Kuih Serunai, pilihan petang Pantai Timur, renyah nak buat tapi sedap

A
A
A

KUIH serunai atau dikenali sebagai tepung pasung merupakan menu tradisional masyarakat di Pantai Timur.

Menurut Tahrunnisah Jali atau lebih mesra disapa Nisah, beliau yang sebelum ini pernah menetap selama 13 tahun di Arab Saudi kerap memasak kuih tersebut jika teringat keluarganya di kampung.

“Sebelum ini, saya tinggal di Arab Saudi kerana mengikut suami bertugas. Sepanjang berada di sana, kuih serunai ialah kuih yang selalu saya masak sehinggakan sanggup membawa bahan-bahan asasnya dari Malaysia,“ beritahu bekas pendidik itu.

Bercerita mengenai kisah di sebalik kuih itu, kata Nisah, sebenarnya namanya  dipanggil sedemikian rupa kerana bentuk yang sama seperti alat muzik serunai.

“Saya pelajari resipi ini daripada nenek saya. Kami sekeluarga memang merupakan peminat tegar sajian ini,“ kata wanita itu yang kini turut mengambil tempahan aneka nasi di sekitar Beserah, Pahang selain kudapan berkenaan.

Berkongsi tip untuk menghasilkan kuih serunai yang tahan lama, Nisah memaklumkan, pertama sekali, pembikin kuih perlu memastikan adunan dimasak terlebih dahulu sebelum dikukus.

“Saya biasanya akan masak dulu kedua-dua bahan (bahagian atas dan bawah kuih) sebelum dibungkus di dalam daun pisang yang telah dilayurkan. Bukan apa, tujuannya adalah ingin pastikan santan yang digunakan sebati setelah bercampur dengan bahan-bahan lain,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Pun demikian, pesan Nisah, semasa menuang adunan ke dalam kelongsongnya, perlu lebih berhati-hati.

“Pastikan hanya tiga perempat sahaja (adunan bawah) dituang dan ia perlu dikukus sebelum menuang adunan pada bahagian atas pula. Memang rumit, tetapi itulah cara bagi menghasilkan kuih serunai yang sempurna,“ katanya lagi.

Nisah turut berkongsi cara paling mudah untuk mengukus menu terbabit.

“Pastikan kelongsong disusun (secara berdiri) di dalam periuk pengukus dengan memasukkan bucu bawahnya ke dalam lubang-lubang yang terdapat dalam periuk berkenaan.

“Dengan cara itu, proses mengukus kuih serunai akan menjadi cepat, selain hasilnya tidak comot dan adunannya akan kenyal dan rapi.

“Ya, memang nampak renyah sedikit, tapi hasilnya memang sedap dan puas hati,“ katanya sambil memberitahu kuih tradisional berkenaan sedap dimakan ketika sarapan pagi dan petang.

Hidangan akan bertambah ‘padu‘ jika disajikan bersama kopi O panas.

PROFIL

  • Nama: Tahrunnisah Jali
  • Umur: 43 tahun
  • Asal dan menetap: Beserah, Pahang.

RESIPI KUIH SERUNAI

Bahan-bahan (bahagian bawah)

  • 2 sudu besar gula pasir
  • 1 1/2 gula melaka
  • 1 2/3 cawan air
  • 1 helai daun pandan disimpul
  • 40 gram tepung beras
  • 20 gram tepung ubi
  • 1 sudu kecil air kapur

Bahan-bahan (bahagian atas)

  • 1 1/2 cawan santan pekat
  • 2 1/2 sudu besar tepung beras
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu kecil garam (anggaran)
  • 1 sudu kecil gula pasir

Cara penyediaan:

  1. Gula pasir, air dan daun pandan (bahagian bawah) dididihkan dan ditapis. Biarkan sejuk seketika.
  2. Campurkan ke dalam adunan air gula, tepung beras, tepung ubi dan air kapur lalu dikacau sehingga sebati.
  3. Panaskan periuk yang mengandungi adunan tadi dan kacau hingga keluar wap dan sedikit kenyal.
  4. Seterusnya, satukan kesemua bahan (bahagian atas) dan didihkan seketika di atas api sederhana sehingga sebati.
  5. Setelah siap, masukkan 3/4 adunan bawah dan kukus di dalam periuk pengukus selama 7 minit.
  6. Seusai bahagian bawah masak, tuangkan adunan bahagian atas sehingga penuh kelongsong dan kepilkan lidi pada hujung balutan.
  7. Kukus sekali lagi selama 12 ke 15 minit sebelum dihidangkan.

Sumber: Tahrunnisah Jali

ANEKDOT

RESIPI KUIH BUKO PANDAN

Bahan-bahan

  • 5 gram serbuk agar-agar warna putih
  • 10 gram serbuk jeli
  • 700 mililiter air kelapa muda
  • 2 helai daun pandan (disimpul)
  • 70 gram gula pasir
  • 1/4 sudu kecil pes pandan
  • 2 buah isi kelapa muda (hiris memanjang)
  • 100 gram manisan buah kabung
  • 100 gram Nata de Coco
  • 300 mililiter susu sejat
  • 200 gram susu pekat
  • 100 mililiter krim putar

Cara penyediaan:

  1. Satukan ke dalam periuk air kelapa muda, serbuk agar-agar, serbuk jeli, gula pasir, daun pandan dan pes pandan.
  2. Seterusnya, kesemua bahan dikacau sehingga sebati.
  3. Masak sehingga mendidih. Selepas itu, tuangkan ke dalam bekas dan biarkan adunan mengeras.
  4. Kemudian, adunan dipotong (berbentuk kiub).
  5. Seterusnya, jeli pandan, kelapa muda, manisan buah kabung dan Nata de Coco dimasukkan ke dalam mangkuk.
  6. Tuangkan susu sejat, susu pekat dan krim putar.
  7. Gaulkan sehingga sebati. Simpan dalam peti sejuk selama 2 ke 3 jam sebelum di hidang.

Sumber: cookpad.com/@Jeehan_ Kitchen

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca