Badan ditindih jin ketika tidur, ini penjelasan dari sudut sains
HANYA yang pernah alami sahaja yang dapat menceritakan betapa paniknya apabila sedang alami situasi tubuh dihimpit sehingga menyesakkan.
Hendak menjerit mulut terkunci dan tangan dan kaki tidak dapat digerakkan. Ianya biasa berlaku dalam masa singkat, tetapi yang alaminya terasa cukup lama!
Badan pula berat dan hampir tidak dapat bernafas seolah-olah kita telah ditindih oleh sesuatu benda sehingga ada yang beranggapan mungkin makhluk halus atau jin.
Namun, fenomena itu sebenarnya boleh dijelaskan dari sudut sains. Ia juga digelar sleep paralysis ialah kelumpuhan yang berlaku ketika permulaan tidur ataupun sejurus selepas tersedar daripada tidur.
Walaupun otak sudah terjaga, namun otot badan masih lagi dalam keadaan tidur dan tidak berfungsi seperti kebiasaan untuk bertindak balas.
Akibatnya, seseorang itu tidak akan mampu bergerak dan tidak mampu bersuara walaupun mencuba untuk berteriak sekuat hati.
Pada waktu inilah perasaan cemas dan panik menyelubungi diri lebih-lebih lagi tambahan pula jika ia adalah pengalaman pertama.
Namun, fenomena tubuh dihimpit atau tertindih itu tidak berbahaya dan ia akan berakhir dalam jangka masa tertentu.
Setiap orang juga pasti akan melaluinya sama ada sekali atau lebih dalam seumur hidup dan ia mampu menyerang siapa sahaja tidak kita tua atau muda, lelaki mahupun perempuan.
Namun, kebanyakan kes yang berlaku kebiasaannya adalah dalam kalangan golongan muda dan orang dewasa. Kanak-kanak ia jarang-jarang atau hampir langsung tidak berlaku. Mengapa?
Berikut adalah faktor penyebab mengapa seseorang itu berkemungkinan mengalami fenomena tubuh terhimpit :
- Tidak cukup tidur.
- Corak tidur yang tidak teratur.
- Tidur terlentang.
- Gangguan mental.
- Penyalahgunaan dadah dan alkohol.
Untuk mencegah kejadian dihimpit, korang boleh amalkan beberapa kaedah mudah seperti :
- Mendapatkan tidur yang cukup iaitu enam hingga lapan jam sehari.
- Mengurangkan tekanan atau stress.
- Ubah posisi tidur yang betul.
- Mendapatkan khidmat nasihat doktor bertauliah sekiranya kekerapan kejadian semakin bertambah.
Jadi, jika selepas ini korang tiba-tiba mengalami fenemona tersebut jangan panik! Tarik nafas dalam-dalam dan hembus sekuat-kuatnya.
Kesimpulannya, ‘lumpuh tidur’ ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan gangguan hantu atau jin seperti yang digembar-gemburkan selama ini dan korang juga tidak perlu panik sekiranya perkara ini terjadi.
Ia adalah gangguan tidur normal berlaku pada manusia yang diklasifikasikan sebagai ‘parasomnia’.
Hanya yang pernah alami sahaja yang dapat menceritakan betapa paniknya apabila sedang alami situasi tubuh dihimpit...Posted by Public Health Malaysia on Monday, 1 February 2021
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang