karya itu dapat memberi inspirasi kepada anak muda Malaysia untuk meneroka sukan permotoran dan percaya bahawa mereka juga mampu mencipta kejayaan di pentas dunia.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

