Bangga ilham dari UiTM, busana kontinjen Olimpik Tokyo 2020 jadi sebutan
SEGAK, bergaya dan manis dipandang! Itulah yang dapat diungkapkan apabila menatap persalinan pemakaian
kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Olimpik Tokyo 2020 malam tadi.
Busana yang dipakai kontinjen negara itu diinspirasikan daripada pemakaian Laksamana Hang Tuah bagi atlet
lelaki dan lengkap berdokoh serta berselendang bagi persalinan wanita serta warna Jalur Gemilang sebagai
warna asas.
Tatacara pemakaian yang lengkap bertanjak, baju sikap dan samping berbaju Melayu yang melambangkan kejituan rasa cinta kepada Malaysia dan baju kebangsaan.
Manakala persalinan wanita pula yang lengkap berdokoh dan berselendang membiaskan identiti Malaysia yang
kaya dengan budaya tersendiri.
Berdasarkan corak geometrik pakaian 13 orang atlet tanah air yang terlibat dalam perbarisan adalah
berasaskan segi tiga atau chevron yang memberi kesan rangsangan arah tuju yang jelas mencapai matlamat
pingat yang terbaik untuk negara.
Warna pemakaian tersebut yang diadaptasi daripada Jalur Gemilang yang mempunyai empat warna iaitu warna
putih, kuning, merah dan biru kelihatan begitu gah.
Ternyata mereka kelihatan amat terserlah dengan pakaian hasil ilham dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam.
Sebagai rekod, seramai 13 atlet dan pegawai diketuai Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM),
Datuk Mohd Nazifuddin Najib bersama jaguh badminton, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying sebagai pembawa Jalur
Gemilang, menganggotai kontinjen negara.
Turut berarak ratu terjun, Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Phee Jinq En, Welson Sim dan
ratu gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi.
Turut serta Ketua Pegawai Perubatan, Dr Kamarul Hashimy Hussien dan sekretariat kontinjen negara,Norhashimi Hussain, Mohd Fawwaz Jamal serta Azrul Hisyam Abdul Jalil.
Upacara kemasukan kontinjen dimulakan dengan Greece manakala Malaysia pula menjadi negara ke-177 dengan
tuan rumah, Jepun menjadi kontinjen ke-206 dan terakhir masuk ke dalam stadium.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang