'Balkoni ruang istirehat, bukan tempat simpan barang terbuang'

A
A
A

MELIHAT harga hartanah hari ini, peluang untuk Syariza Adnan, 30, memiliki rumah kategori atas tanah (landed) di Kuala Lumpur bernilai RM300,000 amat tipis.

Justeru, mahu atau tidak, dengan kemampuan kewangan eksekutif muda itu, beliau terpaksa menukar pilihan membeli seunit kondominium. Biarpun dilengkapi pelbagai fasiliti seperti gimnasium dan kolam renang, kemudahan itu belum cukup memuaskan hatinya.

Ini disebabkan hartanah jenis bangunan bertingkat tinggi terbabit tidak menawarkan tanah untuk beliau mencipta taman mini sekali gus dijadikan ruang bersantai pada hujung minggu. Benar, kediaman bertingkat sifatnya memang sebegitu.

Namun, bagi arkitek landskap dan pereka hiasan dalaman, Azry Fazamy Ahmad Tarmizi, balkoni yang biasanya dijadikan tempat menyidai pakaian dan penstoran barangan boleh diubah suai dengan membina taman mini secara maksimum.

balkoni azryAZRY FAZAMY (gambar kecil) menasihatkan keluarga yang mempunyai anak kecil jangan mengambil mudah aspek keselamatan di balkoni.

Pilih item tahan lasak

Katanya, elemen landskap di balkoni bukan sahaja memberikan kesegaran, malah membantu menenangkan fikiran dengan dikelilingi tanaman hijau.

“Pokok-pokok jenis renek (small shrubs), penutup bumi (groundcovers) dan memanjat (climbers) adalah antara pilihan ideal termasuk sayuran dan herba bersaiz sederhana yang boleh ditanam di dalam pasu. Namun begitu, diingatkan, pokok bersaiz besar perlu dielakkan kerana tidak sesuai.

“Dari segi susun atur pokok pula, bergantung pada jenis pokok memandangkan setiap tumbuhan mempunyai habitat tersendiri.

“Berikutan itu, saya sentiasa menyarankan agar pengguna mempunyai ilmu terlebih dahulu sebelum membeli pokok dan menentukan susun atur pilihan.

balkoniPOKOK hiasan disusun kemas agar ruang balkoni tidak serabut dan menyuntik mood tenang dan santai.

“Solusi terbaik adalah berbincang bersama penjual pokok dan merujuk pihak yang arif,“ jelasnya yang turut menasihatkan pengguna sentiasa menjaga persekitaran taman mini terutamanya mengelakkan takungan air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Selain itu, pemilihan item dekorasi balkoni juga harus diberi perhatian bersesuaian dengan cuaca di Malaysia panas dan lembap sepanjang tahun.

“Pilih item jenis tahan lasak, kalis air dan tidak mudah rosak. Tempias hujan renyai lazimnya tidak menjejaskan persekitaran balkoni.

“Namun, pemilihan setiap item tidak boleh dipandang ringan. Sebaik-baiknya pilih (item) untuk hiasan taman daripada material plastik komposit atau buluh tiruan.

“Selain itu, elak menggunakan kaca mudah pecah dan ringan. Paling penting, susun atur balkoni menggunakan hiasan berasaskan kayu yang sudah dirawat dan batuan semula jadi,“ jelasnya.

Berbicara variasi lantai pula, Azry Fazamy menjelaskan, lantai kayu palet tidak sesuai kerana sifatnya yang lembut dan cepat rosak apabila terdedah kepada cuaca panas dan lembap.

balkoni

“Jika ingin menampilkan kelainan di bahagian lantai, pilih kategori tahan lasak seperti komposit kayu, homogenous tiles, batu pebble (batu hiasan comel) ataupun rumput hijau tiruan. Kesemua jenis ini mudah dikemas dan diselenggara,“ katanya.

Beliau sempat menitipkan pesanan kepada mereka yang memiliki anak kecil supaya menitikberatkan aspek keselamatan di balkoni.

“Jangan sesekali meletakkan perabot tinggi yang boleh dipanjat si kecil berhampiran railing balkoni dan elak hiasan berunsurkan kaca,“ ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca