Busking jalanan buat bintang Roy kembali bersinar
POPULARITI Mohammad Rauzan Alwi atau lebih dikenali dengan panggilan Roy pada era 1990-an memang hebat.
Wajahnya bukan setakat menghiasi kaca televisyen, malah menjadi pilihan untuk membuat persembahan di istana dan majlis korporat.
Namun, paling sinonim dengannya pastilah gelaran penyanyi patriotik. Beliau antara lain dipilih untuk melantunkan lagu 1Malaysia, Perpaduan Teras Kejayaan, Malaysiaku Gemilang dan Wawasan 2020.
Selain itu, lagu-lagu popular lain dendangannya seperti Diari Mimpi, Kau Ratnaku dan Kasih Seketika masih menjadi siulan ramai.
Pun demikian, populariti yang dikecapi tidak berpanjangan. Nasib Roy dalam dunia seni nampaknya tidak seindah yang dibayangkan.
Dunia glamournya lenyap walaupun pernah membuat comeback dalam program popular, Gegar Vaganza kira-kira dua tahun lepas.
Anak kelahiran Muar, Johor itu mengakui, tiada perubahan baik kepada kehidupannya selepas itu. Apabila tidak ada persembahan, beliau terpaksa mencari rezeki dengan busking.
"Saya akan busking pada setiap hari Rabu dan hujung minggu. Sebenarnya, rezeki dalam bidang ini secara kebetulan. Sebelum ini ketika menjadi pensyarah sambilan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya turun padang dan rasai sendiri dunia busking sebab nak siapkan buku mengenai kehidupan penyanyi jalanan dan persepsi orang ramai terhadap kerjaya tersebut.
"Namun, disebabkan kontrak sebagai pensyarah tidak dilanjutkan, saya pun terus busking untuk tampung hidup sehingga sekarang. Mulanya agak malu tetapi demi keluarga, saya tak mahu menoleh ke belakang," katanya yang turut menjadi tutor dan juruvokal persendirian.
Perbualan penulis dengan Roy menerusi corong telefon agak lama. Penulis membiarkan Roy terus meluahkan tentang isi hatinya.
Ujar Roy, pada saat merasakan dirinya seperti tersepit, beliau mendapat perkhabaran gembira apabila ditawarkan menjadi pensyarah sambilan di Universiti Malaya (UM) untuk mengajar orkestra koir.
"Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, saya terpaksa menunggu kemasukan pelajar. Jadi, saya tetap busking di pasar raya dan kedai makan memandangkan ini sudah menjadi pendapatan utama kami sekeluarga,” katanya.
Penuh pancaroba
Roy berkata, kehidupannya dari dulu hingga kini sering diuji.
Beliau mengajak penulis mengimbau semua perjalanan awal sebagai anak seni.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dirinya tidak pernah terfikir untuk bergelar artis.
“Saya masih ingat lagi, ketika itu masih belajar Tingkatan Enam di Johor sebab ikut ayah berkhidmat di sana.
“Jika ada masa terluang, saya akan pergi jamming di studio. Kebetulan di situ, memang jadi port otai-otai rock berlatih, antaranya Man Kidal. Masa itu, saya dan kawan ada tubuh band sendiri, Las Zethyr,” ujarnya.
Katanya, dia meninggalkan Las Zethyr untuk pulang ke kampung sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Artikal berkaitan: Sarjan Misai masih belum boleh ‘bergasak’, berat badan turun mendadak selepas diserang angin ahmar
“Lepas habis STPM, saya sambung belajar Sijil Seni Bina di Kuala Lumpur. Pada masa sama, kumpulan Lefthanded panggil saya untuk jadi vokalis mereka.
“Lefthanded memang ada banyak job di kelab malam. Banyak persembahan sampai tengah malam, ia membuatkan pelajaran saya terganggu,” katanya.
Namun Roy tidak lama dengan Lefhanded kerana dia meninggalkan kumpulan itu untuk beraksi secara solo.
Roy mengakui, kehidupannya selepas itu agak sukar kerana tidak mendapat pekerjaan waima sebagai penjaga petrol di stesen minyak. Namun, dia tetap tidak berputus asa demi menyara hidup bersama isteri tercinta.
Selepas menunggu sekian lama,Roy dilamar sebagai artis rakaman untuk Luncai Emas dan EMI selain memenuhi pelbagai jemputan nyanyian agensi kerajaan dan program televisyen di RTM.
“Walaupun dapat keluarkan dua album, namun jualan ketika itu tidak membantu. Saya masih ingat lagi betapa susahnya jadi anak seni apabila hanya ada 60 sen di tangan untuk tambang pergi dan balik rumah.
"Pernah juga merasa tidur di stesen bas sebab tiada duit nak balik. Ada sekali terserempak dengan peminat selepas habis persembahan, mereka terkejut saya naik bas tetapi nak buat macam mana ketika itu masih belum mampu beli kereta,” katanya berterus-terang.
Roy berkata, beliau sangat berterima kasih kepada beberapa insan yang banyak menolongnya ketika jatuh bangunnya sebagai anak seni antaranya bekas jurutera rakaman muzik, Loh Swee Fa, Allahyarham Hussien Ali dan Datuk M Nasir.
Kata Roy, kehidupan sebagai artis tidak selalu indah. Justeru katanya, anak muda yang mahu berada dalam dunia seni perlu mendalami pelbagai ilmu, bukan sekadar tahu menyanyi sahaja.
"Saya akui anak-anak pun ada bakat dalam bidang ini tetapi saya tidak galakkan mereka terjun dengan ilmu kosong. Jika betul-betul mahu menjadi anak seni, kena rajin timba ilmu," katanya.
PROFIL
- Nama: Mohammad Rauzan Alwi
- Nama komersial: Roy
- Umur: 56
- Asal: Muar, Johor
- Menetap: Banting, Kuala Langat
- Tahap pendidikan:Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia
- Album:Roy Nekad
- Roy 93
- Lagu hit: 1Malaysia, Perpaduan Teras Kejayaan, Malaysiaku Gemilang, Wawasan 2020, Kau Ratnaku, Kasih Seketika, Diari Mimpi dan Sayang Tak Merindu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang