Terkenal di Terengganu, kuih kayu keramat sangat menyelerakan

A
A
A

BAGI para peniaga kuih-muih di Terengganu, salah satu kuih yang wajib dalam senarai jualan mereka ialah kuih kayu keramat.

Bukan sahaja enak dimakan, malah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat sajian berkenaan juga mudah untuk didapati.

Kuih kayu keramat hanya memerlukan tepung gandum, yis dan soda bikarbonat untuk membentuk satu adunan yang sempurna.

Salah seorang pembikin yang juga peniaga kudapan berkenaan, Wan Noor Elleyana Wan Abas berkata, beliau sudah mula berjinak-jinak menjual kuih tradisional berkenaan sejak berusia 17 tahun lagi.

Pendek kata, beliau sudah mahir membuatnya sehingga menjadikan kuih berkenaan sebagai sumber pendapatannya.

Wan Noor Elleyana berkata, rupa bentuk sajian berkenaan seolah-olah seperti kuih cakoi, namun terdapat perbezaan yang ketara.

"Cakoi biasanya mempunyai tekstur yang lebih lembut dan ringan, tetapi kuih kayu keramat, isinya agak padat dan sedikit berat.

"Lagi satu, kuih kayu keramat boleh dimakan begitu saja, berbanding cakoi yang memerlukan pencicah seperti kaya untuk jadikan makanan itu lebih sedap," beritahunya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menyingkap sedikit sejarah kulinari berkenaan, wanita berusia 35 tahun itu berkata, kuih kayu keramat selalunya dijadikan sebagai bekal untuk para nelayan ke laut mencari rezeki sejak zaman dulu lagi.

"Barangkali masih ada nelayan zaman sekarang yang membawa kuih itu lagi sebagai alas perut, di samping nasi dan lauk-pauk. Menariknya menu ini lagi, ia boleh bertahan selama dua hari lamanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

"Ramai yang mengatakan kuih kayu keramat seperti pengganti roti kerana ia memang mengenyangkan. Itu sebab ada yang memanggil kuih ini sebagai roti keramat dan enak dicicah dengan kuah kari," ujarnya.

Berkongsi mengenai petua untuk mendapatkan kuih kayu keramat yang garing dan padat, ibu kepada dua orang anak itu berkata, pembikinnya perlu memastikan air yang digunakan cukup untuk membentuk adunan dengan struktur yang diinginkan.

"Sebaik-baiknya guna air suam kerana doh akan cepat naik. Namun, jangan pula tersilap masukkan kuantitinya kerana boleh menyebabkan doh menjadi lembik. Sebab itu saya sarankan masuk air sedikit demi sedikit,” sarannya.

Selain itu, kawalan api juga penting dalam menggoreng kuih berkenaan, selain memastikan minyak betul-betul panas.

PROFIL

  • Nama: Wan Noor Elleyana Wan Abas
  • Umur: 35 tahun
  • Asal: Kemaman, Terengganu
  • Menetap: Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu

RESIPI KUIH KAYU KERAMAT

Bahan-bahan

  • 1/2 paket tepung gandum
  • 1/2 paket yis kering
  • 1/2 cawan gula
  • 1 biji telur
  • 1 sudu kecil soda bikarbonat
  • 1 sudu besar marjerin
  • Air suam secukupnya
  • Secubit garam

Cara penyediaan:

  1. Campurkan semua bahan-bahan di atas kecuali air lalu diaduk rata.
  2. Kemudian, tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi seperti doh dan tidak melekat pada tangan.
  3. Rehatkan doh lebih kurang 30 minit.
  4. Selepas itu, sapukan tangan dengan sedikit minyak.
  5. Ambil sedikit adunan, tarik memanjang dan terus goreng dalam minyak panas menggunakan api sederhana.
  6. Apabila sudah bertukar menjadi keperangan atau garing, kuih keramat boleh diangkat dan siap untuk dihidangkan bersama teh O panas.

Sumber: Wan Noor Elleyana Wan Abas

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca