Kampung ‘berhantu’ di Scotland dijual bawah RM1 juta. Siap ada pantai peribadi dan bangunan bersejarah kurun ke-17
SCOTLAND, salah satu negara yang cukup popular dalam kalangan kaki jalan kerana memiliki keindahan alam semula jadi yang cukup mengasyikkan.
Padanlah kebanyakan lokasi penggambaran dalam filem Harry Potter diambil dari beberapa tempat menarik seperti di Glen Coe, Loch Etive dan Loch Arkaig.
Jika masih ingat scene kereta api yang dinaiki pelakon cilik itu untuk ke Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry juga diambil di Glenfinnan Viaduct. Memang cantikkan?
Pada masa sama, negara yang memiliki 5.5 juta penduduk itu sebenarnya ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi.
Baru-baru ini, ada satu perkampungan kuno yang mahu dijual pada harga tidak sampai RM1 juta pun. Ya! Ini berita sahih.
The Old Village of Lawers di Perthshire yang terkenal dengan keindahan tasik semula jadi itu dikatakan dibuka untuk mereka yang berminat untuk membelinya.
Apa yang menarik, meskipun perkampungan yang terbiar tanpa penghuni tersebut dikatakan berhantu, namun keindahan menakjubkan di kawasan tersebut tidak boleh dinafikan.
Mana tidaknya, kawasan hijau seluas 1.34 hektar itu mempunyai pantai peribadi yang cantik selain mempunyai kawasan memancing yang luas termasuk hutan asli.
Lapor insider.com, perkampungan yang terletak di pinggir Loch Tay itu mempunyai kesan peninggalan bersejarah termasuk runtuhan binaan abad ke-17 termasuk House of Lawers.
Nak dijadikan cerita, kisah rumah yang dimiliki Lady of Lawers itulah yang menghantui penduduk kampung sehingga mereka terpaksa berhijrah ke tempat lain.
Menurut laporan tersebut, pada mulanya kawasan perkampungan di pulau kecil itu hanya didiami 17 keluarga saja pada tahun 1841.
Kemudian, tinggal tujuh keluarga saja pada tahun 1891. Pada tahun 1926 pula, desa mistik itu ditinggalkan begitu saja tanpa penghuni.
Bagi merancakkan jualan hartanah tersebut, pemaju Goldcrest Land and Forestry Group mengadakan promosi hebat di media sosial.
Ramai yang teruja dengan kisah misteri di sebalik perkampungan lama tersebut sehingga tiada seorangpun berani untuk tinggal di sana.
Adakah The Old Village of Lawers mampu terjual?
Harganya pun boleh boleh tahan iaitu RM 717,408 saja. Percaya atau tidak, harganya lagi murah daripada rumah yang dijual pemaju tempatan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang