'Hidup gelap sekejap...' – Siti Nordiana menangis lihat bilik anak kosong, tak lekang pesan jaga solat & pilih kawan 

No Image Caption
A
A
A

BUKAN mudah bagi seorang ibu membiasakan diri apabila anak yang selama ini berada di depan mata mula membawa haluan sendiri, apatah lagi apabila itulah satu-satunya permata hati.

Begitulah yang dilalui penyanyi Siti Nordiana Alias atau mesra disapa Nana apabila anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie Mohd Faizal yang kini menetap di kolej bagi melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat di sebuah universiti di Kajang.

Mengakui bukan mudah melalui fasa tersebut, Nana berkata perasaan sayu  amat dirasai terutama apabila suasana kediaman yang sebelum ini sentiasa meriah dengan kehadiran anak tersayang  kini terasa kosong.

"Masa mula-mula hantar dia ke asrama tu, memang hidup gelap sekejap. Kami tak pernah berpisah.

"Walaupun apa-apa pun dia akan balik dan tidur di rumah. Saya pun kalau keluar akan balik jumpa dia.

"Tapi, apabila dia sudah duduk asrama, rasa kosonglah. Bila balik dari mana-mana dan pandang bilik dia, saya menangis," kongsinya kepada SinarPlus.

No Image Caption

Bagaimanapun, pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran itu berkata, keputusan Rayyan untuk tinggal di asrama sebenarnya datang daripada kehendak anaknya sendiri yang mahu mencuba pengalaman hidup berdikari.

"Sebenarnya dia yang nak duduk asrama tu. Dia rasa macam hendak cuba. Setakat ini dia okey. Dia okey.

Artikel Berkaitan:

"Dia pandai berdikari. Kalau dia rasa hendak balik ke rumah, dia balik sajalah," katanya.

Menyedari anaknya juga mempunyai perjalanan hidup tersendiri, Nana cuba menerima perubahan itu dengan hati terbuka.

Baginya, sebagai seorang ibu sudah tentu timbul rasa bimbang apabila berjauhan dengan anak, namun tidak semua perkara boleh dikawal.

"Dia pun ada tujuan hidup dan takdir sendiri yang perlu dilalui. Dia ada kehidupan sendiri. Untuk mengatasi perasaan rindu itu, saya selalu fikir itu.

"Apapun, saya serahkan dia dalam jagaan ALLAH. Kalau risau saya akan doa agar ALLAH melindungi anak. Tukarkan kerisauan kepada doa. Alhamdulillah diri jadi tenang," ujarnya.

PESANAN BUAT IBU TUNGGAL, JANGAN LUPA DOAKAN ANAK

No Image Caption

Dalam pada itu, Nana turut menitipkan pesanan buat ibu bapa yang membesarkan anak tunggal, khususnya golongan ibu tunggal yang melalui pengalaman sepertinya.

Mengakui anak merupakan segala-galanya bagi seorang ibu, penyanyi itu memahami perasaan mereka yang memikul tanggungjawab membesarkan zuriat tanpa pasangan di sisi.

Menyifatkan dirinya sebagai ibu dan bapa kepada Rayyan, Nana sekali gus memahami betapa besarnya kasih sayang dan kebimbangan seorang ibu terhadap masa depan anak.

"Saya juga berharap ada orang pesan untuk saya. Sebab ibu tunggal dan ada anak tunggal yang ada anak seorang, mereka itulah segala-galanya untuk kita.

"Lebih-lebih lagi seperti saya ini, seorang ibu dan seorang bapa juga sekali bus

"Kepada ibu tunggal lain, saya faham memang kita sayang anak tapi jangan lupa titipkan doa untuk mereka

"Kalau kita dalam keadaan yang risau ke apa ke, doakanlah yang terbaik. Buat yang terbaiklah yang kita mampu sebagai seorang ibu," katanya.

TAK LEKANG PESAN ANAK JAGA SOLAT, BACA AL-QURAN

No Image Caption

Biarpun Rayyan kini tinggal di asrama dan mula belajar berdikari, perhatian Nana terhadap anak tunggalnya itu tidak pernah berkurang.

Malah, penyanyi itu mengakui masih kerap mengingatkan Rayyan tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim, selain aspek keselamatan dan pemilihan rakan.

Baginya pesanan tersebut perlu sentiasa diberikan memandangkan Rayyan masih dalam fasa remaja yang masik memerlukan bimbingan seorang ibu.

"Saya memang sentiasa biasa dia sebenarnya. Kadang-kadang macam girlfriend boyfriend.

"Saya akan call tanya' Anak, anak dah bangun ke belum, jangan lupa solat. " Waktu Subuh saya akan call.

"Sebab remaja kan takut terlepas. Saya akan selalu ingatkan solat dan minta dia baca al-Quran setiap hari.

"Saya juga selalu pesan supaya mencari kawan-kawan yang baik. Berkawanlah, bercampur dan jangan lupa jaga keselamatan. Itu semua tidak lekang dari mulut, saya rasa semua emak begitu," ujarnya.

MASAKAN KEGEMARAN RAYYAN

No Image Caption

Walaupun Rayyan kini mempunyai rutin pengajiannya, rumah tetap menjadi tempat istimewa untuk pulang bertemu ibu tersayang.

Menariknya, Nana akan menyediakan hidangan kegemaran Rayyan setiap kali pulang pada hujung minggu.

Antara yang menjadi pilihan Rayyan ialah masakan berasaskan ayam, termasuk masak lemak cili api ayam air tangan ibu.

Sekadar info, Rayyan merupakan cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan bekas suaminya yang juga pelakon, Allahyarham  Faizal Yusup.

Mereka berkahwin pada 29 April 2006 namun berpisah pada 14 September 2009. Faizal kemudian meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung.

Sekadar makluman, Nana bakal bergabung tenaga dengan empat lagi bintang popular iaitu Datuk Amy Search, Datuk Ziana Zain, Khai Bahar serta penyanyi tersohor dari negara jiran, Chakra Khan menerusi Konsert A Night of Soul.

Lebih istimewa, konsert berkenaan bakal membuka tirai dengan persembahan bakat baharu, Nabiha Aimi.

Dianjurkan oleh Starlika dan Astana Global, konsert berkenaan dijadual berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) pada 12 Disember depan.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang