Isyariana pelihara hubungan dengan ibu, tidak jemu saling berbalas mesej dari pagi sampai malam

Iklan
design

SEDIKIT masa dahulu, wujud satu ‘entiti‘ yang gemar membuat pendedahan terhadap perilaku selebriti hiburan tempatan yang menggunakan barangan tiruan untuk berfesyen.

Menggunakan istilah 'legit' atau 'fufu', hal itu menjadi satu fenomena sehingga ada yang masih melakukannya sehingga ke hari ini.

Iklan
Iklan

Tidak pasti apa niat ‘entiti‘ berkenaan, apa yang pasti, perkara tersebut telah menyebabkan sebahagian selebriti naik berang apabila dilemparkan dengan tuduhan melulu.

 

Iklan

Baca juga: Kel Wen tolak guna ilmu hitam untuk hapuskan persaingan lebih senang pilih perbaiki diri sendiri

Baca juga: Khai Bahar akui sunyi hidup sendirian namun tidak rancang untuk berkahwin dalam masa terdekat

Iklan

Namun, dari satu segi, rata-rata artis yang dicop memakai barangan tiruan tidak mudah melenting. Kata mereka, tidak salah menggunakan apa sahaja jenama (walaupun tidak tulen) jika ia merupakan hadiah pemberian daripada peminat, rakan taulan mahupun keluarga. Bukankah perilaku menghargai pemberian seseorang itu lebih baik dan mulia?

[caption id="attachment_75126" width="800"] Nama Isya semakin melonjak selepas membintangi drama rantaian Hati Yang Dikhianati[/caption]

Entah kenapa, isu tersebut secara tiba-tiba terpacul dari mulut penulis ketika bersembang dengan pelakon yang semakin popular, Isyariana Che Azmi.

Membahasakan diri sebagai Isya, beliau yang juga seorang penyanyi tidak bersetuju pendekatan yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab itu.

"Kekayaan atau kemewahan bukan sesuatu yang menjadi kemestian kepada seseorang tidak kira apa jua kerjayanya. Kena ingat, artis juga manusia biasa yang ada fasa turun dan naiknya.

"Seperkara, ingin kelihatan mewah atau memiliki barangan berjenama tidak semestinya perlu berbelanja sakan. Saya sendiri tidak kisah dan akan membeli sesuatu sekadar mengikut kemampuan diri," luahnya yang membicarakan realiti kehidupan seorang selebriti.

Hidup berdikari

[caption id="attachment_75127" width="800"] Sejak kecil lagi Isya sudah terbiasa dengan kehidupan berdikari untuk mencari duit lebih.[/caption]

Kepada penulis, Isya berterus-terang bahawa beliau tidak malu berkongsi cerita tentang masa lalunya yang pernah berniaga di pasar malam ketika berusia 13 hingga 16 tahun.

Pelakon drama rantaian, Hati Yang Dikhianati yang sedang hangat ditayangkan ketika ini berkata, sejak zaman remaja lagi, dirinya lebih senang memilih untuk meneruskan survival dengan berdikari, berbanding bergantung harap kepada sesiapa, waima ahli keluarga sendiri.

"Berniaga di tapak pasar malam bukan satu hal yang boleh mengaibkan sesiapa. Seperti saya, pada usia belasan tahun, saya sudah belajar berkerja sendiri dengan cara membantu rakan-rakan di pasar malam menjual makanan, buah-buahan, sate dan nasi kukus. Jika saya inginkan sesuatu, saya akan berusaha sendiri walaupun perlu berpenat lelah.

"Memang mama ada menghalang dan lahirkan rasa bimbang sekiranya saya tidak fokus dalam pembelajaran. Namun, disebabkan enggan menyusahkan sesiapa, saya lebih selesa melakukan semua kerja," terangnya bersungguh-sungguh.

Nampaknya, amalan tersebut terbawa-bawa oleh Isya meskipun sudah bergelar selebriti popular.

Wanita yang digelar klon kepada penyanyi popular Indonesia, Agnes Monica itu bukan sekadar berusaha gigih demi memenuhi keperluan dan kehendak, beliau akan menguruskan kewangan dan perbelanjaannya pada setiap bulan.

"Hal ini perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi apabila pendapatan sebagai anak seni sentiasa tidak menentu," akuinya.

Bagi memastikan tiada tanggungjawab yang keciciran, pelakon kelahiran Temerloh, Pahang itu akan memperuntukkan pendapatan yang diterima untuk dua bulan mendatang.

"Jikalau tiada yang betul-betul penting, saya tidak akan membelinya. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Bila sudah tahu, perkara itu (pembelian) membebankan dan boleh memudaratkan, lebih baik tak menyusahkan diri semata-mata untuk bergaya atau mahu dipandang hebat oleh orang sekeliling. Walhal, sebenarnya hutang keliling pinggang," ungkapnya.

Sesungguhnya, pengalaman ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mengajar Isya agar sentiasa berjimat cermat dan tidak boros.

"Bayangkan bagaimana untuk teruskan hidup untuk membayar tanggungan bulanan dan membeli makanan jika tiada sumber kewangan?," soalnya serius.

Pun demikian, ujarnya, lapangan hiburan tetap menjadi lubuk rezeki utama. Beliau membulatkan hati untuk terus bergelar anak seni meski perlu mengorbankan kerjaya tetap sebagai penjawat awam sebelum ini.

"Berkhidmat dalam sektor kerajaan sebagai pelukis pelan dengan gaji tetap, pencen dan masa depan yang lebih terjamin memang sudah cukup membuatkan saya rasa selesa.

"Namun, disebabkan minat dan cintakan bidang ini, saya sanggup berkorban. Tambahan, saya juga disarankan untuk memilih antara satu, sama ada ingin meneruskan kerjaya sedia ada atau tidak?," kongsinya yang tidak menyesal dengan keputusan yang dipilih kini.

Cinta ibu & anak

[caption id="attachment_75129" width="800"] Isya mengakui hubungan dengan ibunya sangat akrab sehinggakan kedua-duanya saling bermesej seharian.[/caption]

Biarpun dilihat sebagai individu yang lebih cenderung mengikut kata hati sendiri, namun keputusan Isya untuk mencari sesuap nasi sebagai artis mendapat restu daripada ibunya yang ingin dikenali sebagai Isno.

Bekas peserta Akademi Fantasia 2016 itu memberitahu penulis, ikatan cinta bersama ibu semakin kuat apabila wanita kesayangannya bergelar ibu tunggal.

Tidak mahu sejarah keluarga dibangkitkan kembali, fokus beliau lebih terarah memikirkan rencana masa hadapan. Bak kata Isya, segala yang berlaku, biarkan berlalu dan tidak perlu diungkit, sementelah dirinya dan ibu sudah bersama keluarga baharu.

Dalam nada tawa, Isya mengatakan, di antara ibu dan dirinya umpama pasangan kekasih.

"Ibu pernah cakap, saya bukan sahaja anak perempuan, tetapi anak lelakinya juga. Bila kita menjadi anak tunggal perempuan, biasalah, saya inilah penawar dan saya juga ‘racun‘.

"Disebabkan itulah saya agak akrab dengan mama. Setiap hari mama akan mesej mendoakan dan menasihati agar berhati-hati di set penggambaran dan ketika mencari rezeki.

"Saya pernah bertanya dengan mama tidak bosankah mesej saya setiap hari, tetapi mama cakap, saya merupakan kawan baiknya. Mama juga kata, dia tidak kisah sekiranya tidak mempunyai kenalan lain," kata pemenang Artis Baharu Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 tahun lalu.

Justeru, ungkap Isya, beliau akan layankan sahaja segala kehendak ibu tercinta dan tidak kisah jika dipanggil sebagai 'anak emak'. Seharusnya hubungan anak dan ibu memang perlu begitu, katanya.

Ketika ditanya apa reaksi ibu tatkala beliau mengambil keputusan meninggalkan pekerjaannya sebagai pelukis pelan sebelum ini? Jawab Isya:"Ya, pada awalnya mama kurang menaruh keyakinan terhadap pilihan kerjaya saya sebagai anak seni. Namun, atas kepercayaan rezeki dan tuah itu ada di mana-mana serta diiringi doa yang berterusan, insya-ALLAH, segalanya akan dipermudahkan."

"Satu lagi, jika kita ikhlas melakukan sesuatu perkara, suatu masa nanti kita akan mendapatkan juga hasilnya. Seperti sekarang, perjalanan kerjaya saya bergerak agak perlahan, tetapi saya tetap bersyukur. Biarpun orang kata usia 32 tahun sudah terlambat untuk bergiat dalam bidang seni, namun siapa tahu rezeki masing-masing," terang beliau yang sangat optimis dalam banyak hal.

Peringatan

[caption id="attachment_75128" width="800"] Isya sentiasa menjaga keselamatan ketika menunggang basikal di jalan raya.[/caption]

Bersembang dengan Isya memang mengujakan. Setiap butir perkataan yang diucapkannya begitu bernas dan mendatangkan semangat.

Tatkala membicarakan tentang aktiviti sukan berbasikal yang diminatinya, ada sesuatu yang ingin dilontarkan artis versatil berkenaan.

Bukan mahu menghalang, apatah lagi menidakkan kebenaran, tetapi sebilangan penunggang menunggang basikal dalam keadaan bahaya dan dikhuatiri boleh meragut nyawa, komen Isya.

Menyambung hujahnya, penyanyi lagu Bisik Hati itu berkata, beliau tidak mahu pukul sama rata dengan semua penunggang basikal di negara ini.

"Bukan apa, saya tak mahu sebab nila setitik, rosak susu sebelanga. Dalam hal ini, saya tak nafikan, sewaktu memandu kereta, saya melihat sekumpulan geng basikal yang menunggang secara berbahaya. Mereka juga mengabaikan kehadiran pengguna jalan raya lain sehingga mengakibatkan kemalangan.

"Mengenangkan insiden mengerikan itu, timbul juga rasa takut dalam diri. Disebabkan itu, saya tidak pernah cuba untuk menunggang basikal di jalan raya kecuali jika berlakon," katanya.

Sehubungan itu, besar harapan bekas penyanyi kumpulan The Fabulous Cats itu agar setiap penunggang mematuhi peraturan yang digariskan oleh pihak berkuasa, di samping menerapkan disiplin yang tinggi ketika berada di atas jalan raya.

"Fikirlah tentang nyawa kita dan orang lain," katanya.

Sebelum menoktahkan bicara, sempena Hari Wanita Sedunia Selasa ini, Isya menitipkan pesan agar semua wanita di luar sana kekal tabah dan tidak mudah goyah dengan segala rintangan yang dihadapi.

 

jangan lupa follow SinarPlus di Instagram