Bayi 6 bulan tak sedarkan diri di taska maut, ditemui telungkup, ibu kongsi kronologi kejadian

A
A
A

BAYI baharu berusia enam bulan pergi sekelip mata selepas meninggal dunia di taska. Remuknya hati seorang ibu yang terpaksa menerima ketentuan anak yang dibelai selama enam bulan tiada lagi di dunia.

Kehilangan permata hati terpaksa dihadapi Nurul Fateha Sandollah yang berkongsi kronologi kejadian yang meragut nyawa anak ketiganya.

“Terlalu rindu. Mesti baby bahagia sangat di sana kan? Al-Fatihah untuk sayangku Haura Najia Binti Mohd Kamaruddin Helsa, enam bulan,” titipnya.

Kredit foto: Facebook Nurul Fateha

Menurut Nurul Fateha, keluarganya kini sedang berusaha mendapatkan keadilan kematian si kecil itu pada 29 Oktober 2022 di sebuah taska.

“Laporan telah dibuat dan kes ini dalam siasatan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya cuma mahu kes anak saya ini dilihat dan diambil tindakan segera untuk keadilannya dan bayi-bayi yang lain, Anak saya sudah tiada pun...”, ujar Nurul Fateha ketika dihubungi SinarPlus.

Ibu yang bertugas sebagai penjawat awam itu turut menceritakan kronologi kejadian kehilangan permata hatinya yang dinantikan kelahirannya.

Berikut perkongsian beliau:

27 Oktober 2022,

Jam 4.29 petang, saya menerima panggilan dari taska mengatakan Haura tidak sedarkan diri. Saya segera ke taska dan pihak taska memaklumkan telah membawa Haura ke klinik berdekatan. Dalam beberapa saat, dimaklumkan beliau telah dibawa ke Hospital Melaka.

Saya terus ke Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital dan bayi sedang menerima rawatan. Doktor memaklumkn Haura datang dengan tiada nadi. Dalam tempoh 24 minit resusitasi kardiopulmonari (CPR) dilakukan, nadi anak saya kembali namun terlalu lemah.

Haura melalui prosedur intubasi dan menggunakan sepenuhnya mesin bantuan pernafasan. Doktor juga mengatakan Haura '50-50' untuk bertahan. Andai beliau bertahan tidak akan menjadi Haura yang dahulu. Anak saya diletakkan di Wad Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

Kredit foto: Pexels

Suami berjumpa dan bertanya kepada penjaga bayi apa yang berlaku di taska dan diberitahu jam 10 lebih Haura dibedung penuh dan diberikan susu kemudian ditidurkan dalam posisi mengiring. Kemudian penjaga keluar dari bilik bayi.

Selepas masuk semula, beliau nampk Haura terlungkup tetapi tidak membetulkan kedudukan Haura kerana katanya Haura boleh bernafas. Penjaga masuk semula ke bilik bayi untuk memandikan Haura pada jam 4.00 petang dan melihat Haura sudah tidak sedarkan diri..

Ya ALLAH, anak saya Haura dibiarkan dari jam 10.00 pagi dan hanya dilihat pada jam 4.00 petang sahaja. Betapa berusahanya Haura untuk bernafas hingga beliau pergi selamanya.. ALLAH... ALLAH..

Pada malamnya, pakar merawat memaklum bahawa Haura 'poor progress' manakala saya dan suami dibenarkan untuk sentiasa berada di PICU.

Kredit foto: Pixabay

28 Oktober 2022

Tahap kesihatan Haura semakin menurun. Pada kira-kira jam 4.00 petang pakar memaklumkan ‘progress’ Haura semakin tidak ‘cantik’ dan memaklumkan buah pinggang si kecil sudah dapat berfungsi dengan baik. Organ-organ yang lain sudah mula tidak berfungsi. Kami sudah reda.

29 Oktober 2022

Pada jam 8.54 pagi dalam usia 6 bulan satu hari Haura kembali menemui Maha Pencipta.

ANAK YANG DINANTI-NANTIKAN

Menurut Nurul Fatehah, kelahiran Haura tujuh tahun selepas cahaya mata keduanya sememangnya dinantikan oleh beliau dan suami.

“Kelahiran Haura amat-amat dinantikan kami sekeluarga terutama suami yang terlalu inginkan bayi,” tuturnya.

Allahyarham kesayangan bapanya. (Kredit foto: Facebook Nurul Fateha)

Malah menurut Nurul Fateha, suaminya yang tidak sabar untuk pulang hujung minggu ini bermain dengan anak ketiga mereka terpaksa memeluk sekujur jasad anak yang kaku.

“Suami saya sedang berkursus di Port Dickson dan balik ketika cuti hujung minggu sahaja. Beliau beritahu akan balik pada Jumaat dan hendak ‘tangkap’ Haura dahulu. Rindukan anaknya itu. Tetapi beliau hanya dapat memeluk arwah apabila sudah kaku sahaja. Kami sangat sedih,” katanya.

Nurul Fateha turut mendedahkan hari kejadian merupakan hari terakhir si kecil tersebut berada di taska berkenaan kerana mereka sedang dalam proses memindahkan Haura ke taska lain.

Melalui Facebook, wanita itu memohon titipan doa agar kematian anaknya mendapat keadilan sewajarnya termasuk nasib bayi-bayi yang lain.

Sumber: Nurul Fateha Sandollah

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca