Uri di bawah ketika hamil, ini komplikasi-komplikasi yang perlu ibu wajib tahu

A
A
A

URI di bawah ketika hamil, ini komplikasi dan tip yang perlu ibu wajib tahu.

Apabila penyanyi terkenal Indonesia, Opick memuat naik tentang perkhabaran bahawa anak keenamnya selamat dilahirkan, seluruh peminat melahirkan rasa teruja.

Pun demikian, bayi yang dilahirkan pada 10 Julai 2020 itu merupakan anak pramatang dengan berat 2.99 kilogram.

Isteri Opick, Bebi Silvana kemudian menarik perhatian ramai apabila mendedahkan perjuangannya melahirkan si kecil itu.

Ujar Bebi, beliau terpaksa melahirkan si comel itu melalui pembedahan caesarean disebabkan uri berada di bawah atau istilah perubatannya, previa plasenta.

Justeru, apa yang dimaksudkan dengan previa plasenta? Adakah situasi itu akan membuatkan si ibu dan bayinya berdepan dengan segala macam risiko?

Kepada Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Vijayan Padmanathan, beberapa soalan signifikan diajukan.

Jelas Dr Vijayan, previa plasenta merupakan satu kehamilan yang menyaksikan plasenta atau uri berimplantasi secara abnormal pada segmen bawah rahim, sama ada menutupi ataupun tidak (menutupi) ostium uteri internum, sedangkan kehamilan itu sudah mampu hidup di luar rahim.

Berdasarkan statistik Royal College of Obstetricians & Gynaecologists, kondisi itu berlaku satu dalam 200 kehamilan.

Berdasarkan laporan National Obstetrics Registry (2016), seramai 1,407 wanita hamil dengan previa plasenta memerlukan pembedahan rahim secara caesarean. Sementara itu, pada tahun berikutnya mencecah 1,531 orang.

"Untuk tahun 2016 dan 2017, 100 peratus ibu hamil dengan previa plasenta di Malaysia memerlukan pembedahan caesarean," katanya.

Pemeriksaan ultrabunyi

Beritahu Dr Vijayan, faktor dominan yang menyebabkan kedudukan uri wanita hamil itu rendah masih kekal misteri.

Bagaimanapun, pakar tersebut memaklumkan, risiko lazimnya adalah merujuk kepada sejarah pembedahan rahim secara caesarean, prosedur teknologi bantuan pembiakan atau ART, merokok atau usia ibu yang lanjut (35 tahun ke atas).

Dalam pada itu, menurut laman web perubatan antarabangsa WebMD, kekangan itu juga boleh terjadi seandainya posisi janin tidak normal, ibu pernah mengalami keguguran, bukan kehamilan pertama dan penyalahgunaan kokain.

"Pendarahan faraj selepas minggu ke-20 kehamilan adalah ciri placenta previa," kata WebMD.

Menjawab kekeliruan sama ada previa plasenta sudah boleh dikesan pada trimester kedua, Dr Vijaya tampil memberi pencerahan. Katanya: "Keadaan itu hanya boleh dikesan jika usia kandungan ibu kurang dari 32 minggu.

"Jika penemuan ini berlaku sejak usia kehamilan lebih 16 minggu dan sebelum 32 minggu, ia dipanggil low-lying plasenta. Diagnosis ini sebenarnya tidak muktamad kerana kedudukan plasenta masih boleh berubah."

Bercakap lanjut tentang diagnosis, ujarnya, pengimejan ultrabunyi akan dilakukan ke atas ibu. Melaluinya, kedudukan plasenta boleh diketahui, sama ada ia berada di segmen bawah rahim, berdekatan atau menutupi ostium uteri internum.

Dalam perkembangan sama, Healthline melalui kupasannya mengatakan, jika seorang wanita mengalami pendarahan pada trimester ke-2, doktor akan memantau kedudukan plasenta menggunakan beberapa tiga kaedah pilihan iaitu:

a) Ultrasound transvaginal: Doktor akan meletakkan probe di dalam faraj untuk memberi pandangan imej di dalam saluran faraj dan serviks. Ia adalah kaedah paling tepat untuk menentukan previa plasenta.

b) Ultrasound transabdominal: Pakar penjagaan kesihatan akan meletakkan gel pada perut dan menggerakkan unit pemegang tangan yang dipanggil transduser di sekeliling perut untuk melihat organ pelvis.

c) Pengimejan Resonans Magnetik atau MRI: Imbasan pengimejan ini akan membantu menentukan dengan jelas lokasi plasenta.

Sindrom kematian bayi mengejut

Dalam pada itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pantai Laguna Merbok, Kedah, Dr Nurhalimah Mohd Zali berkata, previa plasenta dibahagikan kepada kategori minor dan major. Minor merujuk kepada Type 1 dan 2 Anterior, sementara untuk komponen major terdiri daripada Type 2, 3 dan 4 Posterior.

Beritahu Dr Nurhalimah, apabila seseorang ibu berada pada tahap major, mereka boleh melahirkan anak cukup bulan. Namun, dengan syarat tiada pendarahan berlaku atau apa-apa komplikasi lain sepanjang proses kehamilan. Mereka juga bersalin hanya secara pembedahan.

Kepada wanita yang berdepan dengan senario itu, pakar berkenaan memberi peringatan terhadap beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan.

"Antaranya mereka diminta tidak melakukan hubungan intim atau melaksanakan kerja-kerja berat. Pendek kata, ibu perlu berehat sepenuhnya," tegasnya.

Menyambung hujah, pakar berpengalaman itu berkata, simptom klasik previa plasenta adalah pendarahan dari vagina, tetapi ia tidak menyebabkan kesakitan. Kadang-kadang, ia berhenti dengan sendirinya dan terjadi semula ketika waktu bersalin.

"Pendarahan selalunya terjadi pada trimester ke-3. Jika pendarahan berlaku dengan banyak, pesakit mungkin akan mengalami simptom dan tanda renjatan (shock) seperti kurang tekanan darah denyutan jantung yang laju, rasa berdebar-debar, pening kepala dan boleh pengsan," katanya.

Tiada niat untuk menakut-nakutkan, namun ibu-ibu yang mengalami masalah uri berada di bawah tidak boleh lari daripada beberapa komplikasi yang sukar untuk dielakkan.

Selain pendarahan, Dr Nurhalimah berkata, antara kerumitan lain, mereka akan melahirkan anak tidak cukup bulan, uri lekang (placental abruption), kadar transfusi darah yang tinggi termasuk kemungkinan berlaku jangkitan pada rahim selepas bersalin.

Bagaimana pula dengan bayi? Ujar beliau, si kecil akan menjadi bayi pramatang dan turut berdepan dengan kekangan lain.

Soalan yang sama turut diajukan kepada Dr Vijayan. Terang beliau: "Disebabkan kedudukan plasenta di bawah, bayi boleh menjadi songsang dan memerlukan pembedahan rahim secara caesarean. Bayi yang dilahirkan juga berkemungkinan terpaksa mengharungi beberapa situasi seperti masalah pernafasan, kurang berat badan, kekuningan dan sindrom kematian bayi mengejut."

Berehat di wad

Serentak dengan itu, SinarPlus turut bertanyakan tentang metodologi rawatan.

Terang Dr Nurhalimah, apabila wanita didiagnos mempunyai previa plasenta Type 2, mereka akan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian bermula dari minggu ke-28. Berikut sebab-sebabnya:

Pemerhatian rapi: Ia dapat mengelakkan situasi kecemasan yang tidak dapat dikawal. Sekiranya pesakit berada di wad, semua staf dan doktor dapat merawat pesakit dengan segera jika mereka mengalami pendarahan vagina.

Pemeriksaan ultrabunyi: Ia akan dilakukan setiap dua minggu. Sekiranya plasenta sudah berada di atas, ibu akan dibenarkan pulang, namun jika tidak, pembedahan caesarean akan dilakukan pada minggu ke-38.

Pembedahan: Jika berlakunya pendarahan ataupun proses kelahiran telah bermula, pesakit akan terus dibawa ke bilik pembedahan untuk melahirkan bayi secara pembedahan.

Suntikan Intramuscular Dexamethasone: Seandainya kandungan masih lagi tidak cukup bulan, suntikan Intramuscular Dexamethasone akan diberikan kepada ibu untuk mematangkan paru-paru bayi sebelum dilahirkan. Jika pendarahan vagina tidak berhenti, pembedahan segera perlu dilakukan.

Dalam pada itu, Dr Nurhalimah memberi komentar terhadap satu peristiwa yang berlaku ke atas seorang ibu yang terpaksa melahirkan bayinya ketika usia kehamilan 26 minggu dan pada masa sama, mengalami placenta previa, fibroid, polip dan darah tinggi.

Pakar itu berkata, bayi pramatang tersebut adalah disebabkan oleh pendarahan vagina yang mana si kecil terpaksa dilahirkan demi menyelamatkan nyawa ibu dan anak.

"Punca utama pendarahan vagina yang dialami ibu ini adalah kerana previa plasenta, tetapi darah tinggi juga boleh menyebabkan plasenta lekang dari peranakan (abruption placenta) dan pendarahan vagina boleh berlaku.

"Namun, sekiranya pesakit ini tidak mempunyai darah tinggi, fibroid, polip dan previa plasenta sekalipun, bayi itu tetap boleh meninggal dunia kerana bersifat pramatang dan faktor lain iaitu paru-paru bayi yang tak matang.

"Kesimpulannya, sebab utama kematian bayi ini adalah faktor pramatang, komplikasi dan penyebab pramatang bayi itu sendiri merangkumi pendarahan vagina (disebabkan previa plasenta). Mungkin juga disebabkan darah tinggi atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Sebelum itu, terang Dr Nurhalimah, polip adalah satu kondisi yang benign dan kebiasaannya pendarahan akan berhenti apabila ia dibuang.

Fibroid pula adalah sejenis ketumbuhan otot yang lazimnya tumbuh pada rahim. Ia boleh menyebabkan seorang ibu memperoleh bayi pramatang, namun pendarahan biasanya berlaku selepas kelahiran dan bukan sebelum kelahiran.

BACA JUGA Wanita tertekan, seminggu kahwin mentua sudah minta buat ujian kehamilan

BACA JUGA Fida Ibrahim keguguran, janin 4 bulan disambut atas tapak tangan

Permata hati Najihah meninggal dunia selepas 2 minggu dilahirkan

"SAYA reda dengan pemergian anak saya disebabkan faktor yang tak terduga, namun kesedihan saya masih lagi berbekas."

Demikian luahan seorang ibu, Najihah, 45, (bukan nama sebenar) yang pernah berdepan dengan masalah placenta previa, di samping menderita penyakit darah tinggi.

Ketika dihubungi, wanita berkenaan tidak dapat mengatur kata-katanya dengan baik disebabkan emosi beliau masih belum pulih secara total.

Masakan tidak, Najihah baru sahaja kehilangan permata hatinya yang ke-4 kira-kira 11 bulan lalu.

Cerita wanita itu, ketika usia kehamilan mencecah 25 minggu, doktor mengesahkan beliau berdepan dengan masalah placenta previa selepas beberapa kali pendarahan vagina berlaku.

"Hal ini membuatkan saya cuak, ditambah saya juga mengalami hipertensi sejak mengandungkan anak ketiga. Saya sudah rasakan yang diri ini akan berdepan dengan pelbagai kesukaran. Ternyata, telahan saya betul walaupun doktor tidak mengiakannya," ujarnya yang juga seorang jururawat.

Memasuki minggu ke-28, Najihah ditempatkan di sebuah hospital dan bermulalah episod yang tidak diingini berlaku.

“Saya penuh harapan agar keberadaan di hospital dapat membantu saya. Namun, selepas tiga hari, perdarahan teruk sekali lagi berlaku dan beberapa jam selepas itu, pembedahan terpaksa dijalankan. Saya dan bayi selamat, namun dia ditempat di Newborn Intensive Care Unit untuk rawatan susulan,” katanya.

Bagaimanapun, Najihah berkata, pengalaman menguruskan bayi di hospital telah membuatkannya tidak sedap hati tatkala mengenangkan kondisi kesihatan bayi beliau.

“Doktor terangkan yang anak saya bukan saja pramatang, tetapi dia mengalami masalah pernafasan kronik dan jika dia selamat pun, si kecil ini kemungkinan akan menderita Cerebral palsy. Selepas dua minggu, anak saya tinggalkan saya. Saya hanya sempat menitikkan susu badan pada mulutnya,” katanya dengan nada penuh hiba.

Selepas itu, Najihah sudah tidak mampu mengawal perasaan dan terus menangis teresak-esak dalam tempoh beberapa minit.

Situasi itu menyebabkan penulis tidak sampai hati untuk bertanya lanjut, namun sebelum mengakhiri perbualan, wanita tabah itu sempat berpesan: “Jika sudah memasuki usia 40-an, dapatkan nasihat doktor jika bercadang untuk hamil. Jangan jadi seperti saya.”

BACA LAGI 9 bulan derita kanser serviks tahap 4, wanita kongsi tanda, rawatan pulih curi perhatian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca