Menu sarapan wajib orang Padang Rengas! Peniaga ini kongsi resipi kuih kundas

No Image Caption
A
A
A

KUNDAS, mungkin ada segelintir masyarakat Malaysia yang tidak mengenali tentang kuih ini, tetapi ia sangat terkenal di Padang Rengas, Kuala Kangsar Perak.

Menurut cerita Munirah Adnan, kuih kundas itu berasal dari Malbari, India.

Pada asalnya, kuih tersebut dijual di kedai mamak dan hanya didapati di sana sahaja sebelum orang Melayu turut menjadikannya sebagai punca rezeki.

Tambah wanita berusia 41 tahun yang kini meneruskan legasi keluarga menjual kuih kundas, semuanya bermula dari ibu beliau yang menuntut ilmu belajar sendiri dengan pemilik kedai mamak sekitar tahun 80-an.

"Dia memang berasal daripada India, buka kedai mamak dan salah satu menu jualannya adalah kuih kundas.

"Cara mamak, mereka akan jual kuih ini dan cicah dengan kuah kacang tetapi berwarna merah," kata beliau.

No Image Caption

Selepas belajar, ibunya tidak terus menjual kuih tersebut tetapi memilih untuk olah dahulu resipi supaya rasanya mengikut selera orang kita. Setelah itu, barulah mula menjualnya pada tahun 1983.

"Menurut cerita kakak saya, pada zaman dahulu kuih ini sangat popular di Padang Rengas sehinggakan dijadikan menu wajib sarapan pagi selain nasi lemak dan roti canai.

"Ketika itu emak saya satu-satunya orang Melayu yang menjual kuih kundas selain kedai mamak. Malah, secara harian, emak boleh jual tidak kurang dari 10 kilogram (kg) tepung untuk kuih kundas," jelas beliau.

Ibunya berniaga sehingga tahun 2022, kemudian diambil alih oleh kakak dan anak saudara beliau.

Pun begitu, ia tidak bertahan lama selepas kakaknya meninggal dunia dan anak buah mendapat pekerjaan baru.

No Image Caption

Legasi

Beliau yang sebelum ini berhijrah daripada Kuala Lumpur ke Parit Buntar, memilih untuk meneruskan legasi tersebut tetapi hanya pada hujung minggu.

"Awal jualan saya buka tu memang ramai. Alhamdulillah saya boleh menjual lebih daripada 20 kg tepung sehari. Mungkin ramai yang rindu kuih kundas warisan ni.

"Setiap minggu permintaan memang sangat tinggi sebenarnya. Malah ada yang sanggup datang dari jauh seperti Kuala Lumpur untuk merasai sendiri. Cuma, tak boleh nak buat setiap hari kerana menetap di Parit Buntar," ujar beliau.

Jika dilihat daripada rupanya mungkin menyamai kuih cakoi, namun rasa kedua-duanya berbeza.

"Kuih cakoi lebih kepada rasa lemak yang kosong sementara kundas pula lebih ke lemak manis dan hampir sama dengan cucur kembung," jelasnya.

Bagi kalian yang ingin merasai sendiri air tangan Munirah, beliau tidak lagi berniaga di Padang Rengas dan akan mula berniaga di kafe Universiti Sains Malaysia cawangan Nibong Tebal bermula Januari 2025.

Selain kuih kundas, Mira juga menjual makanan lain serta mengambil tempahan katering.

No Image Caption

Resepi Kundas Warisan

Bahan-bahan:

1 Kilogram tepung gandum

1 1/2 Sudu kecil soda

1 Cawan gula

1 Biji telur

1 Sudu besar yis kering

1 1/2 Sudu kecil garam

500ml Air

3 Sudu besar susu pekat

Cara membuat:

1. campurkan air, yis, gula, susu pekat & telur

2. kemudian, masukkan tepung, soda, garam dan uli hingga sebati dan licin.

3. Perap adunan tersebut dengan sedikit minyak dan biarkan 10-20 minit dan sedia untuk digoreng.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang