Sekali pandang macam buah tiruan, Luk Chup 'kena' selera masyarakat tempatan

Sekali pandang macam buah tiruan, Luk Chup 'kena' selera masyarakat tempatan
Sekali pandang macam buah tiruan, Luk Chup 'kena' selera masyarakat tempatan
A
A
A

Luk chup, pencuci mulut tradisional dari Thailand kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini sekali gus menjadi sumber pendapatan yang agak lumayan bagi pengusaha manisan tersebut.

Juadah berasaskan kacang itu agak unik kerana dibuat dalam pelbagai bentuk menyerupai buah-buahan dan sayur-sayuran dengan warna yang menarik, sekali pandang seolah-olah buah-buahan tiruan.

“Luk bermakna buah, iaitu merujuk kepada kacang, sementara ‘chup’ pula bererti celup,” jelas seorang pengusaha manisan tersebut yang dikenali sebagai Sakinah Mustapha.

Menurut sumber, wanita berusia 46 itu juga berkata, beliau berhenti kerja sebagai akauntan di sebuah syarikat kontraktor sekitar 2016 bagi mengusahakan perniagaan itu sepenuh masa.

“Pada permulaan saya hanya mampu memperoleh sekitar RM500 dengan tempahan daripada pelanggan sekitar bandar ini, namun kini pendapatan saya lebih RM1,500 sebulan dengan permintaan turut diterima dari luar Kelantan seperti Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, tempahan yang diterima meningkat pada musim cuti sekolah yang turut menjadi musim perkahwinan kerana selain dihidang sebagai pencuci mulut ketika kenduri, luk chup juga dijadikan buah tangan untuk tetamu.

“Kebiasaannya pada musim ini saya hampir tidak menang tangan dan terpaksa bersengkang mata selain dibantu dua pekerja untuk menyiapkan tempahan pelanggan yang mencecah hingga 2,000 biji,” katanya.

Jelasnya beliau mempelajari cara membuat luk chup daripada ibu saudaranya Zaleha Abdul Hanan, 55 yang berasal dari Golok, Thailand, ketika berusia 15 tahun.

Harga yang dikenakan pula adalah RM10 untuk setiap 20 biji luk chup dan antara bentuk yang biasa dibuat ialah buah tembikai, pisang, mangga serta sayur terung dan kubis.

“Pembuatan luk chup melalui proses yang panjang selain menuntut kesabaran yang tinggi dan proses membuat bentuk yang dikehendaki itu agak renyah kerana adunan kacang mudah pecah,” katanya.

Menurut Sakinah, bahan-bahan yang diperlukan bagi membuat juadah itu ialah kacang kuning atau kacang hijau, agar-agar, pewarna makanan serta air bunga melur.

“Bagi memastikan inti benar-benar empuk, kacang perlu direndam terlebih dahulu selama empat jam sebelum direbus atau dikukus selama sejam setengah,” kata ibu tunggal empat anak tersebut.

Katanya manisan itu boleh bertahan selama beberapa hari jika disimpan di dalam peti sejuk dan hingga sebulan jika diletakkan di dalam peti sejuk beku.

BERNAMA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca