Musim hujan tiba lagi, waspada serangan asma
APABILA musim hujan, banyak perkara yang bermain dalam minda kita. Selain menikmati keberkatan hujan, sesetengah daripada kita khuatir jikalau berlaku banjir.
Mereka yang menghidap asma atau lelah pula tidak sedap hati memikirkan kesihatan diri. Mengapa?
Seperti kata Pakar Perunding Perubatan dan Paru-paru, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa, cuaca sedemikian sememangnya memberi kesan kepada golongan pesakit berkenaan.
“Pesakit asma mempunyai saluran pernafasan hiperresponsif atau terlebih sensitif.
“Saluran pernafasan mereka mudah menjadi sempit jika terdedah kepada rangsangan luaran seperti cuaca sejuk, makanan atau minuman sejuk dan panas, perubahan emosi yang mendadak atau jangkitan kuman atau virus,” jelas beliau kepada Sinar Plus ketika ditemu bual baru-baru ini.
Dr Nurul Yaqeen berkata, asma sebenarnya merupakan penyakit paru-paru kronik yang membengkak dan menyempitkan saluran pernafasan.
“Semasa serangan asma, pesakit mungkin mengalami wheezing iaitu bunyi bersiul ketika bernafas, sesak pada dada, sesak nafas dan batuk.
“Tidak dapat dinafikan asma penyakit yang boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat segera,“ katanya.
Memperincikan lebih lanjut, ujar pakar berkenaan, semua penghidap mempunyai persamaan iaitu keradangan saluran pernafasan yang kronik.
“Terdapat faktor yang boleh menyebabkan asma berlaku, antaranya saluran pernafasan menjadi radang (saluran pernafasan mengandungi lendir, bengkak dan sempit) dan akan menyebabkan pesakit sukar bernafas dan boleh menyebabkan serangan asma berlaku.
“Ketika musim hujan, biasanya, banyak virus mudah disebarkan seperti virus influenza yang senang merebak melalui titisan air.
“Jangkitan virus itu juga akan menyebabkan serangan asma kepada mereka (pesakit asma) dan sebab itulah jika dilihat, kadar kemasukan pesakit asma ke hospital akan meningkat pada musim hujan dan jerebu,“ ujarnya.
Jadi, apa yang perlu dilakukan? Menjawab soalan itu, Dr Nurul Yaqeen mengusulkan beberapa panduan:
- Menjauhi atau mengelakkan diri daripada terdedah kepada cuaca sejuk, panas, hujan atau jerebu.
- Pakai topeng muka untuk menjaga diri daripada pencemaran udara seperti asap kenderaan atau jerebu.
- Kurangkan keluar rumah.
- Menggunakan ubatan atau inhaler seperti yang disarankan oleh doktor.
- Elakkan diri daripada mengambil makanan yang boleh menyebabkan alahan.
- Segera ke hospital sekiranya ubatan inhaler yang sedia ada tidak memberi kelegaan.
- Menjaga kebersihan dengan kerap membasuh tangan dengan air atau cecair pembasmi kuman.
Serangga
Mengulas isu sama, Pakar Perubatan Dalaman dan Respiratori, Hospital Pantai Cheras, Dr Liza Ahmad Fisal berkata, jangkitan kuman, pendedahan kepada alahan seperti lipas, bulu haiwan, debunga, makanan, pewarna, pengawet dan bahan kimia turut menjadi punca serangan asma.
“Sebagai negara yang kaya dengan tumbuhan hijau dan pertanian komersial, debunga terdapat pada setiap masa. Ribut petir dan angin kencang semasa musim hujan membantu penyebarannya (debunga) dengan meluas dan akan menyebabkan serangan asma. Fenomena itu dikenali sebagai ribut petir asma,“ jelasnya.
Dr Liza menambah, kelembapan tinggi semasa musim hujan juga amat digemari oleh hama dan kulat.
“Hama dan kulat boleh menyebabkan serangan (asma) sementara kulat berupaya memudaratkan paru-paru pesakit yang mempunyai daya tahan rendah. Lebih membimbangkan, faktor-faktor itu akan menjejaskan fungsi paru-paru yang biasanya akan memakan masa untuk kembali pulih,“ katanya.
Rawatan
Mengulas mengenai rawatan untuk pesakit asma, Dr Liza berkata, ia boleh dirawat dengan dua jenis ubat penyedut.
“Satu daripadanya bertindak sebagai ubat pengawal dan satu lagi bertindak sebagai penyelamat,“ ujarnya.
Berikut adalah perinciannya:
- Ubat-ubatan pengawal adalah untuk kawalan asma yang berterusan. Ia akan membantu mengurangkan keradangan ketika serangan berlaku. Ia perlu diambil setiap hari sama ada seseorang mempunyai gejala atau tidak. Ubat pengawal termasuk kortikosteroid dihidu (jenis ubat utama) dan perencat leukotrin. Contohnya, ubat beclomethasone, budesonide dan fluticasone.
- Ubat penyelamat pula perlu diambil apabila tanda-tanda serangan asma bermula. Antara ubat yang digunakan termasuk beta-agonis dan antikolinergik. Contoh ubatnya ialah salbutamol, terbutaline, fenoterol dan ipratropium bromide (atrovent).
Kepada pesakit asma, Dr Liza turut menasihatkan agar selimut dan cadar yang digunakan dibasuh secara berkala, manakala permaidani dan aksesori rumah lain mesti dijemur.
“Jika terdapat kebocoran di dalam bilik air, dapur, siling atau dinding segera perbaiki. Kulat yang terdapat pada permukaan dinding juga perlu dibersih dan dikeringkan,“ ungkap Dr Liza yang turut menyarankan agar pesakit tidak memelihara haiwan berbulu.
ANEKDOT
Terdapat banyak jenis alat sedut (inhaler). Salah satu daripadanya ialah jenis dos bermeter (MDI). Kepada yang baru menggunakannya, berikut adalah cara penggunaan MDI:
- Duduk atau berdiri tegak.
- Keluarkan penutupnya dari corong.
- Letakkan alat sedut dengan jari telunjuk di bahagian atas tabung dan ibu jari di bahagian bawah.
- Goncang alat sedut.
- Tarik nafas sepenuhnya melalui mulut dan hembus nafas perlahan-lahan.
- Letakkan pelekap mulut alat sedut di dalam mulut. Tutup bibir di sekitar corong dengan rapat. Dongakkan kepala sedikit ke belakang.
- Mula menarik nafas perlahan-lahan dan mendalam melalui corong. Pada masa yang sama tekan ke bawah pada tabung alat sedut dengan jari telunjuk.
- Terus tarik nafas dalam dan dengan perlahan-lahan tahan nafas selama 5 hingga 10 saat (mengikut kemampuan).
- Keluarkan alat sedut dari mulut dan hembus nafas perlahan-lahan melalui hidung tanpa membuka mulut.
- Tunggu seminit sebelum mengulangi dos kedua.
- Gantikan penutup selepas digunakan.
- Bilas mulut selepas menggunakan steroid yang telah disedut.
Sumber: http://www.myhealth.gov.my/asma/
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang