LEMAK dan kolesterol merupakan  keperluan penting dalam diet harian seseorang. Ia menyumbang kepada beberapa fungsi tubuh badan, walau bagaimanapun orang ramai dinasihati agar mengurangkan pengambilannya.

Begitupun, jika melihat kepada persekitaran pemakanan di Malaysia, terlalu banyak produk makanan segera dan bergoreng yang sedap-sedap dan boleh didapati di mana-mana sahaja sehingga kita sukar menahan gelora nafsu makan.

Apatah lagi tika menyambut hari raya, tubuh pun ‘dirayakan‘ dengan pelbagai juadah enak dengan alasan sekali sekala selepas sebulan berpuasa. Sudahkah memeriksa tahap kolesterol anda?

Pakar Perunding Kardiologi & Perubatan Am, Hospital Pakar KPJ Rawang, Selangor, Dr Abdul Wahab Undok atau Dr Wahab berkata,  pengambilan makanan berkolesterol sememangnya tidak dapat dielakkan.

“Namun begitu, kita harus bijak mengawal pengambilan kolesterol agar tidak berlebihan.

”Pengumpulan kolesterol lama-kelamaan akan menyebabkan saluran darah tersumbat seterusnya mampu mencetuskan serangan jantung,” kongsi Dr Wahab.

Mengimbau kelebihan fasa berpuasa, menurutnya antara manfaat yang boleh diraih individu yang mengamalkannya adalah penurunan kadar kandungan kolesterol dalam badan.

Kongsi Dr Wahab, kolesterol merupakan bahan lembut dan berminyak yang berkumpul dan melekat pada dinding saluran darah.

Kolesterol yang dapat menyokong fungsi  badan dipanggil kolesterol baik.

Sementara kolesterol jahat mesti dikawal bagi  mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik.

Justeru, bagi memastikan pengambilan kolesterol bersesuaian dengan keperluan harian, pastikan lemak yang diambil merupakan sumber tenaga penting. Sesuaikan dengan keperluan harian, jelas Dr Wahab.

Mengulas penyataan di atas, antara kaedah yang boleh dipraktikkan bagi pengambilan sumber lemak dalam diet harian secara terkawal, beberapa saranan di bawah boleh digunakan:

  1. Rujuk piramid makanan ketika makan
  2. Hadkan pengambilan makanan tinggi kolesterol
  3. Elakkan makanan bergoreng
  4. Tingkatkan pengambilan sumber makanan yang mengandungi asid lemak tak tepu (asid lemak mono tak tepu dan asid lemak poli tak tepu)

Kurus pun ada masalah kolesterol

Paras kolesterol dapat diketahui dengan membuat ujian darah sama ada dengan menyuntik pada pembuluh darah ataupun hujung jari.

Cara berkenaan dikatakan paling praktikal dan satu-satunya kaedah berkesan bagi mengenal pasti paras kolesterol seseorang.

Menurut Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Muhammad Afiq Ahmad Anuar atau Dr Afiq, ujian paras kolesterol boleh dilaksanakan di mana-mana hospital mahupun klinik.

Iklan

“Melalui ujian tersebut, paras kolesterol akan diketahui.

“Pemeriksaan lebih teliti diperlukan untuk mengetahui paras lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) dan lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL),” kata Dr Afiq.

Dalam pada itu, orang ramai perlu tahu bahawa LDL adalah kolesterol yang tidak baik, manakala HDL kolesterol yang baik.

“Setiap orang akan berhadapan masalah kolesterol ini tidak kira bagaimana saiz badan mereka, kurus mahupun sebaliknya. Ada kajian menyatakan individu berbadan kurus juga berisiko mengalami masalah kolesterol tinggi.

“Justeri, individu yang berhadapan masalah berkenaan wajar mengamalkan diet seimbang seperti mengambil bijirin, kekacang dan minyak ikan,” jelasnya.

Iklan

Pada masa yang sama, elakkan mengambil makanan yang mempunyai kandungan lemak yang sangat tinggi seperti sup gearbox, ayam goreng segera dan kentang goreng.

Pastikan bersenam secara berkala menjadi amalan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama lebih kurang 30 ke 40 minit setiap sesi, kata Dr Afiq.

“Paling penting, bagi mengawal peningkatan paras kolesterol, apa yang perlu diberi perhatian adalah mengawal pemakanan.

“Amalkan diet yang seimbang selain bersenam. Ia nampak mudah, namun susah untuk diamalkan menyebabkannya sering diabaikan,” ujar Dr Afiq lagi.

Apa pun, beringat sebelum kena. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati? Semoga kekal sihat.