Benarkah Shiha Zikir tamak?

SHIHA ZIKIR
SHIHA ZIKIR
A
A
A

MENYANYI, berlakon, mengacara, melawak dan terbaharu, dunia penyampai radio, semua cabang seni sudah dicuba oleh selebriti versatil, Shiha Zikir.

Apa sahaja peluang yang tiba atas kapasiti dunia seni, disahut oleh Shiha atau nama penuhnya Nurshiha Mohd Zikir.

Namun dalam kerancakkan Shiha mengatur karier seninya, ada juga yang berbisik nakal dengan mengatakan selebriti berusia 35 tahun itu tamak.

Justeru tatkala ‘bertemu’ secara maya pada sidang media drama terbaharu lakonannya, Ada Apa Dengan Saka, kami bertanya sejauh mana penerimaan Shiha apabila ada yang mengatakan dia tamak dalam menerima tawaran?

“Saya bukanlah tamak, kaut apa sahaja tawaran yang datang. Tetapi lebih kepada mencuba pelbagai bidang. Bagi saya, baik menyanyi, berlakon, mengacara atau jadi penyampai radio sekali pun, semua itu dalam cabang seni.

“Bagaimanapun kalau saya rasa tidak yakin untuk menjayakan sesuatu tawaran itu, saya akan menolak,” jelasnya.

Tambah penyanyi lagu AEWO itu, dia hanya berpegang kepada prinsip untuk buat apa sahaja kerja dengan sepenuh jiwa.

“Bagi saya apa yang penting, kalau kita nak buat sesuatu, lakukanlah dengan betul-betul. Itu prinsip yang saya pegang.

“Apa orang nak kata di belakang saya, itu terpulanglah. Kalau saya nak terasa atau nak ikut apa orang kata, akhirnya saya tidak akan ke mana-mana.

“Saya terbuka menerima apa sahaja komen untuk setiap hasil kerja saya, supaya saya dapat memperbaiki diri pada masa akan datang,” ujarnya.

Cabaran baru

Dalam pada itu, berkongsi penglibatannya dalam drama Ada Apa Dengan Saka, Shiha berkata, dia bergandingan dengan aktor, Syazwan Zulkifli buat pertama kalinya.

Namun cabaran terbesarnya kali ini adalah perlu keluar dari zon selesa.

“Ketika melihat judulnya, saya sangka ia adalah naskhah komedi dan bila masuk set, saya jayakan watak saya seperti biasa dengan unsur komedi.

“Tetapi pengarah maklumkan watak saya serius dan pelakon lain seperti Syazwan yang akan menjayakan watak komedi.

“Mula-mula saya rasa agak sukar juga, tetapi lama-kelamaan semuanya berjalan lancar. Pengarah dan pelakon lain juga banyak membantu untuk saya mendapatkan rentak,” katanya.

Selain Shiha dan Syazwan, drama 19 episod yang ditayangkan di TV9 itu turut dijayakan Wanns Ahmad, Myra Natasya, Dynas Mokhtar, Watie Elite dan Azri Iskandar.

Shiha berkata, selain seronok mencuba pelbagai watak, dia menggunakan peluang yang ada untuk mengutip ilmu daripada pelakon lain.

“Sejujurnya saya masih belum menyertai mana-mana kelas lakonan. Jadi bila berada di set, saya suka bertanya banyak benda dengan pelakon senior.

“Saya perhatikan setiap gerak-geri mereka, cara menghayati watak.

“Insya-ALLAH kalau ada rezeki, saya teringin juga untuk menyertai kelas lakonan. Mahu juga mencuba bawa watak berbeza dalam lakonan,” katanya menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca