Sudah setahun, apa perkembangan terkini Fawwas selepas insiden dihempap peti sejuk?
TRAGEDI hitam yang menyaksikan seorang kanak-kanak cedera parah gara-gara dihempap peti ais pada Julai tahun lalu menggemparkan negara hingga menjadi perbualan hangat berbulan lamanya.
Rakyat Malaysia mengekspresikan rasa simpati apabila mangsa, Muhammad Fawwaz Adli Mohd Bukhari yang ketika itu berusia enam tahun dilaporkan tidak boleh berdiri dan bertutur selepas tiga minggu dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan.
Selepas hampir setahun, apa perkhabaran terkini Fawwaz? Adakah si kecil semakin pulih.
Menjawab persoalan itu, bapanya, Mohd Bukhari Zainal Anuar, 34, memberitahu, anak kesayangannya hanya mampu terbaring.
Pun demikian ujar Mohd Bukhari, daripada badan kurus kering dan berselirat dengan wayar sebelum ini, keluarganya boleh sedikit menarik nafas lega apabila Fawwaz sudah sedikit montel serta semakin comel.
Bagaimanapun si kecil itu masih bergantung sepenuhnya dengan ubat sawan dan antikekejangan urat saraf.
"Syukur alhamdulillah keadaan Fawwaz sekarang banyak menunjukkan peningkatan dari sudut pergerakan termasuk tindak balas sentuhan.
"Waktu tidur dan berjaga sudah seiring. Sebelum ini dia lebih suka terbaring atas katil, kini dia lebih selesa ditegakkan kepala dan didukung. Selalu juga merengek barangkali tidak selesa ada tiup pada hidungnya," ujarnya sambil memberitahu si kecil itu masih belum dapat makan dan minum seperti kanak-kanak normal lain.
Fawwaz juga kata beliau, bagaikan bayi baru lahir yang mahu ditatang.
"Dia memerlukan belaian dan kadang-kadang merengek ingin didukung dan dipeluk, bukannya mengadu sakit. Apabila diletakkan di katil, mesti Fawwaz merengek. Kalau didukung dan dipeluk, barulah dia diam sahaja. Barangkali dia bosan terbaring dan mahu bermain seperti biasa tetapi apakan daya," katanya.
Tolak sumbangan
Bercerita lanjut mengenai kehidupan mereka sekeluarga, lelaki itu berkata, kekangan Perintah Kawalan Pergerakan sejak pertengahan Mac lalu sedikit sebanyak menjejaskan sumber pendapatannya sebagai penjual air balang.
Artikel berkaitan: Dari suri rumah S Pavithra bukti kebangkitan wanita, bawa keluarga pindah rumah baru
"Sekarang ini saya tidak boleh berniaga seperti biasa tetapi rezeki ALLAH tidak pernah salah alamat kerana sumbangan orang ramai yang prihatin dengan kisah kami amat dihargai dan bantu meringankan beban menampung kos keperluan rawatan susulan dan fisioterapi Fawwaz setiap bulan,” tuturnya.
Kepada SinarPlus, ayah kepada tiga anak itu berkata, beliau memutuskan untuk tidak lagi menularkan kembali nombor akaun miliknya.
"Cukuplah dengan sumbangan yang ada. Hanya ALLAH sahaja yang mampu membalas segala kebaikan semua pihak yang tidak putus-putus hulurkan dana dan barangan keperluan kepada kami sekeluarga.
"Kami cuma harapkan doa kalian untuk Fawwaz agar anak ini kembali cergas, lincah dan ceria seperti dahulu. Kami amat rindukan suara dan tawanya," katanya penuh sebak.
KRONOLOGI
12 Julai 2019
- Fawwaz dilaporkan dihempap peti ais pada jam 11 malam.
- Dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Tuanku Ja'afar Seremban ekoran pendarahan pada kepala.
- Beliau menerima rawatan di hospital berkenaan selama lebih lima bulan.
23 Februari 2020
- Fawwaz kemudian dipindahkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Hospital Kuala Lumpur.
8 Mac 2020
- Fawwaz dilaporkan stabil selepas pembedahan ke-12 dan dibenarkan pulang ke rumah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang