Lebih setahun kosong, Ismail Sabri dilantik TPM. Ini portfolio beliau...

A
A
A

JAWATAN Timbalan Perdana Menteri kosong sejak tertubuhnya kerajaan bahru pada bulan Februari 2020.

Kenyataan rasmi Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengesahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuatkuasa hari ini.

Pada masa sama, kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

"Pelantikan (Ismail Sabri) ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini," jelas kenyataan PMO hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memegang portfolio Menteri Luar dilantik sebagai Menteri Kanan yang akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.

"Di samping itu, Perdana Menteri bersetuju supaya Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

"Kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta," katanya lanjut.

PMO berharap pelantikan tersebut akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Ini termasuklah memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan Kerajaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

BIODATA

Nama: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Tarikh Lahir: 18 Januari 1960

Tempat Lahir: Temerloh, Pahang

PENDIDIKAN

- Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya (UM) (1980)

- Tingkatan enam (6) di Jaya Akademik

- Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang (1976)

- Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan, Pahang (1973)

- Sekolah Kebangsaan Bangau, Pahang (1967)

KELUARGA

- Ismail Sabri mendirikan rumah tangga pada tahun 1986 bersama pasangannya Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

- Hasil perkahwinan dikurniakan empat cahaya mata yang terdiri daripada Nina Sabrina, Gadaffi, Dafi, Nashriq dan Iqbal.

KERJAYA

1985 - Peguam

1995 - 1999 - Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan

2008 - 2009 - Menteri Belia dan Sukan

9 April 2009 - 2013 - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

2013 - 2015 - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

2015 - 2018 - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

12 Mac 2020 - Menteri Kanan (Menteri Pertahanan), (Kluster Keselamatan)

7 Julai 2021- Timbalan Perdana Menteri

Sumber: Pejabat Perdana Menteri, @ismailsabri60, Wikipedia

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca