'Ya, saya memang anak mak.' Zaki Yamani selesa diuruskan ibu, enggan dibayangi ayah sendiri

A
A
A

ZAKI Yamani, anak muda tinggi lampai dan berkulit putih melemparkan senyuman manis buat penulis yang menyambut kedatangannya bersama ibu tersayang ke studio A, Sinar Karangkraf baru-baru ini.

Penyanyi yang sedang meningkat nama itu baharu sahaja menamatkan pengajian dan sedang menanti keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lantas kepada tuan punya badan diajukan pertanyaan mengenai perasaannya selepas segala-galanya sudah selesai.

zaki

“Lega. Itu yang boleh saya katakan. Malas nak fikirkan hal itu (SPM). Kalau dapat keputusan yang baik, alhamdulillah saya akan sambung lagi ke peringkat yang lebih tinggi.

“Mungkin bidang muzik akan jadi pilihan saya kelak. Pun begitu, semuanya bergantung kepada keputusan yang bakal keluar nanti,“ ujar Zaki memulakan bicara awal.

Pemilik nama penuh Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah memberitahu, demi memastikan fokusnya tidak terganggu, beliau sanggup mengenepikan tawaran menyanyi.

“Saya berlapang dada dan anggap itu bukan rezeki. Lagipun sebelum itu sudah berpenat lelah bekerja, jadi di samping fokus kepada peperiksaan, saya juga mahu berehat.

“Pada masa sama, saya juga perlu menghadiri kelas tambahan dan belajar berkumpulan dengan kawan-kawan. Inilah masanya saya dapat bersama mereka semua,“ ungkap Zaki yang mengakui tiada istilah kawan mahu menumpang glamor kerana layanan mereka kepadanya seperti orang biasa.

zaki yamani

Suara sama

Menyentuh tentang segelintir anak muda seusianya yang memilih untuk mengejar kebendaan berbanding meneruskan pengajian, kata empunya diri semuanya bergantung kepada niat masing-masing.

“Pada saya ilmu dan pendidikan itu penting tak kiralah dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Walaupun mungkin kita tak memilih kerjaya dalam bidang tersebut, namun sekurang-kurangnya ada ilmu.

“Pada masa sama, melalui pelajaran dan pendidikan orang akan hormat selain diri perlu ada disiplin dan tingkah laku yang baik,“ujarnya lagi.

Diminta memberi tip dan nasihat buat adik-adik yang bakal menduduki SPM kelak, ini saranan Zaki:“Bukan semua orang dianugerahkan dengan kepandaian, namun jangan terlalu keras dan mengejar untuk dapat keputusan terbaik.

“Kena belajar dengan betul. Yang penting study smart bukan study hard. Bagi yang aktif sukan dan sebagainya, harus bijak bahagikan masa. Itu sahaja saya boleh kongsikan,“ jelas beliau menutup bicara isu berkenaan.

Perbualan kami beralih pula hala tuju dan penglibatan sebagai anak seni. Bagi yang mengenali tuan punya badan, pasti tahu, dirinya merupakan anak kepada Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah.

Beliau merupakan anak hasil perkahwinan kedua penyanyi terkenal itu bersama Fatimatuzahra Samad.

Selain Zaki, Jamal turut mempunyai anak lelaki bernama Osama Yamani hasil perkahwinan pertama dengan Intan Noraina Mohd Yusoff.

zaki yamani 1

Pada 1 April 2017, pelantun lagu Gadis Melayu itu berkahwin dengan Datin Zai Izzati dan dikurniakan empat cahaya mata.

Sempat penulis menyakatnya apa perasaannya apabila bergelar anak kepada penyanyi terkenal seantero Malaysia, namun Zaki hanya tersenyum.

“Tiada rasa apa-apa. Itu sahaja yang saya nak cakap. Malah, kalau ada yang mengatakan kononnya suara kami sama, mereka kena dengar betul-betul. Masing-masing ada kelebihan tersendiri,“ungkap anak kelahiran Kajang, Selangor itu yang menolak tanggapan menumpang nama ayahnya untuk popular.

Pun demikian, beliau tidak menafikan masih berhubung dengan Jamal yang membahasakan dirinya baba.

“Jika kebetulan ada kerja di Ipoh dan ada masa, saya akan jumpa baba. Cuma raya tahun ini belum berkesempatan kerana sibuk. Sementelah hari raya jalan jem, jadi tiada kesempatan untuk singgah.

“Pun begitu, kami ada berhubung menerusi telefon,“ulasnya yang menyambut raya bersama datuknya seperti mana tahun-tahun sebelum ini.

Menyentuh hubungan baik dengan abangnya, Osama Yamani, anak kedua daripada enam beradik itu mengakui mereka cukup rapat.

Bahkan, baru-baru ini kedua-dua pemuda itu menyertai program realiti Famili Duo dan muncul juara dalam pertandingan tersebut, sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000.

“Walaupun berbeza ibu, namun kami berkongsi ayah yang sama. Hubungan saya dengan abang juga baik. Ada masanya kami main game, ajak dia (abang) datang rumah makan-makan,“ ulas Zaki lagi.

zaki 1

Zaki yang kini diuruskan sepenuhnya oleh ibu tersayang mengakui selesa dengan situasi tersebut.

Sekali gus , beliau menolak dakwaan kononnya segala hal hanya diputuskan oleh syurganya itu sahaja.

Anak emak

Bahkan beliau mengakui banyak bergantung kepada wanita kesayangannya itu dalam banyak hal termasuklah membuat keputusan untuknya.

“Sebagai orang yang lebih banyak makan garam dan berpengalaman, pastinya ibu mahukan yang terbaik buat anaknya ini. Kalau orang nak cakap saya anak emak, suka hatilah. Ya, saya anak emak.

“Beliau yang menjaga saya selama ini. Sebab itu saya bangga jadi anaknya dan bersyukur kerana ibu banyak membantu. Saya masih mentah dan banyak benda yang perlu dipelajari lagi,“ ungkap beliau.

Pelantun lagu Duri dan Mati Rasa itu juga mendedahkan dirinya sudah bersedia melangkah ke dalam industri lakonan.

Justeru, beliau yang sebelum ini pernah bergelar pelakon drama dan telemovie memasang impian untuk aktif sebagai pelakon.

“Setakat ini, saya mahu cuba semua bidang yang dirasakan mampu untuk mengetengahkan bakat yang ada.

“Sejujurnya, saya suka diri sekarang Walaupun sibuk dan dikenali ramai, namun saya seronok. Meski tidak popular sangat, tetapi ada juga yang mengenali saya.

“Cuma orang sering tersasul panggil saya Zamani termasuklah cikgu sekolah. Sebab itu saya sudah tak kisah dan mengaku anak Zamani bukan Jamal Abdillah,“ katanya berseloroh.

zaki 2

Berbicara lebih lanjut tentang cabaran bergelar anak seni, jujur empunya diri mengakui pernah berada dalam situasi seperti yang berlaku sekarang. Ada segelintir yang cuba meraih perhatian ramai melalui video yang dipertontonkan melalui media sosial miliknya.

Katanya, dulu beliau sanggup pergi merata tempat sehinggakan ke Pulau Pinang, Kedah dan sebagainya demi sebuah konten.

“Memang ketika itu, ramai yang mengikuti saya dan setiap kali muat naik video, pasti dapat sambutan. Saya dulu pernah jadi pencipta kandungan dan selalu buat konten kelakar.

“Waktu itu, saya menggunakan platform Instagram kerana TikTok belum popular. Kebetulan, saya belum dikenali dan perlukan sesuatu yang boleh tarik perhatian orang lain,“ katanya sambil tertawa kecil.

Suka berfesyen

Namun kini, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk tidak lagi berbuat demikian.

“Bila diingatkan kembali, rasa diri merapu sangat. Walaupun masih aktif buat video, tetapi tidaklah sampai membodohkan diri,“ ujar Zaki panjang lebar.

Sebelum menamatkan perbualan, sempat penulis melayangkan persoalan mengenai penjagaan dirinya terutama memastikan dirinya maintain seperti sekarang.

“Jangan tak tahu, sebelum ini saya pernah ‘buat badan‘. Daripada berat 48 kilogram (kg) naik kepada 63kg. Waktu itu, perut buncit, seluar ketat dan pipi kembang. Kebetulan masa itu saya menyertai satu pertandingan.

“Walaupun berisi dan makan banyak, tapi saya bahagia. Orang mungkin tak nampak perubahan memandangkan sebelum keluar televisyen saya sudah mekap. Disebabkan itu saya rasa sudah sampai masanya untuk turunkan berat badan,“jelasnya yang tidak mengamalkan sebarang petua cuma menjaga pemakanan.

zaki 3

Mengakhiri temu bual, Zaki mengakui seorang yang gemar berfesyen namun bukanlah seorang yang fanatik dalam bab bergaya.

“Saya suka bergaya dan tidaklah terlalu pandai bab fesyen, cuma akan ikut perkembangan trend sekarang.

“Asalkan boleh dan sesuai dengan situasi, itulah yang saya akan pakai,“ jelasnya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat! 

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang! 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca