APABILA Ramadan menjengah, terdapat tiga golongan yang perlu diberi perhatian iaitu kanak-kanak, warga emas dan wanita hamil. Bukan apa, kita memerlukan kepastian sama ada ketiga-tiga kelompok istimewa itu berupaya untuk menahan lapar dan dahaga selama berbelas-belas jam lamanya.
Itu satu hal. Bagaimana pula jika kanak-kanak atau warga emas memiliki penyakit kronik? Bagi ibu yang hamil pada trimester pertama, bukankah mereka perlu lebih berwaspada pada durasi berkenaan?
Justeru, bagi menjawab semua persoalan berkenaan secara terperinci, SinarPlus mendapatkan Pensyarah yang juga Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr Zuhra Hamzah.
Sebagai permulaan, Dr Zuhra mengulas mengenai puasa dalam kalangan kanak-kanak. Ujarnya, dari aspek perubatan, pada usia tujuh tahun, hormon pertumbuhan golongan itu sudah mula memainkan peranan, berbanding kanak-kanak yang lebih muda yang mana pertumbuhan mereka masih banyak bergantung kepada nutrisi.
Pun demikian, ujar Dr Zuhra, ibu bapa perlu memahami bahawa proses berpuasa akan menyebabkan perubahan pada badan terutama terhadap keseimbangan tenaga, air dan gula.
Secara asasnya, kata beliau, kanak-kanak memiliki kadar metabolisme yang tinggi untuk proses tumbesaran, tetapi penyimpanan tenaga di dalam badan yang rendah. Situasi itu akan menyebabkan pembakaran tenaga melebihi apa yang disimpan sewaktu dalam keadaan berpuasa.
Kata mudahnya, si cilik akan lebih senang mendapat dehidrasi dan hypoglycaemia (keadaan gula yang rendah di dalam badan).
"Maka, disebabkan itu, ibu bapa atau penjaga perlu mempertimbangkan kebolehan anak-anak berpuasa dari segi kesihatan, aktiviti-aktiviti yang dilakukan dan kebolehan menahan lapar," jelasnya.
BACA JUGA:
Pesakit diabetes kena dapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa, elak risiko koma, sawan dan pengsan
Dalam hal tersebut, bersahur adalah satu elemen yang sangat mustahak kerana ia akan memastikan anak-anak ‘mendapat‘ rasa kenyang yang lebih lama.
"Saya menyarankan agar penjaga melewatkan waktu bersahur iaitu setengah jam sebelum imsak," katanya.
Bagi memudahkan keluarga menyediakan makanan sahur termasuk berbuka dan moreh, Dr Zuhra berkongsi beberapa panduan.
Sahur
Makanan yang dihidangkan perlu mengandungi nutrisi lengkap seperti karbohidrat kompleks. Contohnya, nasi kurang kanji seperti beras basmati, ubi keledek , roti dan biskut berserat.
Selain itu, protein seperti ikan, daging, telur dan susu juga bagus untuk dinikmati.
Bagi kanak-kanak yang tidak menghadapi masalah berat badan, pengambilan lemak tidak tepu seperti jagung, avocado, ikan salmon boleh melengkapkan pola nutrisi seimbang.
Makanan tinggi fiber seperti buah dan sayur sangat disyorkan di samping sumber kalsium seperti susu.
Pastikan pengambilan makanan yang mengandungi tinggi gula, kafein dan garam akan menyebabkan seseorang cepat rasa haus dikurangkan.
Gula yang tinggi akan menyebabkan insulin naik mendadak. Dalam keadaan ini, gula akan digunakan dengan cepat oleh badan.
Akibatnya, seseorang akan merasa cepat lapar dan berkeinginan untuk mangambil makanan bergula tinggi, sekali gus akan mengakibatkan kenaikan berat badan.
Jangan lupa follow kami di Instagram.
Berbuka puasa
Mulakan dengan makanan yang ringkas yang mudah dicerna oleh badan seperti buah atau jus buah tanpa gula dan kurma.
Hindari makan secara banyak kerana ia akan memberi kesan kepada proses pencernaan. Perut juga akan kembung dan rasa tidak selesa.
Penjaga harus kawal pengambilan air si kecil. Jika terlalu banyak, mereka akan kenyang dan tidak mengambil makanan lain yang bernutrisi.
Amalkan pengambilan suku protein, suku karbohidrat dan separuh buah dan sayur. Kawal pengambilan makanan daripada karbohidrat ringkas seperti kuih-muih yang manis, soda, jus buah segera, roti putih, mi segera, pasta dan lain-lain.
Moreh
Dicadangkan makan sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu tidur.
Yogurt buah, roti dan biskut amat disarankan. Elakkan makanan berat seperti nasi dan mi goreng.
Status kanak-kanak berpenyakit?
Mengulas lanjut, Dr Zuhra berkata, air yang mencukupi amat signifikan kepada anak-anak kecil, meskipun sedang berpuasa. Ia bagi memastikan mereka kekal hidrasi pada siang hari.
Mengikut perkiraan, beliau menjelaskan, keperluan air adalah berdasarkan formula seperti berikut:
10 kilogram berat pertama x 100 mililiter (ml) dan kemudian x 50ml/kg.
Dengan erti kata mudah, kanak-kanak memerlukan lebih kurang enam hingga lapan gelas air sehari dan diambil secara berselang-seli di antara waktu berbuka dan sahur.
Sewaktu berbuka, selepas berbuka, sebaik tamat menunaikan solat maghrib, setelah solat Isyak dan seusai solat tarawih. Seterusnya sebelum tidur, bangun sahur dan selesai makan sahur.
Selain air putih, Dr Zuhra berkata, makanan yang bersumberkan air seperti bubur dan sup dibolehkan.
Perbincangan kami kemudian dihalakan kepada kanak-kanak yang teringin berpuasa, namun sayangnya mereka dibelenggu dengan penyakit.
Menjawab pertanyaan itu, pakar itu berkata, terlebih dulu kita harus mempertimbangkan keadaan penyakit yang dihidapi mereka. Lebih-lebih lagi, kajian mengenai kanak-kanak berpenyakit yang berpuasa sangat terhad.
Berikut adalah penilaian yang harus diperhalusi sebelum membenarkan kumpulan berisiko itu berpuasa:
-Pemantauan kadar gula bagi kanak-kanak diabetes perlu dilakukan dengan lebih kerap daripada biasa.
-Perlu mengenal pasti simptom-simptom hypoglicaemia seperti berpeluh-peluh, lapar melampau dan berdebar-debar. Sekiranya gula kurang daripada bacaan 4 mmol/L atau lebih tinggi daripada 16mmol/l, anak-anak ini harus segera berbuka dan tidak meneruskan berpuasa.
-Pengurangan dos ubat-ubatan dan pengambilan ubat seperti yang diperlukan mengikut saranan doktor.
Warga emas perlu suplemen?
Bagaimana pula dengan warga emas? Sama seperti kanak-kanak, golongan tersebut turut bergantung kepada tahap kesihatan, aktiviti-aktiviti, kebolehan menahan lapar dan kekerapan mereka makan.
"Kesimpulannya, warga emas yang sihat dan tidak menghadapi penyakit, boleh memastikan pengambilan makanan seimbang dan air yang mencukupi adalah selamat untuk berpuasa. Bagi yang berpenyakit, seharusnya mereka wajib merujuk pakar terlebih dulu," ungkapnya sambil menambah, kajian menunjukkan bahawa berpuasa mempunyai banyak kelebihan seperti merendahkan tekanan darah, kolesterol dan membantu menurunkan berat badan mereka yang sudah lanjut usia.
Namun demikian, kata Dr Zuhra, harus difahami, apabila umur semakin menua, ia menjejaskan kondisi seseorang terutamanya apabila gula dalam darah rendah dan dehidrasi.
"Kalau kita lihat, kebanyakan warga emas mempunyai masalah kesihatan yang mungkin akan mengganggu (mereka berpuasa) dan kadangkala boleh sampai peringkat mengancam nyawa.
"Sekali lagi ingin saya tekankan, nasihat doktor sangat diperlukan sebelum mereka membuat keputusan untuk berpuasa. Bukan apa, kita tak mahu perkara-perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.
Adakah menjadi satu keperluan untuk membekal vitamin kepada warga emas yang berpuasa?
"Dalam hal ini, apa yang saya boleh katakan, penggunaan vitamin ini lebih kepada kita lihat dari segi keperluan individu. Sebenarnya, adalah lebih baik untuk mendapatkan sumber vitamin daripada bahan makanan semula jadi terutama dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.
"Pun begitu, tak salah untuk mengambil vitamin dalam jumlah yang sederhana dan tidak berlebihan, memandangkan badan akan menyerap apa yang perlu sahaja.
"Selebihnya dibuang, tetapi kalau keterlaluan, boleh membebankan sistem kumbahan badan," ujarnya yang menasihatkan agar jenis vitamin yang mahu diambil perlu mendapatkan konsultasi daripada doktor.
Jangan lupa follow kami di Instagram.
BACA JUGA:
Mulut berbau ketika berpuasa? Berikut 6 tip yang dikongsikan doktor
Pening kepala nak pujuk si kecil berpuasa? Ini tip mak ayah boleh lakukan
Ibu hamil perlu kenal pasti kebolehan, tak boleh paksa diri
SECARA amnya, ibu hamil tidak kira berada dalam trimester ke berapa boleh berpuasa jika mereka tidak berdepan dengan sebarang komplikasi.
Pun demikian, kata Pegawai Dietetik Medical Mythbuster Malaysia, Nur Hafizah Mahamad Sobri, untuk kepastian lanjut, si ibu perlu bertanya kepada doktor yang merawat mereka.
Nur Hafizah berkata, wanita mengandung terutamanya pada trimester ketiga memerlukan pertambahan kalori sebanyak 450kcal.
Pun demikian, ujarnya, kebolehan ibu untuk mengambil porsi makanan besar pada waktu tertentu akan makin berkurangan, sekali gus menyebabkan golongan itu sukar untuk capai keperluan yang disarankan.
Menjawab pertanyaan keperluan ibu yang sedang menyusu untuk berpuasa, pegawai perubatan tersebut memberi pencerahan.
Jelasnya, wanita dalam kategori itu memerlukan kalori yang lebih berbanding mereka yang tidak hamil atau tidak menyusu.
Lazimnya, keperluan ekstra sebanyak 500kcal diperlukan oleh ibu menyusu. Jika tidak, mereka mungkin tidak akan bertenaga untuk berpuasa.
Dalam pada itu, Pensyarah yang juga Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr Zuhra Hamzah berkata, pada enam minggu pertama selepas melahirkan, kaum wanita tidak digalakkan berpuasa. Ini kerana fisiologi golongan berkenaan masih belum kembali ke tahap asal.
Ujar Dr Zuhra, sebaik bayi sudah besar iaitu sudah mencapai umur enam bulan dan telah mengambil makanan tambahan, sementelah tubuh badan ibu sudah sihat serta tiada risiko kesihatan, maka bolehlah melakukan ibadah yang mulia itu.