MENGANGKUT bot dari Melaka ke negeri-negeri yang terjejas banjir, nama Azwan Omar atau Abang Viva menjadi perhatian walaupun dia tidak mahu dikenali ramai.
Sanggup mengambil cuti kecemasan dan enggan menerima pemberian wang dalam proses menyelamat mangsa banjir, ketulusan pemuda ini menyentuh hati.
Baru-baru ini Azwan telah dihubungi beberapa pihak untuk memberikan tajaan atas jasa dan pengorbanannya.
Baca juga: Angkut Bot Dari Melaka Ke Selangor Selamatkan Mangsa Banjir, Berikut 10 Info Abang Viva Viral
Terbaharu, syarikat ICITY Motorworld Sdn Bhd berkongsi satu hantaran di mana Azwan menerima sebuah motosikal jenis Yamaha XJ6S dan beberapa aksesori lain seperti topi keledar, jaket dan beg sandang.
Menurut sebuah portal, Motomalaya.net menghubungi ICITY Motorworld dan dimaklumkan motosikal tersebut telah dibeli oleh seseorang sebagai hadiah Azwan.
Warga maya rata-rata mengucapkan tahniah buat pemuda itu. Malah turut mengucapkan terima kasih kepada insan yang menghadiahkan ‘superbike’ itu buat unsung hero itu.
- "Inilah dikatakan rezeki, apabila mendapat sesuatau tanpa diduga. Yang memberi dan menerima kedua-duanya terbaik."
- "Saya doakan kepada individu yang memberikan hadiah kepada Abang Viva (Azwan Omar) , semoga diberikan kesihatan yang baik dan dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan."
- "Moga dimurahkan rezeki kepada yang berikan hadiahkan kepada Abang Viva kita ini."
- "Betul lah rezeki tidak salah alamat. Alhamdulillah."
Terdahulu, Azwan menerima Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya - Adiwira Prihatin Musibah dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Dia juga telah dipilih menjadi anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.
Baca juga: Abang Viva Terima Sijil ‘Adiwira Prihatin Musibah’ Dari APM Buat Warga Maya Sebak
Sumber: ICITY Motoworld SDN BHD