SEJAK virus Covid-19 melanda dunia, antara persoalan yang kerap ditanya, adakah pesakit pascaCovid-19 digalakkan untuk berpuasa?
Bagi mendapatkan jawapan itu, SinarPlus menghubungi Doktor Perubatan di Klinik Swasta, Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman (gambar).
Kata Dr Arisman, jika status kesihatan mengizinkan, golongan itu sangat dituntut untuk menunaikan ibadah puasa.
"Tidak ada alasan kuat untuk pesakit pascaCovid-19 dengan gejala Long Covid-19 ringan untuk tidak boleh berpuasa, kecuali yang berada dalam kondisi teruk, memerlukan rawatan dan disarankan oleh doktor untuk jangan berpuasa sehinggalah sembuh sepenuhnya," katanya.
Begitu juga halnya dengan pesakit pascaCovid-19 yang memiliki penyakit kronik tertentu seperti kegagalan buah pinggang tahap teruk atau penyakit ulser dalam perut yang sedang aktif dalam rawatan.
"Mereka ini tidak boleh berpuasa kerana ia boleh meningkatkan keparahan penyakit dan boleh memudaratkan kesihatan," jelasnya.
BACA JUGA: Waspada 'raya' bersama kolesterol
Sama ada kekebalan tubuh golongan itu dapat ditingkatkan dengan berpuasa, doktor perubatan tersebut berkata, ia tidak boleh dipastikan.
Namun demikian, banyak kajian di seluruh dunia menyokong bahawa dengan berpuasa, ia dapat memulihkan sistem (kekebalan) tubuh manusia.
"Ada juga penyelidikan yang menyatakan bahawa perantara atau mediator keradangan seperti inflammatory cytokines, oxidative stress markers dan C-reactive protein mampu dikurangkan dalam tubuh orang yang berpuasa," ujarnya.
Berdasarkan fakta juga, kata Dr Arisman, berpuasa selama tiga hari sudah mampu membuatkan badan seseorang menghasilkan sel darah putih baharu yang penting untuk melawan jangkitan kuman.
Kepada satu soalan, ujar beliau, pesakit Covid-19 tahap serius biasanya mengalami cytokine storms atau ribut sitokin yang mana sistem imun tubuh bertindak balas secara melampau dengan mengeluarkan sangat banyak sitokin keradangan seperti IFN-a, IFN-y, IL-1B, IL-6, IL-12, TNF-a dan lain-lain.
Akibat daripada pengeluaran sitokin keradangan melampau itulah telah menyebabkan sistem imun individu menyerang sel tubuh sendiri sehingga tercetusnya masalah kegagalan beberapa organ dan pernafasan, shock, sindrom kecemasan respiratori akut dan kes paling teruk sehingga boleh membawa maut.
"Namun, apabila pesakit menerima rawatan rapi di hospital dan telah disahkan sembuh, masalah ribut sitokin ini akan hilang dan sistem imun tubuh kita akan kembali pulih dengan sendirinya secara beransur-ansur.
"Dalam hal ini, pesakit pascaCovid-19 tahap ringan sepatutnya tidak akan ada masalah seperti ini dan boleh jadi tubuh mereka sebenarnya mampu untuk berpuasa (kecuali ada sebab kesihatan lain)," katanya.
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI