BERINTERAKSI di hadapan khalayak akan menjadi satu hal yang sukar dilakukan sekiranya seseorang mempunyai sifat malu yang tinggi. Apabila perasaan tersebut mendominasi diri, segala yang dirancang atau diharapkan mungkin berubah menjadi hal sebaliknya.

Namun, segalanya dapat diatasi dengan keyakinan dan keberanian. Lagi pula, jika individu itu ialah seorang penghibur yang mana tugas hakikinya perlu mendampingi dan berada di hadapan lautan manusia.

Hal sebegitulah yang cuba dilakukan oleh penyanyi tersohor, Khai Bahar tatkala beraksi membuat persembahan atau berkomunikasi secara langsung dengan para peminatnya yang bukan sedikit.

 

Baca juga: Disebabkan niat untuk berkawan Rasyidah pilih mendapat pendidikan di SJKC demi menguasai bahasa Mandarin

Baca juga: Ketua cef dah pergi buat selama-lamanya Sean terkenang kemanisan sambut Tahun Baharu Cina

“Benar, saya seorang yang pemalu dan mudah rasa gementar lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan orang ramai. Sama juga seperti sekarang (temu ramah) dengan media.

“Namun, saya bersyukur kerana setelah tujuh tahun berada dalam industri, rasa malu dalam diri semakin berkurangan dan dapat diatasi dengan baik.

Bohong jika saya katakan tiada rasa gugup langsung di atas pentas, tetapi perasaan itu tidak sama dengan sebelum ini,“ ujar artis yang mencipta kejayaan yang penuh gemilang apabila memiliki hampir 40 buah trofi kemenangan sejak tahun 2016.

Cerita cinta

Khai memiliki hubungan baik dengan Aina Abdul yang turut bergandingan dengan dalam konsert beliau, Nafas Cinta di Petaling Jaya Performing Arts Center (PJPAC) semalam.

Dari segi pertuturan anak kelahiran Kampung Padang Katong, Perlis, menampakkan sisi kematangannya yang semakin terserlah.

Jadi, pada kesempatan itu, sempat penulis mengusiknya mengenai hal berkaitan dengan cinta pula.
Bukan apa, pada 28 Februari ini, usianya genap 28 tahun. Sudah pastinya soal hati sudah sesuai untuk dibincangkan dan tidak boleh dielakkan.

Hanya melepaskan ketawa kecil, penyanyi lagu Nafas Cinta itu mengakui berasa sunyi terutama melihat ‘pasangan merpati sejoli‘ yang sedang meraikan cinta, sedangkan diri sendiri masih sendirian.

Meskipun perasaan sedih menyelubungi naluri lantaran masih belum menemui pasangan sejiwa, Khai bagaimanapun tidak menjadi hal itu sebagai alasan untuk segera berumah tangga.

“Buat masa sekarang, saya ingin memberi tumpuan kepada kerjaya dan mencapai beberapa impian yang masih belum tercapai.

“Saya menyasarkan untuk berumah tangga sekitar lingkungan usia 30 tahun ke atas. Pada saya, umur sebegitu sudah dianggap matang dan sesuai untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami sekali gus ketua keluarga,“ jelas pemilik nama lengkap Muhammad Khairul Baharuddin yang pernah digelar sebagai King Smule.

Pedulikan gosip yang mengaitkan kononnya beliau pernah mempunyai ikatan rapat dengan beberapa kenalan artis seperti Nabila Razali, Siti Nordiana, mahupun Aina Abdul, bekas penyanyi busker itu mengakui menyukai seorang wanita.

Biarpun sekadar menatap kelibatnya dari kejauhan, bagi Khai ia sudah cukup membahagiakan. Akuinya: “Saya ada suka dengan seseorang dan si dia tidak mengetahui akan hal itu. Namun, sayangnya individu itu sekarang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.“

Enggan mengganggu-gugat silaturahim yang sudah erat terjalin dan mahu merawat luka yang terpendam, selebriti kacak tersebut menegaskan mahu terus melangkah ke hadapan.

Lantas ditanya adakah beliau akan memberi tanggungjawab kepada ibu dan bapa mencari jodohnya, Khai terus tertawa.

“Jodoh saya biarlah saya yang pilih (ketawa lagi). Insya-ALLAH bila sudah sedia nanti masanya akan tiba,“ tuturnya lembut.

Diusik lagi barangkali terdapat mana-mana wanita yang cuba mengoda, wajah jejaka yang terkenal dengan imej lelaki budiman itu seraya berubah menjadi merah padam.

Agaknya berasa malu dengan pertanyaan tersebut, Khai menyatakan dirinya sendiri tidak mengetahui jika sedang digoda atau tidak.

“Saya ada menerima mesej di laman sosial bertanya khabar, tetapi tidak lebih daripada itu. Tiada yang memberitahu secara terus terang atau mengajak keluar berjalan-jalan mahupun menonton wayang,“ luah Khai sambil tersenyum.

Bagai sukar untuk penulis percaya empunya diri yang tampan, popular, berharta atau ringkas kata, memenuhi ciri-ciri lelaki pujaan wanita, masih solo. Maka, beliau terus diasak dengan sisa pertanyaan tentang cinta.

“Ya benar, saya suka duduk di rumah dan tidak gemar menghabiskan masa di luar jika tiada urusan penting. Lagipun saya kurang gemar memandu kenderaan dan tidak mempunyai kereta sendiri.

“Jika memiliki sebuah kereta pun, saya sendiri pun tidak tahu hendak bawanya ke mana. Kalau melibatkan hal kerja, pengurus saya akan memandu kenderaan. Mahu pulang ke kampung, saya akan menaiki kereta api,“ katanya yang membuatkan penulis terpaku seketika.

Merendah diri

Meskipun menyertai pertandingan perlumbaan kereta, Khai bagaimanapun bukan seorang yang gemar memandu kenderaan.

Sudah menjadi resam seorang wartawan, soalan demi soalan diajukan kepadanya. Kali ini tentang hal pengangkutan pula seperti yang diperkatakannya tadi.

Sebagai artis bertaraf lima bintang, pengakuannya masih menaiki kenderaan awam memang agak mengejutkan. Bukan apa, ‘standardnya‘ ditambah dengan pendapatannya yang barangkali lumayan, membuatkan hal itu nampak mustahil bagi kebanyakan khalayak, termasuk para peminatnya.

Iklan

Kepada empunya diri, baginya mudah dan tidak perlu pening kepala. Terus kekal dengan sifat beliau yang sentiasa tenang, Khai sekali lagi mengakui sememangnya kereta api menjadi pilihan jika mahu bertemu keluarga di kampung lebih-lebih lagi sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Alasan mengapa menjadikan kenderaan itu menjadi opsyen, dengan bersahaja Khai memberitahu, keselesaan dan keindahan pemandangan sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kangar mendamaikan jiwanya.

Hamparan sawah padi yang sudah cukup sinonim sejak bergelar kanak-kanak, sukar untuk dibenamkan begitu sahaja walau sudah bergelar selebriti terkenal.

Penjelasan ‘kampung boy‘ itu diperkukuhkan lagi dengan negeri kelahirannya yang tidak memiliki lapangan terbang, melainkan perlu ‘singgah‘ ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kedah terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Perlis.

“Tempoh perjalanan mengambil masa sekitar lima jam jika menggunakan ETS. Sekiranya ada urusan kecemasan, saya lebih memilih untuk menaiki pesawat. Pendek kata, saya lebih senang bersederhana.

“Sebelum ini saya pernah memeranjatkan ibu apabila secara diam-diam mengikutnya dari belakang tanpa disedari. Ketika itu ibu menziarahi saya di Kuala Lumpur dan seterusnya pulang sehari kemudian.

“Demi membuat kejutan, sepanjang lima jam perjalanan saya tidak menegurnya sehingga adik menghantar kiriman video menunjukkan ibu berasa sedih kerana perlu berpisah dengan saya,“ ujarnya mesra saat mengimbau kenangan indah menaiki kenderaan awam.

Tak makan pujian

Meskipun memiliki bakat dalam bidang lakonan, namun Khai ingin memberi fokus kepada kerjaya nyanyian terlebih dahulu.

Pun demikian, Artis Popular pada Anugerah Planet Muzik 2017 itu enggan membenarkan wanita seperti adik, malah bakal kekasih memandu kereta untuknya.

Bukan kerana seksis atau memahat stigma negatif terhadap cara pemanduan kaum Hawa di atas jalan raya, tetapi pendiriannya itu merupakan salah satu tanda penghormatan kepada golongan wanita.

Iklan

“Saya lelaki! Jadi, saya seharusnya yang memandu dan memang tak akan membenarkan wanita memandu. Perkara itu boleh menyebabkan jatuh martabat saya sebagai seorang lelaki.

“Tidak hanya kepada bakal pasangan, adik perempuan juga dilarang memandu jika saya ada bersama. Bukan sebab tak percaya, tetapi selagi saya boleh melakukannya, saya akan lakukan,“ ungkap figura itu bersungguh.

Dalam pada itu, keberadaan Khai dalam pentas lakonan selepas berjaya menakluk dunia nyanyian amat dialu-alukan.

Bukan sahaja para penerbit dan pengarah, malah aktor popular, Syukri Yahya turut memuji bakat versatil yang ada pada dirinya.

Syukri antara lain menyebut bahawa kemahiran lakonannya yang baik, sekali gus dipercayai dapat menjadi wajah pelapis hero Malaya.

Tersenyum sebaik pernyataan itu diulangi, Khai nampaknya tidak mahu terus hanyut dengan bait-bait pujian.
Tegasnya, beliau masih baharu dan memerlukan banyak tunjuk ajar untuk terus bertahan dalam industri seni.

“Memang seronok apabila dipuji oleh seorang pelakon hebat dan berwibawa seperti Syukri. Namun, saya tidak boleh rasa terlalu selesa kerana banyak perkara lagi yang perlu dilakukan dalam mempelajari teknik lakonan agar lebih cemerlang,“ kata pemain utama dalam drama Kisah Cinta Rumi dan Satukan Rasa itu penuh iltizam.

Sebelum kami mengucapkan selamat tinggal pada pertemuan baru-baru ini, Khai sempat memberi penegasan.
Beritahu selebriti bersuara lunak itu, lakonan merupakan salah satu cabang kerjayanya. Fokus utama beliau adalah terhadap nyanyian lantaran tidak mahu terlalu terikat dengan tempoh penggambaran yang lazimnya mengambil masa yang agak lama.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram