Awas! Beguk bukan penyakit sembarangan, boleh merebak melalui udara dan titisan cecair dengan mudah

A
A
A

TIGA tahun lalu, negara kita dikejutkan dengan penutupan dua buah sekolah di Kajang dan Gombak, Selangor gara-gara kluster beguk.

Pada ketika itu, tindakan kawalan dan pencegahan telah dijalankan kerajaan dengan melaksanakan proses pengasingan pelajar.

Walaupun arahan telah dikeluarkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan jangkitan masih berlaku akibat pergaulan pelajar yang berterusan.

beguk bukan penyakit sembarangan

Justeru, tiada pendekatan lain yang lebih berkesan dapat dilaksanakan selain mengarahkan penutupan sekolah demi memutuskan rangkaian jangkitan beguk.

Hasilnya, semua pelajar yang terlibat dari kedua-dua sekolah itu berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

Mengulas tentang beguk, sebenarnya ramai yang masih kurang arif bagaimana masalah itu berlaku dan apakah cara untuk mencegah krisis kesihatan berkenaan?

Justeru, bagi mengupas lanjut mengenainya, SinarPlus mewawancara Pegawai Perubatan Telinga, Hidung dan Tekak, Persatuan Alumni Perubatan Universiti Teknologi Mara Malaysia, Dr Nur Islam Zahari.

Dr Nur Islam menjelaskan, beguk merupakan satu infeksi virus dikenali sebagai paramyxovirus. Ia menyerang kelenjar air liur (salivary gland) yang terletak berhampiran dengan telinga atau disebut sebagai parotid pada bahagian pipi.

beguk bukan penyakit sembarangan

Jangan sesekali kita melihat beguk merupakan satu penyakit biasa.

Berdasarkan informasi yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 20 Oktober 2018, sebanyak 75 kluster beguk telah dilaporkan di seluruh Malaysia, berbanding 64 kluster pada tahun sebelumnya.

Daripada 75 kluster, sebanyak 59 kluster (78.7 peratus) berlaku di sekolah.

Mudah berjangkit

Berdasarkan maklumat tersebut, Dr Nur Islam berkata, beguk memang merupakan satu penyakit yang sangat mudah berjangkit daripada satu individu kepada individu lain.

"Beguk boleh tersebar kepada sesiapa sahaja melalui udara, antaranya melalui percakapan,“ ujarnya.

Selain itu, ia juga boleh merebak melalui titisan air yang terhasil ketika seseorang itu bersin ataupun batuk.

Seperkara yang menakutkan daripada fakta yang dikongsikan pakar terbabit adalah tentang bahaya amalan berkongsi peralatan makanan seperti sudu dan cawan atau barangan peribadi lain.

beguk bukan penyakit sembarangan

"Perilaku itu boleh meningkatkan lagi risiko seseorang untuk mendapat jangkitan. Kekurangan penjagaan kebersihan yang baik seperti tidak mencuci tangan dengan betul pun dapat meningkatkan penyebaran virus paramyxovirus itu," beritahunya.

Kepada SinarPlus, pegawai perubatan itu berkata, beguk sangat mudah menjangkiti golongan kanak-kanak berbanding dewasa.

Baca juga Jangan malu periksa organ seksual, kaum lelaki disaran buat pemeriksaan segera

"Tanda-tanda atau gejala beguk pada mereka biasanya dapat dikesan antara 12 hingga 25 hari selepas dijangkiti. Namun, terdapat juga sesetengah pesakit yang tidak menunjukkan langsung simptom pada peringkat awal," katanya.

Berikut antara gejala yang mungkin dialami oleh pesakit:

  • Bengkak dan rasa sakit pada satu atau kedua-dua belah pipi.
  • Mengalami demam.
  • Pesakit akan sakit kepala.
  • Sakit otot tiba-tiba sahaja berlaku.
  • Berdepan dengan keletihan yang melampau.
  • Pesakit juga akan berdepan dengan masalah hilang selera makan.

Dalam beberapa keadaan tertentu, sesetengah pesakit lelaki akan mengalami bengkak dan sakit pada bahagian kelamin.

"Jadi, apabila terdapat kesemua gejala yang saya nyatakan tadi berlaku, saya nasihatkan pesakit segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut agar rawatan yang sesuai dapat diberikan," katanya.

Baca juga Sumbing bukan derita sepanjang hayat. Ini beberapa syor pakar untuk merawat masalah itu

Dalam hal itu, SinarPlus turut merujuk artikel yang dikongsi oleh portal perubatan, The Diagnosa. Ujar mereka, budak lelaki yang mengalami beguk dan keradangan pada bahagian testis boleh menjadikan kanak-kanak tersebut mandul.

Beralih menjawab soalan lain, Dr Nur Islam berkata, kebanyakan individu yang dijangkiti beguk tidak perlu risau kerana penyakit itu boleh beransur baik.

beguk bukan penyakit sembarangan

Pun demikian, pesakit masih boleh terdedah kepada risiko untuk mendapat komplikasi jika jangkitan virus tersebut merebak pada bahagian tubuh lain.

"Antara komplikasi beguk yang mungkin boleh berlaku jika tidak diawasi sepenuhnya adalah seperti meningitis (keradangan pada lapisan selaput yang membaluti otak dan saraf tunjang), orkitis (keradangan pada testis), pankreatitis (keradangan pada pankreas) dan hilang pendengaran," jelasnya.

Namun, satu perkara yang dibangkitkan beliau, tiada rawatan seperti ubat-ubatan khusus bagi menyembuhkan penyakit beguk sepenuhnya, termasuklah cara perubatan kampung seperti menitik nila pada anggota yang bengkak.

"Rawatan untuk melegakan gejala sahaja boleh diberikan kepada mereka," terangnya.

beguk bukan penyakit sembarangan

Kenyataan Dr Nur Islam selari dengan fakta yang dikongsikan oleh myhealth.gov.my. Sememangnya tiada ubat spesifik untuk beguk, tetapi simptom-simptomnya boleh dilegakan dengan:

  1. Paracetamol untuk mengurangkan demam dan rasa sakit.
  2. Mengambil lebih minuman, tetapi elakkan jus-jus yang berasid

    Letakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melegakan kesakitan.

  3. Orang yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga mereka tidak boleh lagi berjangkit atau sehingga bengkak hilang.

Menjawab persoalan tentang kekeliruan orang ramai mengenali di antara beguk dan tiroid, SinarPlus merujuk fakta yang dikongsikan oleh hellodoktor.com.

Menurut laman web perubatan lokal itu, kedua-duanya adalah dua penyakit yang berbeza yang melibatkan dua organ yang berlainan.

Baca juga Penyakit tiroid banyak serang orang muda, ini gejala dan rawatannya

"Beguk menjejaskan kelenjar parotid, manakala tiroid pula melibatkan kelenjar tiroid.

"Untuk memahami perbezaan antara kedua-dua penyakit dan organ ini (beguk dan tiroid), orang ramai perlu tahu kedudukan atau posisi bengkak. Berdasarkan kepada anatomi, beguk adalah bengkak pada bahagian pipi, manakala tiroid pula adalah bengkak pada bahagian hadapan leher," beritahu mereka.

Tempoh kesembuhan

Sementara itu, Doktor Hidung, Tekak dan Telinga, Klinik Firdaus, Johor Bahru, Johor, Dr Mohammad Firdaus Ismail ketika dihubungi baru-baru ini berkata, beguk akan pulih sepenuhnya dalam tempoh kurang dari dua minggu.

"Namun, kalau ikutkan perhitungan biasa, saya simpulkan tempoh kesembuhan penyakit biasanya ambil masa sekitar 10 hari. Selepas mengalami beberapa gejala ringan, pembengkakan biasanya akan berlarutan sekitar tiga hingga lima hari sahaja dan akan surut dengan sendirinya," ujarnya.

beguk bukan penyakit sembarangan

Pun demikian, kata Dr Mohammad Firdaus, sekiranya beguk yang bengkak itu tidak memperlihatkan sebarang perubahan secara semula jadi dalam tempoh berkenaan, pesakit disarankan berjumpa dengan doktor bagi melakukan penilaian semula.

"Pemeriksaan sekali lagi perlu dilakukan agar tiada sebarang komplikasi lain, selain mencegah risiko yang paling biasa berlaku iaitu tidak boleh membuka mulut untuk makan atau mengalami kepayahan untuk menelan," beritahunya.

Bagaimana cara terbaik untuk mencegah beguk? Memberi respons terhadap soalan itu, beritahu Dr Mohammad Firdaus, satu-satu caranya adalah dengan mengambil suntikan vaksin.

Baca juga Kenapa tak boleh pilih jenis vaksin? Ini apa yang perlu kita tahu

"Ibu bapa di luar sana perlu tahu bahawa semua vaksin yang diberikan kepada anak-anak adalah percuma oleh KKM di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (PIK)," tambah beliau.

Pemberian imunisasi akan memberi perlindungan terhadap jangkitan dan mengurangkan risiko dijangkiti penyakit berkenaan. Apabila dijangkiti sekali lagi, jangkitan akan menjadi sangat ringan, jelasnya.

beguk bukan penyakit sembarangan

Mengulas lanjut, ungkap beliau, PIK di Malaysia telah bermula sejak tahun 2002 lagi dan ia terdapat dalam vaksin tiga serangkai iaitu campak, beguk dan rubela.

"Dos pertama akan diberikan semasa bayi berumur sembilan bulan dan dos kedua pula ketika usia si kecil mencecah tujuh tahun," terangnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Dr Mohammad Firdaus berpesan kepada ibu bapa agar tidak menghantar anak-anak yang menghidap beguk ke sekolah atau ke mana-mana destinasi bagi mengelak penularan.

"Orang ramai yang mengalami gejala penyakit itu pula diminta untuk mendapatkan nasihat doktor, sentiasa menjaga kebersihan diri serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul bagi mengelakkan virus tersebar dengan mudah," nasihatnya.

Hendak minum air pun rasa sangat sakit, apatah lagi nak makan'- Bekas pesakit beguk

BEBERAPA tahun lalu, Siti Hashima Hassan, 17, pernah melalui detik sukar apabila disahkan mempunyai masalah pembengkakan pada bahagian pipi kanannya.

Beritahunya, pada masa itu beliau baru sahaja pulang dari sekolah dan rasa tidak sedap badan sebelum mengalami demam panas.

Baca juga Masalah peluh berlebihan (hiperhidrosis) boleh membuatkan seseorang stres dan kemurungan. Berikut tip terbaik yang boleh dilakukan pesakit

"Rasa sakit itu betul-betul pada pada bahagian pipi. Terus terang saya kata, saya sama sekali tidak menyangka itu adalah antara gejala beguk.

"Selepas sehari demam dan pada masa sama, hilang juga selera makan, ibu membuat keputusan untuk membawa saya membuat pemeriksaan di klinik kesihatan berdekatan dengan rumah," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujar Siti Hashima, diagnosis doktor akhirnya sekali lagi mengesahkan bahawa dirinya mempunyai simptom beguk dan dinasihatkan perlu berehat sepenuhnya.

Akui remaja berkenaan, kesakitan dan keperitan yang ditanggung akibat beguk sememangnya tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

"Bayangkan, hendak minum air pun rasa sangat sakit, apatah lagi untuk menjamah makanan, meskipun teksturnya lembut seperti roti dan bubur," ungkapnya.

Ditanya berapa lama beguk yang dideritainya mengambil masa untuk surut, Siti Hashima berkata, keadaannya bertambah baik selepas lebih seminggu.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

"Kalau tidak salah saya, pada hari ke-9 saya kembali sihat sepenuhnya. Namun, saya masih tidak hadir ke sekolah kerana bimbang ia akan merebak kepada rakan-rakan dan guru-guru di dalam kelas.

"Saya mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan doktor pernah berpesan bahawa beguk sangat mudah menjangkiti orang lain jika tidak menjaga jarak fizikal," kata gadis yang berasal dari Cheras, Selangor itu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca