MELENTUR buluh biarlah daripada rebungnya.

Justeru, pada bulan Ramadan ini ramai kanak-kanak mula dilatih ibu bapa untuk berpuasa. Di dalam masyarakat kita, lazimnya kanak-kanak akan dilatih untuk berpuasa seawal usia lima tahun hingga enam.

Pun begitu, latihan berpuasa perlu dilakukan secara berperingkat kepada si kecil sebelum mereka berupaya berpuasa penuh.

PERLU DILATIH AWAL

Sebaiknya, kanak-kanak boleh berpuasa penuh pada usia tujuh tahun kanak-kanak kerana keupayaan fizikal kanak-kanak yang semakin kuat dan baik.

Bagaimana pun, jika anak yang berumur lima hingga enam tahun yang berminat untuk berpuasa sudah boleh dilatih daripada awal. Asalkan mereka mempunyai tubuh badan yang sihat dan ingin berpuasa dengan rela hati tanpa paksaan.

Walaupun masih kecil, mereka perlu dilatih awal untuk berpuasa supaya tidak timbul masalah untuk berpuasa apabila akil baligh.

Ibu bapa boleh memulakan latihan dengan puasa setengah hari terlebih dahulu untuk membantu si anak menyesuaikan diri dengan rutin berpuasa pada bulan Ramadan.

Sebagai ibu bapa, kita perlu memastikan anak yang masih kecil mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan mencukupi semasa sahur dan berbuka sebelum berlatih berpuasa.

Baca juga: Kanak-Kanak Menangis, Asyik Nak Balik Awal Persekolahan, 10 Perkara Ini Ibu Bapa, Guru Perlu Tahu

KANAK-KANAK LEMAH

Namun dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini, Pegawai Perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi pengalaman merawat pesakit kanak-kanak berusia dalam lingkungan enam hingga tujuh tahun berlatih berpuasa dilaporkan sangat lemah kerana bekal makanannya diambil guru.

“Hari ni ada seorang ibu bawa anaknya yang kelihatan sangat lemah ke klinik. Si anak baru berumur enam hingga tujuh tahun, baru nak mengenal puasa.

“Kanak-kanak itu bersekolah pada sesi pagi dan ibunya tidak menyediakan sarapan kerana kanak-kanak berkenaan sedang belajar untuk berpuasa. Tetapi dibekalkan air dan roti untuk ke sekolah. Ibu berpesan, jika tidak tahan berpuasa, maka berbukalah dengan bekal yang dibawa,” titipnya.

Bagaimanapun si ibu mendapati selepas anaknya masih belum berbuka ketika dijemput pulang dari sekolah pada waktu tengah hari. Difahamkan keadaan kanak-kanak berkenaan yang lemah membuatkan ibu tersebut gusar.

BEKAL DISIMPAN

“Jika tidak kerana anaknya kelihatan begitu lemah, pasti si ibu berasa senang hati. Malangnya, si anak ni nampak sangat lemah. Dia meluahkan benci untuk berpuasa, sekolah dan kawan-kawan.

Iklan

“Anak itu berkata dia tidak mahu berpuasa lagi selepas ini dan tak mahu lagi ke sekolah. Apabila ditanya mengapa, si anak memberitahu makanan dan minumannya di ambil oleh cikgu. Siapa yang tidak berpuasa ditegur di khalayak kelas. Ada rakan sekelas yang mentertawakan mereka yang tidak puasa,” tulis Dr Kamarul.

Difahamkan selepas habis waktu persekolahan, barulah bekal makanan kanak-kanak itu dipulangkan.

Malah guru berkenaan berpesan agar kanak-kanak berkenaan berpuasa sehingga masuk waktu berbuka. Si kecil akur kerana bimbang dimarahi.

Dr Kamarul Ariffin mengutarakan pendapat bahawa kanak-kanak perlu dilatih berpuasa dengan cara yang lembut dan berhikmah.

“Pendapat saya, apabila mengajar kanak-kanak melakukan ibadah, hendaklah ia bersifat mengajak dan memujuk. Tidak usahlah ia dalam keadaan memaksa atau dengan cara yang memalukan mereka.

“Kita semua mahukan anak-anak yang membesar dengan cinta terhadap agama. Kita kena lakukannya dengan hikmah, kerana jika sudah terbit benci, maka sukar nak disemai cinta di kemudiannya.

“Mereka mungkin mampu berpuasa sampai ke Maghrib, namun ia perlukan persediaan serta penyesuaian berperingkat untuk elakkan risiko kemudaratan.

Iklan

“Kita mempunyai sekitar 30 hari. Insya-ALLAH cukup masa untuk mendidik ,melatih dan memberi sokongan. Sampai masa nanti, kita raikan kejayaan kita sama-sama,” katanya.

Sebagai orang dewasa, kita perlu mewujudkan suasana yang menyeronokkan kepada kanak-kanak dalam melatih mereka berpuasa.

Bagaimanapun, elakkan dari memberikan ganjaran berbentuk material atau wang kerana bimbang niat puasa lari daripada ibadah kepada ALLAH. Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita semua.

Baca juga: Didik anak sentuhan selamat, elak gangguan seksual kanak-kanak