18 jam hilang, tangisan selamatkan Irsyad yang hanya berlampin di kebun getah. Ini kronologi operasi mencari kanak-kanak 20 bulan

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS lebih 18 jam dilaporkan hilang, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan, Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi, akhirnya ditemukan selamat di kawasan semak dalam kebun getah berbukit di Kampung Bechah Salak, Kuala Krai, Kelantan, pada Isnin.

Lebih menyentuh hati, kanak-kanak itu ditemukan oleh seorang penoreh getah yang sedang menebas rumput selepas terdengar suara tangisan dari kawasan berkenaan.

Penemuan pada jam 10.20 pagi itu sekali gus menamatkan penantian keluarga yang cemas sejak kehilangan anak bongsu daripada dua beradik tersebut pada petang Ahad.

No Image Caption

Bagaimanapun, perjalanan mencari dan menyelamat (SAR) bukanlah mudah apabila pasukan penyelamat terpaksa menelusuri kawasan sekitar rumah, kolam ikan serta hutan berhampiran sebelum mangsa ditemukan lebih satu kilometer dari lokasi dipercayai hilang.

Berikut kronologi kejadian yang mencetuskan kebimbangan keluarga dan penduduk setempat.

4 petang, Ahad: Muhammad Irsyad Hakim disedari hilang

Kehilangan Muhammad Irsyad Hakim dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang ketika ibunya sedang tidur di dalam rumah.

Ibu saudaranya yang turut mengawasi kanak-kanak itu juga terlelap selama kira-kira 15 minit.

Artikel Berkaitan:

Kehilangan mangsa hanya disedari selepas ibunya terjaga sebelum keluarga segera melakukan pencarian di sekitar kediaman.

Dua kolam ikan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah turut diperiksa kerana bimbang kanak-kanak itu terjatuh ke dalamnya.

Malah, salah sebuah kolam yang mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter turut dikeringkan bagi memastikan mangsa tidak berada di situ.

6.37 petang, Ahad: Bomba terima panggilan kecemasan

No Image Caption

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada jam 6.37 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, seramai sembilan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba tujuh minit kemudian selepas menempuh perjalanan kira-kira 10 kilometer dari balai.

Pasukan penyelamat kemudian menggerakkan operasi SAR di sekitar kediaman mangsa, kolam ikan serta kawasan hutan berhampiran.

Usaha pencarian turut dibantu anggota polis dan orang awam bagi meluaskan kawasan operasi.

Namun, keadaan cuaca yang semakin gelap menjadi antara cabaran kepada pasukan penyelamat.

“Keadaan cuaca yang semakin gelap turut menjadi cabaran kepada pasukan penyelamat,” katanya menerusi kenyataan.

Hari kedua: Pencarian diteruskan dengan bantuan unit K9

Operasi SAR diteruskan pada hari kedua dengan radius pencarian memfokuskan kawasan sekitar 500 hingga 600 meter dari rumah mangsa.

Usaha berkenaan turut dibantu unit K9 yang terdiri daripada tiga anggota dan seekor anjing pengesan bagi membantu mengesan keberadaan kanak-kanak tersebut.

Menurut pihak bomba, pencarian bagaimanapun menemukan mangsa di kawasan yang lebih jauh daripada radius tumpuan awal.

“Radius pencarian pada hari kedua memfokuskan kawasan sekitar 500 hingga 600 meter dari rumah mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa ditemukan dalam keadaan selamat di kawasan yang lebih jauh, iaitu lebih satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya.

10.20 pagi, Isnin: Penoreh getah terdengar tangisan

Foto: Bernama
Foto: Bernama

Selepas lebih 18 jam hilang, Muhammad Irsyad Hakim akhirnya ditemukan selamat oleh seorang penoreh getah yang sedang menebas rumput di kebunnya.

Penoreh berkenaan dikatakan terdengar suara tangisan kanak-kanak sebelum menyedari keberadaan mangsa di kawasan semak berkenaan.

Ketika ditemukan, kanak-kanak itu hanya memakai lampin pakai buang.

Menurut pihak bomba, terdapat sedikit kesan darah pada kaki mangsa yang dipercayai akibat gigitan pacat, selain kesan gigitan nyamuk di bahagian belakang badannya.

“Ketika dibawa keluar, terdapat sedikit kesan darah pada kaki mangsa yang dipercayai akibat gigitan pacat, selain kesan gigitan nyamuk di bahagian belakang badannya,” katanya.

Mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan semak sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut

Selepas ditemukan, Muhammad Irsyad Hakim dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Mangsa dibawa menggunakan ambulans bomba bagi memastikan keadaan kesihatannya dapat diperiksa selepas melalui tempoh kehilangan yang panjang di kawasan kebun getah berbukit.

Penemuan itu sekali gus memberikan kelegaan kepada keluarga selepas lebih 18 jam menanti khabar mengenai keberadaan anak kecil berkenaan.

Bunyi tangisan makin kuat

Tangisan Muhammad Irsyad Hakim didengari seorang penoreh getah yang membawa kepada penemuan mangsa.

Mohamed Fadhli Sudin, 41, berkata kanak-kanak itu ditemukan pada 10.20 pagi dalam keadaan berdiri sambil menggigil dan menangis.

"Pada mulanya saya terdengar suara tangisan sebelum bunyinya semakin kuat dan mendorong saya mencari arah suara berkenaan.

"Apabila tiba di lokasi itu, saya terkejut namun bersyukur kerana berjaya menemui kanak-kanak berkenaan, walaupun kasihan melihatnya dalam keadaan lemah dan keletihan di kawasan hutan. Sebaik menemuinya, saya segera mendekati dan membawanya keluar sebelum menyerahkannya kepada pasukan penyelamat yang sedang menjalankan operasi pencarian," katanya.

Bapa tak dapat lelap mata

Sementara itu, bapa mangsa, Mohammad Khairul Mohd Rosli, 26, berkata beliau sekeluarga tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu bimbang memikirkan keadaan anaknya yang berada bersendirian di dalam hutan dengan hanya memakai lampin pakai buang.

"Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana dia mampu bertahan dan ditemukan dalam keadaan selamat hari ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian, Bernama

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang