SELEBRITI versatil, Shiha Zikir melakar sejarah tersendiri apabila memenangi lima anugerah termasuk kategori utama, Top Top MeleTOP Wanita di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang berlangsung di Putrajaya Convention Centre (PICC) pada Ahad.
Kemenangan itu melayakkan Shiha membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000 dan trofi.
Bukan itu sahaja, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir turut membawa pulang RM5,000 dan trofi bagi anugerah Artis Versatil MeleTOP, Grup/Dua MeleTOP (bersama Noki), Lagu MeleTOP (AEWO) dan Bintang Filem MeleTOP (Hantu Bonceng).
Dalam pada itu, penyanyi dan pelakon, Khai Bahar diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Top Top MeleTOP Lelaki sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 berserta trofi.
Khai turut memenangi dua lagi kategori iaitu Penyanyi MeleTOP dan Program MeleTOP: Konsert Minggu Ini #123.
Kumpulan Dolla pula memenangi kategori Top Top MeleTOP Grup/Duo dan turut membawa pulang wang RM10,000 dan trofi.
Setiap pemenang dipilih berdasarkan undian tertinggi dalam kalangan calon Top 5 bagi setiap kategori. Manakala pemenang bagi kategori Top Top MeleTOP dipilih oleh juri-juri profesional.
Disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dari PICC, AME 2021 dihoskan tiga gandingan pengacara popular iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Tampil dengan tema Yang Fresh, Yang Legend, anugerah itu dimeriahkan lagi dengan persembahan artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Search, Misha Omar, Tomok, Amir Masdi, De Fam, Zizi Kirana, MK K-Clique, Han Byul, Dolla, Hael Husaini, Aina Abdul, Siti Nordiana, Bunga Isme dan ramai lagi.
AME2021 sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 30 Januari lalu tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran kes Covid-19 kembali meningkat.
Senarai penuh pemenang AME2021:
Top Top MeleTOP Lelaki : Khai Bahar
Top Top MeleTOP Wanita : Shiha Zikir
Top Top MeleTOP Grup/Duo : Dolla
Artis Baharu MeleTOP : Dini Schaztzmann
Si Cilik MeleTOP : Arianna Aubrey & Karl Kareef (anak Datin Eina Azman & Datuk Kaiser)
Couple MeleTOP : Emma Maembong & Mohammad Shazli
Influencer MeleTOP : Dr Say
Artis Versatile MeleTOP : Shiha Zikir
Personaliti TV MeleTOP : Jihan Muse
Video MeleTOP : MV Canggung - Wany Hasrita
Program MeleTOP : Konsert Minggu Ini - #123 Khai Bahar - RTM
Drama MeleTOP : Kampung Pisang Bersiri-Siri
Pelakon MeleTOP : Fasha Sandha
Anugerah Legend MeleTOP: Roslan Aziz
Anugerah Sepanjang Zaman: Hamid Ghurka
Grup/Duo MeleTOP ERA : AEWO - Shiha Zikir & Noki
Penyanyi MeleTOP ERA : Khai Bahar
Lagu MeleTOP : AEWO - Shiha Zikir & Noki
Filem MeleTOP : Ada Apa Dengan Dosa
Bintang Filem MeleTOP : Shiha Zikir - Hantu Boceng 2.0
Anugerah Khas MeleTOP : Datuk Aznil Haji Nawawi
BBNU MeleTOP : Alyssa Dezek