“Benda boleh jimat kenapa beli mahal.” Rumah flat persis apartmen mewah, wanita kongsi tip deko bajet
RUMAH flat pun boleh bertukar persis apartmen mewah andai bijak disusun atur. Cantik dan kemas hanya menggunakan bajet minimum, ruang kediaman bertukar sedap mata memandang.
Setiap kediaman mempunyai ruang yang sama keluasannya. Apa yang membezakan ialah dekorasi dan ambience di dalamnya. Perkongsian foto kediaman Ayu Roses di sebuah grup dekorasi menjadi tular. Warganet rata-rata mengagumi kreativiti ibu empat cahaya mata ini dalam menata hias ruang kediaman seluas 712 kaki persegi miliknya. Tidak kurang yang terinspirasi.
Masuk rumah terus jumpa dapur
Kongsi Ayu, pelan lantai kediamannya ini memanjang dari pintu masuk terus ke ruang tamu. “Selepas masuk rumah, akan terus jumpa dapur. Tema dekorasi ialah asalkan sedap mata memandang,” kata Ayu.
Ayu dalam temu ramah dengan Sinar Plus mengganggarkan kos membeli perabot dan barang-barang kediaman ialah kira-kira RM1,000 yang dibuat menerusi atas talian.
“Saya tak buat kira-kira pula. Rasanya hanya menukar meja makan, kabinet televisyen, cermin hiasan dan kertas dinding. Kebanyakannya saya beli di Shopee, habis dalam RM1,000 lebih,” kata Ayu.
Nampak putih, rupanya kelabu
Bagi ruang tamu, Ayu menggunakan cat dinding daripada jenama Jotun Gardex Gloss rona kelabu muda (light grey). Susunan perabot yang minimum dan kemasan lembut daripada rona bumi teratur menjadikan ia tenang dipandang.
“Ayu sengaja tidak letak karpet pada ruang tamu supaya mudah nak sapu atau mop rumah. Ayu juga tidak letak meja kopi kerana anak-anak tengah melasak. Ayu biarkan ia bagi memberi ruang anak-anak bermain,” kata wanita ini.
Menjawab soalan daripada warganet, almari berlaci yang diletakkan pada ruang ini adalah pemberian daripada makciknya. Ia asalnya warna asal kayu jati kemudian dicat warna putih. Manakala cermin besar yang digantung pada dinding menjadi titik fokal utama yang menyerlahkan.
Ruang makan
Ruang makan terletak bersebelahan dengan ruang tamu. Pada ruang ini, diletakkan meja makan dan sebuah rak yang dijadikan kaunter bar. Kaunter bar itu kata Ayu menjadi tempat dia dan suami minum petang atau makan tengah malam. Ia juga pembahagi ruang antara ruang dapur dan ruang makan atau ruang tetamu.
“Cermin berbingkai warna rose gold Ayu beli di Eco Shop. Saiznya 5 inci X 3 inci. Bajet tak sampai sampai RM35 pun. Kalau beli cermin hiasan, harga tak lari daripada RM200 lebih. Jadi kita pilih yang super duper jimat sahaja.
“Dulu selalu berangan nak ada kaunter bar. Alhamdulillah ada rezeki beli sikit-sikit. Ayu suka guna rak Ikea Kallax sebab best boleh buat macam. Untuk kaunter ini bajet dikeluarkan hanya dalam RM650,” kata Ayu.
Pada ruang terhad, Ayu kreatif mewujudkan mini dapur kering dengan meletakkan sebuah rak putih dan rak dinding yang meyimpan pelbagai perkakas elektrik seperti mesin pengisar, periuk nasi dan pembakar roti.
“Konon-konon ini mini dry kitchen. Ruang ini Ayu guna rak Kallax untuk letak barang elektrik yang jarang digunakan. Mesin pengisar dan pembakar roti tu anak selalu bawak lari ke ruang tamu.
“Daripada pintu masuk akan terus nampak ruang tamu. Jadi Ayu letak langsir Ikea supaya orang yang lalu lalang di luar pintu rumah tidak nampak terus ke dalam,” kata Ayu.
Benda boleh jimat kenapa nak beli yang mahal?
Walau pun tanpa kabinet dapur bina dalam, dapur kediaman ini kemas tersusun. Ruang yang hanya seluas 6 kaki x 6 kaki ini boleh memuatkan seorang sahaja dalam satu masa.
Terdapat banyak rak terbuka diletakkan pada ruang ini. Kebanyakan bekas-bekas penstoran berwarna putih menjadikan ia seragam dan kelihatan kemas. Ayu memanfaatkan ruang bawah sinki untuk meletakkan tong gas memasak, peralatan pembersihan dan perkakas tajam berbahaya.
“Bekas putih itu ialah bekas ais krim. Makcik Ayu tak guna so kita kutip bawak balik. Bekas ni ala Trofast Ikea yang harga RM12. Benda boleh jimat kenapa nak beli yang mahal kan,” kongsi Ayu.
Perkongsian Ayu mendapat 22,000 reaksi dan lebih 2,000 komen. Katanya perkongsian ini di harapkan dapat membantu memberikan idea ahli grup yang selalu ingin mendapatkan solusi dekorasi kediaman yang memanjang.
Sumber: Ayu Roses dan KaMi SuKa DeKo DeKo
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang