Sering jatuh hingga sukar berjalan, kesihatan merosot dalam masa 3 bulan, ibu sayu rupanya Iman alami gangguan saraf

Iklan
1

SIAPA yang dapat menduga anak yang dulunya aktif dan ceria kini tiba-tiba tidak lagi berupaya.

Hanya dalam masa tiga bulan keupayaan fizikal Mohamad Nur iman Ramadhani, 10, atau Iman sedikit demi sedikit hilang hinggakan makan dan pakainya perlu diuruskan oleh ibu dan ayah.

Iklan
Iklan

Keletah dan keceriaan kanak-kanak itu diragut penyakit saraf, leukodystrophy yang jarang-jarang terjadi.

[caption id="attachment_70968" width="800"] Iman tiga bulan sebelum didiagnos mengalami gangguan saraf.[/caption]

Iklan

Ibu Iman, Nisaa Haswan berkongsi keadaan anaknya itu menerusi aplikasi media sosial TikTok. Beberapa video yang dikongsikan menyentuh hati warga maya.

Antaranya situasi kanak-kanak itu yang tidak putus asa untuk bangun berjalan dan menyarungkan baju sendiri seperti kebiasaannya sebelum diserang leukodystrophy.

Iklan

TANDA AWAL SERING TERJATUH

Sesungguhnya emak mana yang sanggup melihat anak yang sihat tiba-tiba tidak bermaya.

Sekelip mata segala keupayaan Iman direnggut gangguan saraf membuatkan hati ibu itu pilu.

Nisaa turut berkongsi gejala awal yang dialami Iman mula dilihat pada Julai 2021.

Kemudian satu persatu keupayaan fizikal dan kognitif anaknya hilang sehingga kini perlu diuruskan sepenuhnya.

[caption id="attachment_70966" width="800"] Iman di samping ibu, ayah dan adik.[/caption]

"Sebelum diagnos, Iman sangat ketara menunjukkan dia mudah terjatuh walaupun berjalan di permukaan yang rata.

"Dia kemudian mula hilang fokus dan kurang pendengaran.

"Hanya dalam masa tiga bulan selepas itu keadaan dia semakin merosot. Otot tubuhnya lemah dan tidak membolehkan dia berjalan seperti biasa lagi,” katanya.

Malah menurut Nisaa, Iman juga tidak berupaya memegang sebarang objek.

Melihat tanda-tanda itu, Iman terus dirujuk ke hospital.

Analisis yang dilakukan menerusi pengimejan resonans magnet (Magnetic resonance imaging -MRI) menunjukkan anak sulungnya itu mengalami leukodystrophy.

TIDAK LAGI KE SEKOLAH

Menurut Nisaa, susulan keadaan yang dialami tidak membolehkan permata hati sulungnya itu meneruskan persekolahan.

Malah menurutnya doktor tidak membenarkan kanak-kanak itu meneruskan persekolahan atas faktor kesihatan.

Katanya jika persekolahan diteruskan, Iman perlu menukar daripada sekolah biasa kepada sekolah pendidikan khas.

TERPAKSA DIDUKUNG

Jika dahulu, Iman berupaya menguruskan diri sendiri, kini dia tidak lagi boleh ke tandas, mandi dan makan sendiri.

Kini Nisaa dan suami perlu menguruskan anak sulung mereka.

"Dia tidak boleh berjalan, jadi saya perlu mendukungnya ke bilik air.

"Baju dan seluarnya saya dan suami pakaikan. Malah makan dan minum juga perlu disuap,” kata Nisaa ketika dihubungi SinarPlus.

Baca juga: Kisah 'rider' wanita bawa anak OKU penglihatan hantar makanan jentik hati warganet

TETAP USAHA HINGGA PENAT

Biarpun keupayaan terhad, Iman tidak pernah mengenal putus asa.  Dia tetap cuba untuk bangun berdiri untuk berjalan sehingga kepenatan.

Malah lebih menyebakkan kata Nisaa menerusi videonya, kanak-kanak itu berulang kami berkata dia tidak lagi boleh berjalan.

"ALLAH uji tanda sayang. Sedih tetapi saya akan usaha dan ikhtiar untuk kesembuhan Iman.

"Semoga ALLAH memberikan kekuatan untuk kami dan juga kesembuhan buatnya.

"Doakan Mohamad Nur Iman Ramadhani sembuh seperti sedia kala,” titip Nisaa.

SinarPlus mendoakan agar adik Iman dikurniakan kesembuhan.

Berikut enam info ringkas mengenai penyakit itu.

1. Leukodystrophy bukan hanya satu penyakit; ia sebenarnya sekumpulan penyakit yang menjejaskan sistem saraf pusat. Kini pakar mengesahkan terdapat 52 jenis Leukodystrophy yang berbeza.

2. Kebanyakan leukodystrophy adalah genetik.

3. Penyakit ini, yang boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, merosakkan sistem saraf pusat di otak dan saraf tunjang.

4. Ia menyerang myelin, jirim putih (white matter) yang mengelilingi saraf. Kesannya, myelin tidak lagi dapat menghantar maklumat dengan betul dalam arus saraf.

5. Antara gejalanya ialah masalah keseimbangan dan mobiliti, ketidakupayaan tingkah laku dan pembelajaran, kawalan pundi kencing, kesukaran bernafas, masalah perkembangan, pendengaran, pertuturan dan penglihatan, gangguan kawalan otot serta sawan.

6. Leukodystrophy hanya boleh dikesan menerusi analisis darah dan air kencing, imbasan CT, ujian genetik, imbasan MRI dan ujian psikologi dan kognitif.

Baca juga: Murid pakai kemeja labuh sampai ke lutut, pendedahan tidak disangka-sangka sentuh hati warga maya

Baca juga: Foto Awan Senja Seakan Individu Berdoa Di Johor Tular, Raih Perhatian Warga Maya

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sumber: Webmd, Cleveland Clinic