SAMBUTAN Aidilfitri yang sepatutnya penuh dengan kegembiraan bertukar menjadi tragedi hitam buat seorang suri rumah apabila dipukul sehingga maut.
Kejadian itu berlaku gara-gara dia mendakwa suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain dalam kejadian di sebuah rumah flat di Batu 9 di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berikut sembilan fakta kejadian;
1. Polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Kajang kira-kira jam 9.16 pagi Ahad lalu berkaitan mangsa yang dihantar dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital berkenaan.
2. Mangsa yang berumur 28 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dihantar suaminya untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
3. Pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat kesan lebam pada beberapa anggota badan mangsa dan pegawai perubatan berkenaan mendapati kematian tersebut mencurigakan sebelum bertindak melaporkan kejadian kepada polis.
4. Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah kecederaan abdomen disebabkan hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul.
5. Siasatan dijalankan mendapati mangsa telah dipukul dengan menggunakan kaki, tangan dan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian.
6. Suami kepada mangsa yang bekerja sebagai mekanik berumur 38 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
7. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
8. Motif pembunuhan adalah suspek marah dengan mangsa disebabkan mangsa telah memuat naik di media sosial Facebook bahawa suspek mempunyai hubungan sulit.
9. Kes telah dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwar Raya Selangor dan suspek akan dituduh pada 9 Mei ini di Mahkamah Majisret Kajang.
Sementara itu, dalam kita asyik menggunakan perkhidmatan media sosial, haruslah diingat bahawa setiap perkara yang ingin dilakukan haruslah dibuat dengan penuh bijak dan beradab.
Ini lima tip untuk menggunakan media sosial dengan bijak;
1. Tidak berkongsi maklumat data peribadi
Menurut portal rasmi Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDP), data peribadi merupakan maklumat yang digunakan dalam transaksi komersial yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan subjek data.
Antara contoh maklumat data peribadi ialah seperti nama, alamat rumah, nombor kad pengenalan, nombor telefon, maklumat perbankan, dan banyak lagi yang sepatutnya dilindungi daripada pengetahuan orang ramai.
Oleh itu, pengguna-pengguna media sosial hendaklah peka dengan apa yang dilakukan untuk mengelakkan kejadian jenayah di media sosial dan janganlah menjadi seperti pepatah melayu, ‘sudah terhantuk baru tengadah’.
2. Tidak menyebarkan berita palsu
Seperti yang kita sedia maklum, sesuatu berita itu dapat tersebar sangat pantas dengan bantuan media sosial.
Oleh yang demikian, setiap masa pasti ada sahaja berita yang keluar dan singgah di laman media sosial kita.
Berita yang tersebar itu boleh jadi samada ianya berita benar atau berita palsu.
Sekiranya kita tidak pasti dengan kesahihan berita tersebut, maka janganlah kita menyebarkan berita tersebut kerana besar kemungkinan berita yang disebarkan itu merupakan berita yang palsu dan seterusnya boleh mengelirukan banyak pihak.
3. Bersederhana dalam berkongsi cerita
Ramai masyarakat di luar sana yang menggunakan media sosial untuk berkongsi cerita berkaitan kehidupan peribadi mereka.
Mereka melakukan hal sedemikian kerana ingin berkongsi kegembiraan dengan para pengikut mereka. Ada juga yang menggunakan media sosial untuk meraih perhatian orang ramai.
Itu semua tidak salah untuk dilakukan, namun harus diingat bahawa bukannya setiap orang yang suka akan diri kita.
Ada orang yang sekiranya melihat cerita kita di media sosial akan semakin membenci diri kita sehingga kebencian itu bertukar menjadi dendam.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa beringat untuk sering bersederhana dalam menceritakan perihal diri di media sosial.
4. Berkongsi ilmu dan kebenaran
Masyarakat mestilah bijak mengambil peluang untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan para pengikut yang ada.
Tidak kira apa jenis ilmu kecuali ilmu yang tidak baik, semuanya sangat dituntut untuk dikongsikan di media sosial.
Perkara ini bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka yang mendapat ilmu, bahkan orang yang memberi ilmu juga mendapat manfaat yang sama malah lebih lagi seperti dapat lebih memahami ilmu yang diajarkan dan dapat lebih banyak ilmu baharu tanpa disedari.
Baca juga Hukum beri duit raya dalam Islam sebagai sedekah, tidak menyerupai angpau
5. Tujuan perniagaan
Pada masa kini, ramai orang yang berniaga sebagai sumber pendapatan. Ada juga yang berniaga secara sambilan untuk menambah pendapatan yang sedia ada.
Jadi, penggunaan media sosial adalah jalan terbaik untuk mempromosikan barangan jualan kerana kebanyakan orang telah menggunakan media sosial dalam menjalani kehidupan mereka, lagi-lagi dalam musim pandemik yang melanda dunia ini.
Cara berniaga di media sosial ini boleh dikategorikan sebagai cara yang bijak dalam memanfaatkan penggunaan media sosial kerana para peniaga pandai dan berani mengambil peluang yang sudah tersedia.
Jadi, sebagai pengguna media sosial, kita seharusnya bijak membahagikan masa antara hiburan dan kehidupan sebenar supaya kita tidak leka dan hanyut dengan keseronokan dunia semata-mata.