Imsonia, kemurungan boleh tercetus gara-gara masalah kejang kaki

A
A
A

SIAPA di antara kita yang tidak pernah mengalami kejang pada betis kaki? Mesti masing-masing berpengalaman dan mungkin hal itu kerap terjadi sehingga mengganggu waktu tidur.

Ya, impaknya, bukan sembarangan. Masakan tidak, ia boleh membuatkan seseorang berdepan masalah insomnia yang akhirnya menjadikan seseorang lesu dan letih pada keesokan harinya.

Melalui artikel yang disiarkan di Medical News Today, laman web perubatan itu memetik laporan daripada Pakar Perubatan Amerika tentang kemelut itu. Menerusi satu kajian, sebanyak 60 peratus orang dewasa, 40 peratus wanita hamil dan 7 peratus kanak-kanak mengalami kekejangan kaki pada waktu malam.

“Kekejangan kaki adalah (kekejangan) otot yang tidak disengajakan pada anggota kaki, tetapi yang paling biasanya berlaku adalah pada betis. Semestinya apabila otot tegang, seseorang akan rasa tidak selesa dan sakit,“ kata laporan berkenaan sebagaimana dipetik.

SinarPlus kemudian mendapatkan pandangan Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Selangor, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman.

Dr Arisman.

Katanya, kejang pada kaki juga dikenali sebagai penyakit Willis-Eksbom.

"Secara asasnya, mereka yang mengalaminya akan berasa sakit sehingga gagal menggerakkan kaki. Ia biasanya akan terjadi pada waktu malam dan kerap menyerang ketika seseorang sedang berehat seperti duduk dan berbaring di tempat tidur,“ jelas beliau.

Meskipun nampak seperti tiada apa-apa, Dr Arisman menegaskan, masalah kekejangan kaki sama sekali tidak boleh diambil mudah.

“Ini kerana kekejangan kaki tahap sederhana ataupun teruk yang tidak dirawat boleh menyebabkan penurunan produktiviti kerja sekitar 20 peratus. Lebih parah, ia boleh mencetuskan masalah kemurungan dan kegelisahan,“ katanya.

Kepada SinarPlus, pegawai perubatan itu memaklumkan, lebih 80 peratus mereka yang berdepan masalah itu akan mengalami pergerakan tidur anggota badan secara berkala (PLMS).

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“PLMS dicirikan oleh pergerakan kaki dan kadangkala juga berlaku pada lengan yang tidak disengajakan atau gerakan menyentak semasa tidur yang biasanya berlaku setiap 15 hingga 40 saat,“ terang beliau.

Mengenai punca kekejangan kaki, ia masih belum diketahui.

“Namun, ada kajian yang mengaitkannya dengan faktor genetik atau keturunan,“ tambah beliau.

Dalam pada itu, berdasarkan beberapa pandangan, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan masalah kekejangan kaki. Antaranya seperti:

  1. Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan sedang menjalani rawatan hemodialisis.
  2. Mereka yang berhadapan masalah kekurangan zat besi.
  3. Penggunaan alkohol, nikotin dan kafein secara berlebihan.
  4. Kehamilan terutamanya pada trimester terakhir.
  5. Neuropati (kerosakan saraf).
  6. Bersukan pada tahap keterlaluan.
  7. Berdiri terlalu lama.
  8. Posisi duduk yang salah.
  9. Kekurangan mineral dan elektrolit dalam tubuh badan.
  10. Mengambilan ubat-ubatan tertentu seperti:

i) Kompazin (ubat tahan muntah).

ii)Fenotiazin (ubat antipsikotik).

iii) Fluoxetine (ubat antidepresi yang meningkatkan serotonin).

iv) Diphenhydramine (ubat alergi dan mengandungi antihistamin).

“Oleh itu, bagi mereka yang mengalami gejala yang dinyatakan, sila dapatkan konsultasi doktor atau pakar jika simptom itu kerap berlaku dan semakin mengganggu rutin tidur. Banyak rawatan yang boleh membantu untuk kembali pulih,“ kata Dr Arisman.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca